MENJELANG Muktamar Pas di Johor minggu depan persoalan yang timbul berhubung kedudukan Haji Hadi Awang sebagai presiden parti. Kedudukannya kini rapuh berikutan kritikan terbuka yang diterima dari luar dan dalam.

Mampukah Hadi mendepani badai yang kian membantai kepimpinan parti yang diwarisi daripada Allahyarham Ustaz Fadzil Noor pada 2002 berikutan kematian anak jati Kedah itu?.

Atau apa berlaku kepada Allahyarham Asri Muda kira-kira 32 tahun lalu berulang semula? Kalau Asri berdepan serangan dan cacian semasa muktamar, nasib Hadi boleh saja sama. Pas tidak lagi dapat mengelak budaya negatif terhadap tokoh utamanya.

Dengan itu menjelang muktamar, suara mendesak Hadi dikenakan tindakan dan dipecat dari parti sudah pun kedengaran. Ia datang melalui FB, laman-laman sosial dan mereka yang memang antinya.

Sebaliknya sokongan terhadapnya ibarat banjir kilat yang datang tidak semena-mena. Sokongan akar umbi memang  diduga begitu juga sokongan terbuka daripada Mursyidul Amnya, Nik Aziz dan Dewan Ulamanya. Bagaimanapun ini tidak bererti nyawa politik Hadi dijamin selamat.

Seperti disebut pada awal tadi, Asri melalui fasa sedih dalam karier politiknya apabila dia bukan saja dimalukan malah dijatuhkan semasa muktamar parti berlangsung di DBP, Kuala Lumpur. Dengan berat hati beliau kemudian mengumumkan pengunduran serta meninggalkan parti yang diperjuangkan sejak sebelum merdeka lagi.

Malah sejak sebelum muktamar lagi kedengaran angin perubahan bertiup mahu perubahan di peringkat tertinggi. Maknanya Asri sudah pun menduga kedudukannya sudah tidak lagi selamat. Puak pro ulama seperti merancang kudeta ketika itu.

Kekalahan Pas di Kelantan selepas Mageran ditarik semula adalah sebab dia dikritik. Dia dilihat sebagai penyebabnya. Konon kekalahan itu berpunca kelemahan berhubung kepimpinannya.
Saya juga masih ingat ura-ura Asri dan rakan-rakan hendak membawa Presiden Abim ketika itu, Anwar Ibrahim masuk Pas. Rundingan dengan Anwar akhirnya gagal membuahkan sesuatu positif. Dengarnya Anwar mahu terus menjadi presiden tanpa berada di posisi nombor dua.
Mungkin jika Anwar sertai Pas dan menyokong Asri, skrip drama politiknya agak berlainan. Asri mungkin tidak berdepan kritikan seperti yang berlaku. Tapi semua ini sejarah pahit buat Pas.     
        
Sejak bergelar politikus Asri adalah ibarat superstar yang berjaya menarik orang ramai menghadiri ceramah Pas. Ia memang memukau macam Sukarno di Indonesia. Kalau dikira jualan tiket, ia sering sold-out.

Pernah sekali rakannya melihat daripada jumlah orang ramai hadir di pentas ceramahnya meluahkan keyakinan bahawa  peluang Pas untuk berkuasa sangatlah cerah.

Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK PKR pada 2007 menulis:  Bapa saya sering bercerita bagaimana apabila Asri menyampaikan ceramah, orang ramai akan berduyun-duyun mengikutinya.

Sejarah tidak menipu ia adalah panduan dan peringatan. Apa yang dihadapi Asri kini menimpa Hadi. Zaman bulan madu buat Hadi sejak memimpin Pas mengambil alih daripada Allahyarham Fadzil Noor sudah lama berakhir.

Dulu Hadi menikmati sokongan padu kini tidak lagi. Ini dijelaskan anak Nik Aziz, Nik Abduh melalui entri FBnya: "Kini sudah berbeda dari dulu. Kini, TGNA (Nik Aziz), THH (Hadi), TGHD (Haron Din) di satu pihak, manakala pihak kedua yang dulunya mereka letak TGNA bersama mereka, kini tak boleh lagi.”

Kritikan terhadap Hadi berpusat daripada keengganan Pas menyokong PKR menabalkan presidennya, Wan Azizah sebagai MB Selangor menggantikan Abdul Khalid Ibrahim. Hadi dilihat berdolak-dalik serta sering membuat U-turn dengan sikap tidak konsisten. Itu komen penentangnya.

Kepada persoalan mengapa Pas menolak Wan Azizah, Hadi berkata: “Kalau daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan untuk jawab soalan di Parlimen, untuk soal di Parlimen, soal dalam Dewan Negeri, nak berdialog dengan lawan dalam Dewan Negeri pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin? Ini tak boleh.”

Dalam isu Kalimah ALLAH dan hukum hudud tajaan Pas, DAP hanya mengkritik dasar Pas bukannya pemimpinnya. Kali ini DAP melepaskan geram secara terbuka dengan menggelar Hadi dan puak ulama menolak Wan Azizah sebagai “these nutty and hududy elements....”

Yang ketara DAP menganjurkan ahli-ahlinya agar tidak kecewa dengan Pas kerana mereka masih ada pemimpin seperti Mat Sabu dan beberapa lagi tokoh liberal.  

Kini ia bukan satu klise bahawa rancangan menggulingkan Hadi tak ubah satu sandiwara. Ia juga tak benar sekadar ibarat ribut dalam cawan kopi. Ia kelihatan jauh lebih serius dari waktu Asri digulingkan.

Kini kita lihat usaha menjatuhkan Hadi jauh lebih sofistikated dari pernah dibuat oleh puak anti Asri dulu. Kempen memburuk-burukkan Hadi tidak lagi berpandu hukum akal jauh sekali hukum agama. Matlamat puak ini memastikan sama ada Hadi mengundur diri ataupun dipecat dari parti.

Sebab itu kita lihat puak ini mengaitkan Hadi sebagai proksi Umno bagi menjayakan kerajaan perpaduan tajaan Umno. Fitnah sama pernah dijaja puak anti Asri dulu.
Atas kertas Hadi dan puaknya menguasai Pas.

Kalangan akar umbi nampaknya sanggup tenggelam dan timbul bersama. Hakikatnya ia tidak dikongsi mereka yang mahukan perubahan. Mampukah Hadi melawan arus atau menjadi mangsa korban seperti yang menimpa Allahyarham Asri pada 23 Oktober, 1982?