SPRM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kini mempunyai sebab untuk digeruni oleh sesiapa saja. Kalau pasukan polis mempunyai kuasa tersendiri, SPRM mempunyai kuasa yang boleh menyabitkan seorang pegawai polis yang rasuah ke muka pengadilan.

Kerana kuasa yang beginilah maka golongan berprofil tinggi, sama ada menteri, orang politik, pegawai kanan kerajaan dan sesiapa sahaja akan mendapat perhatian istimewa sekiranya terdapat maklumat serta prima facie mereka terlibat dalam memberi atau menerima rasuah.

Secara tradisinya, dan atas sebab yang kurang pasti dan jelas, ramai mempercayai malah meyakini SPRM hanya berani mengambil tindakan terhadap golongan ikan bilis yang melakukan perbuatan rasuah dan membiarkan jerung iaitu mereka berprofil tinggi terlepas begitu sahaja.

Namun tanggapan tradisional ini mula menjadi lapuk dan tidak lagi boleh menyimpan air. Kini, bagi orang politik ataupun dalam bahasa Inggeris disebut, the aspiring polilticians, nama SPRM yang dulunya dipanggil BPR, singkatan bagi Badan Pencegah Rasuah sangat menggerunkan.

Soal sama ada mereka bersalah ataupun tidak, ia adalah bidang kuasa mahkamah. Namun sebaik mereka dicekup oleh SPRM, imej mereka melalui penurunan yang drastik. Sesetengah daripada tokoh politik ini terpaksa atau diminta bersara awal kerana parti tidak mampu mempunyai mereka yang sudah dipalit dengan tuduhan rasuah.

Yang menang tentulah SPRM, tapi bagi orang yang disiasat dan kemudian didapati tidak bersalah oleh mahkamah, mereka sudah pun kalah sebaik SPRM mengumumkan siasatan ke atas individu berkenaan. Jika ada pun pengecualian mengenai penurunan imej ini, mungkin ia hanya melibatkan seorang sahaja manusia.  

Tentu ramai masih ingat beberapa kes berprofil tinggi yang menjadi fokus umum termasuk isu yang membabitkan tokoh berkarisma dari Selangor, Allahyarham Datuk Harun ldris. Bagi pengikutnya Harun dihadapkan ke mahkamah kerana kes politik, bukan kerana kes yang didakwa. Konon ada pihak takut Harun bakal naik lebih tinggi dan menjadi penghuni baru di Seri Perdana.

Apa pun Harun tetap dilihat sebagai wira bangsa serta satu-satunya tokoh yang meletakkan kepentingan bangsanya jauh di hadapan, sekali gus mengetepikan kepentingan peribadi. Namun sejarah dengan jelas memberitahu kita Harun terpaksa melalui hukuman kerana 'dosa politik' tanpa menyentuh kedudukannya sebagai seorang tokoh politik yang cukup dikagumi.

Mungkin Allahyarham Tun Hussein Onn mempunyai sebab untuk membiarkan Harun melalui proses perbicaraan dari proses yang menjadi amalan dalam politik Umno iaitu diselesaikan secara politik. Seperti yang kita dan umum ketahui, mantan Perdana Menteri itu seorang yang tegas dan no nonsense, memilih Harun dihadapkan ke mahkamah. Hanya sejarah saja bakal menjawab kaedah ini lebih baik dari membawa ke mahkamah atau macam mana. Ia bukannya satu klise, baik dalam sejarah Umno mahupun dalam sejarah politik negara ini.

Begitu pun modus operandi penyiasatan dan pendakwaan terhadap amalan rasuah pada zaman Harun adalah agak berbeza dibandingkan dengan kini. Dulu, BPR bergerak secara senyap setelah menerima maklumat daripada peniup wisel dan meneruskan pendakwaan setelah mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri apabila orang yang disiasat itu adalah seorang tokoh kerajaan berprofil tinggi.

Namun hari ini, peniup wisel atau whistle blowers sudah lagi tidak bersembunyi atau menyembunyikan identiti mereka. Malah bukan sekadar wisel yang ditiupkan, tetapi trumpet yang bunyi mampu didengar ke seluruh alam.

Generasi baru whistle blowers bertrumpet ini sudah tentulah diperkenalkan oleh pembangkang yang sudah menguasai empat negeri dan wakil rakyat daripada kalangan mereka lebih ramai berbanding beberapa tahun lalu.

Dari merekalah kita sering mendengar tuduhan si anu rasuah. Daripada tiupan trumpet mereka juga SPRM mula menyusun langkah untuk setidak-tidaknya memanggil mereka yang didakwa oleh pembangkang terlibat dalam amalan rasuah.

Sebagai contoh, kes terbaru adalah melibatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Justeru, Ali yang dilihat tidak begitu bercita-cita tinggi diacah sesetengah pihak memintanya menjelaskan belanja
walimatulurus anak lelakinya, Mohd Ridhwan, dengan pasangannya Nur Azieha. Dalam kes ini majlis itu mendapat tempat dalam buku Malaysia Book of Records kerana kehadiran 130,000 orang pada hari itu.

Bagi Lim Kit Siang, asas siasatan ada kerana mengandaikan perbelanjaan pada hari itu berasaskan kehadiran 130,000 orang.

Beliau menggunakan logik RM100 sekepala didarab dengan 130,000. Tapi trumpet Kit Siang bertukar menjadi serunai buluh yang ditiup di atas belakang kerbau waktu senjakala apabila logik serupa tidak digunakan apabila memperkatakan isu Talam di Selangor serta beberapa isu yang turut melibatkan anaknya yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. (Sebagai nota, SPRM mengambil masa dua bulan untuk mengeluarkan kenyataan sama ada akan siasat ataupun membiarkan Menteri Besar terjun dengan labu-labunya.)

Tidaklah diketahui dengan pasti sekiranya penyiasatan pencegahan rasuah di Malaysia mempunyai precedent baru. Tapi yang jelas adalah agak malang bagi pemimpin BN ataupun Umno kerana tiupan trumpet pembangkang kini semakin berkesan dan dilihat seakan-akan menjurus kepada menjadi ‘sangkakala’ kepada kerjaya politik pemimpin kerajaan.