BUKAN tujuan kita hendak mengomel sikapnya tetapi ada sesuatu yang tidak kena sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Anwar Ibrahim yang kita semua kenali bukan lagi Anwar yang dulu.

Benar Anwar, macam juga dengan kebanyakan pelajar universiti lain dipenuhi dengan idealisme. Sebab itu agaknya Allahyarham Tun Razak Hussein agak kagum dengannya.

Ia kemudian mendorong PM keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, membawanya menyertai Umno.

Selain ditawarkan jawatan timbalan menteri, Anwar diberi kedudukan istimewa dalam Kabinet Dr Mahathir. Jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang dimenangi dengan mengalahkan Suhaimi Kamaruddin juga kerana faktor ini.

Pendek kata tanpa sokongan Mahathir, belum tentu peluangnya sampai ke tahap timbalan perdana menteri.

Anwar juga dilihat suka cari pasal. Sejak zaman pelajar lagi ia mengetuai demonstrasi pelajar. Demonstrasi ini merupakan yang pertama dalam sejarah politik Malaysia yang berakhir apabila dia dan rakan-rakannya ditahan di bawah ISA di kem Kamunting.

Zaman waktu pelajar lain bertungkus-lumus dengan pelajaran, Anwar pilih berdemonstrasi di Baling mengenai isu kemiskinan.       

Sedangkan zaman itu, banyak tempat di Kelantan dan Terengganu, rakyat hidup jauh lebih daif. Bahkan ekonomi Malaysia masih lagi berada dalam kategori serba kekurangan.

Kes liwat dulu dan sekarang, walau di tahap ini memihaknya, ia terus jadi bahan senda gurau. Kini Anwar yang bakal dibicarakan buat kali kedua diumum pula sebagai calon PKR di Dun Kajang.

Dulu Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi bolehkan suaminya menjadi calon. Drama terbaharu menyaksikan Lee Chin Cheh pula mengosongkan kerusi Dun Kajang. Khabar angin menyebut Lee bakal jadi Setpol jika Anwar jadi MB baharu.

Justeru, sandiwara murahan dicipta menjelang perbicaraan bagi alih perhatian rakyat, terutama menjelang kes liwat kedua.

Kita terpanggil menyiar ulasan ahli MT Umno Datuk Irmohizam Ibrahim tentang kesediaan Anwar bertanding serta mempersiap diri sebagai MB Selangor. "Dia harap apabila kesnya didengar di Mahkamah Persekutuan, dia masa itu MB Selangor. Dia berharap jawatan ini akan berikan rasa simpati banyak pihak kepadanya.”

Sejak lama dulu boleh dikatakan hampir semua Menteri Besar Selangor berdepan masalah sebelum hilang kerjaya.

Hingga ada berpendapat jika dalam kes seperti yang dihadapi Anwar sekarang, Umno tak akan pilih Anwar sebagai MB, jauh sekali perdana menteri. Dalam Umno ketika itu tokoh yang dilihat bersalah, walau dari segi fakta belum dibuktikan, akan dihukum  dahulu seperti pernah berlaku.

Tokoh tersohor Datuk Harun Idris mengalaminya. Dia dihadap ke mahkamah kerana kes rasuah dan didapati bersalah kemudian menjalani hukuman penjara sebelum diberikan pengampunan.

Kita lihat Abu Hassan Omar dan Khir Toyo, yang terpalit dalam dua kes berasingan, satu kes peribadi, manakala satu lagi kes rasuah. Juga kedua-duanya kini jalani kehidupan seperti rakyat biasa jauh dari sinar spotlight.

Mat Taib lebih menarik apabila kes di Australia, walaupun dilihat kecil, akhirnya terpaksa letak jawatan MB. Jasanya pada Umno dan rakyat Selangor gugur ibarat bunga-bunga kapas.

Dalam kes terbaharu pula, Khalid yang jadi MB Selangor sejak 2008 berdepan disingkir gara-gara berkelahi dengan Azmin.

Dengan berbekal pengalaman korporat walau dari segi lain, ia kekurangan, PR pada mula yakin dia tokoh berkemampuan. Malang hari ini PKR sendiri hilang keyakinan pada keupayaan Khalid menerajui Selangor.

Bukan mudah meramal masa depan Anwar dan pada masa sama menghukum Khalid. Namun hakikatnya melihat dari sejarah silam para MB Selangor, tidak mustahil sejarah berulang.

Justeru kalau Khalid gagal menangani ombak yang membadai dirinya serta kerusinya terpaksa diserahkan pada Anwar, ia bukan menghairankan.

Anwar mungkin boleh menang dengan simple majority berbekal sokongan mutlak pengundi-pengundi Cina. Kalau Lee Chong Wei calon BN sekalipun, peluang Anwar jauh lebih cerah. Soalnya kalau Khalid bertahan hampir enam tahun sebagai MB Selangor, berapa lama penggantinya dapat bertahan?         

Dengan kes liwat baharu masuk babak permulaan dan “video biru” miripnya, mungkin termanya tidak selama Khalid.

Oleh itu, bukanlah mengagumkan kiranya Anwar terpecat dari jawatan negeri sebagaimana dipecat selaku timbalan perdana menteri dulu. Dalam politik, lebih banyak peristiwa yang serupa seperti dulu. Anwar tentu lebih maklum.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDAR raya Ipoh, ibu negeri Perak lazimnya sunyi dari mendapat limpahan perhatian. Tidak ada apa yang menarik jika mengikut laporan media massa. Ia bukanlah destinasi utama bagi pelancong yang ingin mencari ketenangan. Bukan juga sebagai pusat beli-belah seperti kawasan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
  • MENYIAPKAN Bajet 2015 Negeri Perak yang dibentang dan diluluskan oleh Sidang Dun Perak minggu lalu tidak semudah seperti yang disangka. Ia terpaksa mengambil kira pelbagai aspek.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.