SEINGAT saya konsep 1Melayu bukan baharu menjelma macam beberapa watak yang menakutkan dalam siri Hantu Mak Limah. Sebenarnya sudah lama ia diperjuangkan. Namun dikatakan diberikan nafas baharu sejak PRU12 pada 2008.

Konsep 1Melayu dimulakan jauh lebih lama sebelum orang Melayu kenal dan berjinak-jinak dengan kopitiam ataupun hotdog.

Kalau konsep 1Melayu tidak dimulakan oleh raja-raja Melayu berkurun dulu, hari ini tidak ada negeri bernama Tanah Melayu. Kita juga melihat terkorbannya Tanah Melayu, setelah terkuburnya sistem kesultanan di Melaka.

Ini sejarah silam yang tak mungkin padam dari kotak fikir bangsa kita. Pada 1946, Melayu bersatu menentang Malayan Union atau dengan lain perkataan bersatu melalui satu suara menentang pentadbiran dan penjajahan Inggeris.

Hari ini iaitu selepas 56 tahun merdeka, 1Melayu menghadapi cabaran paling getir daripada bangsa sendiri. Penubuhan Pas di era British bukan sahaja  mengesahkan dasar pecah dan perintah mereka tetapi memusnahkan, mungkin secara berkekalan, pencapaian konsep 1Melayu yang telah diasaskan sebelum kedatangan penjajah.

Malaysia mungkin sudah merdeka namun itu sekadar sebuah negara. Tapi sebagai satu bangsa Melayu kita sebenarnya belum merdeka. Kita bukan saja dijajah dari segi ekonomi dan perniagaan, kita juga melalui fasa-fasa menakutkan. Kuasa politik semakin tercicir dari genggaman gara-gara wujudnya si kitol dalam belantara politik kita.                         

DEB adalah dasar yang dicipta khas untuk memerdekakan ekonomi Malaysia dari dikuasai satu-satu kaum.

Malangnya dengan ketirisan serta sikap bangsa kita, hak 30 peratus kita serahkan kepada orang lain. Terdapat Melayu yang jadi super kaya tetapi lupa asal-usul.

Kita juga menyaksikan pemimpin-pemimpin politik Melayu dalam Umno yang memperjuangkan kuasa, kekayaan dan nafsu.

Kita juga melihat keupayaan Anwar Ibrahim menyatukan tiga parti-PKR, Pas dan DAP menyemarakkan lagi perpecahan orang Melayu. Daripada 1Melayu, timbul dua Melayu apabila sekumpulan Melayu berpisah dari Umno dan menubuhkan PKR.

Dan kini dah timbul pelbagai parti memperjuangkan nasib Melayu. Malah DAP juga mengaku memperjuangkan nasib orang Melayu di Pulau Pinang.

Bukan itu saja kita juga dapati perpecahan melibatkan kaum reformis - kumpulan penulis laman maya yang menjadi antagonis dan protagonis 1Melayu, sama ada secara langsung ataupun tidak.

Mungkin Pas selepas Muktamar lalu iaitu selepas puak ulama gagal menyekat kemaraan puak pro Anwar atau kumpulan Erdogan daripada menguasai pelbagai jawatan penting cuba cari jalan keluar. Kemenangan Mat Sabu memberi harapan kepada puak yang mahukan Pas keluar dari kepompongnya dengan lebih liberal dasar serta ruang lingkupnya.

Matlamat Pas tetap macam dulu iaitu menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud. Soal PKR dan lebih-lebih lagi DAP membantah ia sedikit pun tidak mematah semangat parti itu. Pas harus sedar 1Melayu adalah satu agama.

Sama ada Umno atau Pas, matlamat utama ialah menubuhkan sebuah negara Islam. Membezakan pada masa kini ialah bila dan bentuk yang nak dibuat.

Pas sedar Islam tidak akan berkembang di bawah DAP. Cita-cita Pas melihatkan sebuah negara Islam dirantau ini sekadar fatamorgana di bawah DAP. Mustahil Hadi tak faham lagi politik Lim Kit Siang, Lim Guan Eng ataupun Karpal Singh.

Kita dapati halangan utama ke arah kerjasama antara Umno dan Pas iaitu Nik Aziz sudah pun selesai. Dengan Nik Aziz bukan lagi MB Kelantan serta suaranya dalam Pas semakin terpinggir maka usaha menjalinkan kerjasama dengan Umno jauh lebih mudah.

Masalah utama Pas ialah menjauhkan diri daripada Anwar jika parti itu mahu melihat kerjasama dengan Umno membuahkan hasil.

Justeru kita percaya usaha sedang dirintis dan dalam tempoh terdekat pengaruh Anwar dalam Pas dan Anwar sendiri sebagai ketua tak rasmi akan menjadi bahan sejarah. Hanya masa sahaja menentukan kesedaran Pas kelak bahawa prasyarat penubuhan negara Islam sepenuhnya adalah setelah 1Melayu berjaya diwujudkan.