Harapan untuk melihat demokrasi subur semula di Mesir sekadar satu azam tahun baharu seperti mana banyak azam lain yang tidak terpenuh. Dari segi realitinya, tidak ada tanda-tanda politik Mesir bakal pulih sepenuhnya.

Mesir kini berkabung tiga hari ekoran kematian 39 orang termasuk 11 askar. Seperti biasa, antara lain, Ikhwan atau Brotherhood dipersalahkan serta diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas.

Begitu juga kestabilan yang dinikmati rakyat di Thailand sejak lama dulu nampaknya macam laporan cuaca — kita perlu lihat sendiri keadaan di negara itu. Pemimpinnya silih berganti.

Kini negara gajah putih itu mempunyai 28 perdana menteri, Yingluck Shinawatra iaitu adik kepada Thaksin (PM Thailand ke-26) adalah yang terkini dan terakhir sebelum satu pilihan raya umum baru diadakan bagi memilih kerajaan dan perdana menteri baharu.

Di India, krisis politik tidak lagi seperti sebelumnya. Pada dasarnya, iklim politik di negara berkenaan lebih baik lagi berbanding Thailand atau Mesir. India melahirkan 13 perdana menteri sejak merdeka dari Inggeris pada 1947.

Ia kini diramal menjadi sebuah lagi kuasa ekonomi baharu seperti kemunculan China pada masa ini.

Kembali dalam negara, 2013 tidak banyak beza dengan tahun-tahun sebelumnya. Banjir masih satu fenomena di beberapa negeri di Pantai Timur. Kisah buang bayi bukan klise bagi masyarakat Melayu.

Dadah dan dedah serta merempit seolah-olah satu ketagihan baharu budak-budak Melayu. Cuma bab dedah kita mungkin sekadar jatuh di tempat ketiga berbanding gadis-gadis bukan Melayu yang terkenal dengan hot pants mereka.

Dulu dan tahun sebelumnya, politik Malaysia diwarnai dua tokoh yang pernah menjadi idola rakyat khusus ahli-ahli Umno - Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Tetapi sejak 1998, kedua-dua tokoh ini berpisah hidup manakala bulan madu mereka sempat bertahan 17 tahun. Ini mengambil kira Anwar menjadi ahli Umno pada 1981 sebaik menerima tawaran Dr Mahathir pada ketika itu sedang mencari tokoh berlatarbelakangkan Islam.

Dr Mahathir sudah pun melepaskan jawatan perdana menteri pada 2003, namun fikirannya masih sihat dan segar sekalipun beberapa kali dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Tulisannya tetap tajam, sama macam lidahnya, malah jauh lebih ada umppph berbanding beberapa kolumnis.

Sementara itu, tidak ada tanda-tanda Anwar akan mengambil keputusan sama. Kita ingat sebaik keluar dari Sungai Buloh, dia akan insaf. Kita dan ramai tersalah catur, malah yang menghairankan ramai pula menjadi pengikutnya macam si Rafizi.

Bagi puak-puak ini, matlamat perjuangan adalah semata-mata kerana mengejar kuasa dan Putrajaya.

Kini kita sudah pun memasuki 2014. Sudah ada tanda-tanda Malaysia bakal tegang macam sepanjang tahun lalu. Tak boleh cara demokrasi, mereka cuba hasut rakyat. Konon kerajaan perlu dijatuhkan kerana kezaliman yang diamal kerajaan BN.

Mereka menggunakan kuasa rakyat kerana mereka gagal di peti undi.

Dalam PRU13, pembangkang ditolak rakyat. Penipuan bahawa 40,000 pengundi Bangladesh turut mengundi BN dijadikan modal. Kalau bukan kerana pendedahan dibuat pihak kerajaan terlebih dulu, Putrajaya sudah pun jadi milik mereka.

Justeru 2013 juga menyaksikan tertutupnya pintu Anwar ke Putrajaya. Peluang untuk jadi PM ke-7 menggantikan Najib Razak sudah berlalu ibarat desiran angin, namun ia bukan jalan penamat.

Tahun ini, Anwar sekali lagi berdepan pusingan kedua dalam proses perundangan apabila berdepan Saiful Bukhari, bekas pembantunya dalam kandang mahkamah. Menang kali pertama tidak bererti dia boleh mengulangi rekod itu.

Sementara kita menunggu babak-babak seterusnya, kita lihat 2014 pun tak ada beza dengan 2013. Dalam politik dan dalam mahkamah, wajah-wajah serupa.

Agak ironi mereka yang duduk di sebelah pembangkang juga berada dalam mahkamah.

Justeru, selagi ada Anwar dalam kancah politik Malaysia, pasti ada Dr Mahathir di pihak kerajaan sebagai buffer kepada BN. Antara Dr Mahathir dan Anwar, tidak ada istilah pencen dalam kamus mereka.

Namun tak siapa menduga seperti berlakunya perpisahan kasih antara kedua-duanya tempoh hari. Begitu juga tidak ada siapa boleh menduga jika kedua-dua kembali berdamai semula.

Dan ramai percaya jika hal ini berlaku, politik Malaysia bakal kembali damai seperti sebelum 1998. Bagi kebanyakan orang, Dr Mahathir dan Anwar tak ubah seperti dua pasukan dalam EPL - Manchester United dan Liverpool .

Sementara Dr Mahathir persis Alex Ferguson, Anwar dengan Liverpoolnya. Kedua-dua dilihat sama kuat dan sama hebat, namun seperti kata beberapa pihak kelebihan pada Alex yang jauh berpengalaman.

Anwar yang mengharapkan magical power setakat ini belum berjaya membuktikan apa-apa.