Sejak AES diperkenalkan pada 23 September lepas, tidak ada orang yang kelihatan menyokong pelaksanaan “kamera perangkap” itu. Macam-macam komen dibuat bagi menjustifikasikannya. Sementara JPJ yang mempelopori projek ini berpuas hati dengan pencapaiannya, banyak badan lain termasuk NGO dan pengguna jalan raya mempertikaikannya.

Bagi orang yang mudah terpengaruh dengan pembantah projek ini, AES sudah menjadi satu liabiliti buat kerajaan terutama menjelang PRU 13. Nama AES kini dikaitkan dengan “kronisme” kerana pemilihan syarikat-syarikat yang bertanggungjawab menjalankannya. Kita harus ingat AES bukanlah jembalang yang harus ditakuti, sama ada siang atau malam dan ketika hujan atau waktu tengah hari. AES merupakan singkatan kepada sistem penguatkuasaan automatik yang kini dianggap satu keajaiban dalam menurunkan kadar kemalangan.
Contohnya sejak diperkenalkan, kadar kesalahan trafik seperti pemanduan melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat yang dicatat di lebuh raya utara selatan dekat Slim River dan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur jatuh 22 peratus.

Kita harus mempercayainya kerana itu mengikut statistik dikeluarkan JPJ. Bagi JPJ setakat ini 14 lokasi dipilih sebelum ia dikembangkan melalui fasa kedua kepada 817 lokasi yang lain membabitkan lokasi dianggap kawasan kemalangan maut.

Mungkin bagi orang awam, mereka akan membantah apa saja yang dibuat kerajaan tanpa terlebih dulu melihat keberkesanannya. AES sebenarnya mahu mendisiplinkan pemandu yang guna jalan raya di negara ini.

Jika kita melihat JPJ, macamlah polis menggunakan kaedah “menghukum” sebagai jalan mendisiplinkan pemandu, ia ternyata kaedah yang berjaya menepati matlamat. Kerja menghukum pemandu bukanlah baru sehingga jika tidak silap, pengguna jalan raya di Malaysia berhutang sekitar lebih RM200 juta kerana gagal melangsaikan kesalahan trafik.

Bagi pembangkang tidak ada berita lebih baik daripada langkah kerajaan memperkenalkan AES kerana mereka boleh mempermodal isu ini untuk meraih sokongan. Pada hemat mereka, kemarahan rakyat jika dapat dimaksimumkan boleh mengubah haluan politik Malaysia.

Dipendekkan cerita, separuh daripada kita yang menggunakan jalan-jalan raya tidak menganggap pengguna lain ada hak sama. Kita sahaja ada urusan lebih penting daripada orang lain sehingga perlu memecut kenderaan macam driver ambulan sehingga kadangkala lebih laju dari ambulan atau kenderaan kecemasan lain.

Rumusannya, pengguna jalan raya di Malaysia kurang berdisiplin apabila berada di belakang stereng kenderaan masing-masing. Had laju ditetapkan kerajaan sering dicemar dengan pemanduan ala formula satu.

Mereka memandu melebihi 150km sejam. Mereka yang berkenderaan mewah sanggup membayar saman tidak seberapa itu sesuai dengan saiz injin dan imej kereta mewah.

Manakala pemandu tempatan bergelut dengan AES, pemandu dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang menggunakan lebuh raya kita seperti datang untuk melepaskan gian. Mereka juga memandu dengan tidak mengambil kira kadar had laju. Kalau kena saman pun mereka mampu melangsainya kerana nilai mata wang mereka seperti Singapura, jauh lebih tinggi.

AES bukanlah undang-undang Tuhan. Ia ada cacat cela seperti yang didakwa, tetapi peratus kelemahan kamera perangkap itu amat kecil berbanding matlamat JPJ dan pihak berkuasa. Ini dibuktikan sejak dilancarkan, kadar kemalangan di beberapa tempat yang dipasang AES menurun.

Pembangkang sudah pun mendapat ilham untuk mempermodalkan isu ini. Baca saja akhbar, kita dapati mereka cuba mengaut hasil daripada kemarahan rakyat. Kerajaan tidak boleh membiarkan JPJ melaksana sesuka hati dengan tanpa mengambil kira sentimen pengundi dalam pilihan raya akan datang.     

Bagi pembangkang yang dibelenggu dengan pelbagai isu seperti anak Anwar - berdepan isu agama dan sebagainya, AES harus dipanaskan ke tahap maksimum. Kalau kadar kemalangan di Malaysia mencatat satu rekod baru bertaraf dunia, itu bukan urusan mereka.

Sekiranya disiplin pemandu di Malaysia bukan saja tidak berubah malah menjadi lebih parah, itu masalah kerajaan BN.

Dalam kata lain, tak mengapa sekiranya lebih ramai rakyat dan pemandu Malaysia terkorban dalam kemalangan jalan raya di negara ini asalkan pembangkang boleh menang pilihan raya. Setidak-tidaknya kita tahu, itulah ‘sistem’ yang digunakan oleh mereka untuk menjatuhkan kerajaan.