MENJELANG 13 Mei, anak watan Kemaman yang juga MB Terengganu  Ahmad Said meletak jawatan. Pada malam sama dua peristiwa penting tercatat sebagai sebahagian rekod sejarah. Pertama pelantikan Adun Seberang Takir Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai MB baharu.

 Kedua, menjelang tengah hari keesokannya iaitu pada hari 13 Mei, Ahmad dan rakan-rakannya, Adun Ajil, Ghazali Taib, serta Roslee Daud, Adun Bukit Besi keluar Umno dan menjadi calon Bebas.

Dua lagi Adun, Jidin Shafie (Permaisuri) dan Rosli Othman (Kemasik), yang dikait dengan kem ini bagaimanapun menafikan mereka terlibat. Dalam tempoh beberapa jam menjadi wakil rakyat tidak berparti, Roslee menarik balik surat peletakan jawatan.

Pada sebelah petang 13 Mei, suhu politik Terengganu kembali hampir normal. Gempar bakal berlaku pilihan raya negeri tidak menjadi kenyataan apabila Speaker Dun Zuber Embong menafikan. Zuber tidak menemui Tuanku Sultan menyembah memohon agar Dun Terengganu dibubarkan.

Pas mungkin sedar itu tidak lebih sekadar sebuah drama kekeluargaan. Ia tidak memungkinkan jatuhnya kerajaan BN seperti yang mereka atau penyokong harap-harapkan.

Justeru walaupun mesyuarat khas Pas negeri diadakan pada pagi Selasa, namun menurut Pesuruhjayanya Saiful Bahri Mamat, Pas tidak akan melamar tiga Adun berkenaan.

Walaupun kedudukan BN kekal dengan 16 wakil rakyat di Dun Terengganu berbanding Pas 15, PKR 1, dan Bebas 2, krisis politik di negeri itu pada kadar sekarang dianggap selesai. Secara teknikalnya BN masih memerintah tetapi tidak bererti Ahmad kalah.

Sejak pagi, Perdana Menteri menjadi perhatian. Di Terengganu setiap kali nama Ahmad Said disebut begitu juga nama Najib Razak. Walau lebih ramai berdiri menyokong pendirian Najib berhubung kedudukan Ahmad, ia tidak sama seperti apa yang tersirat.

Ramai berpendapat tindakan Najib agak tergesa-gesa. Ada juga cerita 'orang ketiga' terbabit yang menyebabkan Najib mengambil pendirian keras.

Benar persetujuan awal memberi tempoh setahun kepadanya sebelum berundur sebagai MB. Persetujuan ini dibuat sebelum PRU13 kerana Najib mengutamakan perpaduan parti. Yang ingkar tentulah Ahmad, bukannya Najib.

Tetapi penyokong Ahmad berpendapat mantan MB itu bukannya ingkar atau tidak setia. Beliau hanya meminta peletakan jawatannya ditangguhkan sehingga selesai kenduri kahwin anaknya pada 17 Mei. Ini soal maruah. Bayangkan jumlah tetamu hadir pada hari itu apabila dia tidak lagi bergelar YAB.

Terengganu pernah bergolak gara-gara Idris Jusoh tidak dilantik semula sebagai MB pada 2008. Krisis itu tidaklah serius kerana Idris menerima qada’Nya.

Cerita mengenai dua senarai calon-calon bertanding dalam PRU13  kini menjadi bahan perbualan. Konon senarai dikemukakan Ahmad tidak diguna pakai. Sebab itu walaupun ada yang memihak pada Ahmad dalam krisis ini lebih ramai yang berdiri memihak Najib dan Ahmad Razif.    
 
Juga diungkit ialah keputusan PRU13 yang menyaksikan BN peroleh 18 kerusi berbanding 16 pembangkang. Mereka berpendapat Ahmad tidak harus dipersalah seratus peratus. Lagipun dalam pilihan raya lalu Ahmad tidak ada kuasa eksekutif dalam pemilihan calon-calon.

Sejak 2008 dan sebelumnya lagi, Ahmad suka melawan arus. Ini dipanas lagi dengan gembar-gembur pembangkang seperti isu pasar payang, lawatan ke Antartika dan sebagainya.

Justeru krisis yang melanda Terengganu memberinya ruang menagih simpati umum. Lebih-lebih lagi kehilangan jawatan MB seminggu sebelum berlangsung majlis kenduri kahwin anaknya.Ramai secara tidak semena-mena simpati dengan nasibnya.

Walaupun Ahmad kini kembali ke pangkuan parti serta krisis melanda ibarat ribut yang tidak menjadi, ia satu pengajaran yang pahit. Keadaan boleh saja berlaku sebaliknya jika kedua-dua pihak iaitu Ahmad dan para pimpinan Umno bersikap bebal. Yang menyelamatkan keadaan ialah sikap rasional mereka.

Kita teringat persamaan antara Kijal dan Tambunan di Sabah dalam konteks krisis politik. Harris Salleh selaku Ketua Menteri mengetepikan nasihat rakan-rakan sebaliknya memecat Pairin Kitingan dan menghukum Tambunan.

Tapi dalam kes Ahmad, krisis berjaya dibendung kerana sikap Ahmad dan juga rakan-rakannya kembali menjiwai roh Umno.

 Seperti disebut tadi semua pihak dalam Umno kembali bersatu demi masa depan rakyat di Terengganu. Tidak ada siapa menang atau kalah dalam krisis tiga hari itu. Ahmad kini sudah pun menemui PM dan bakal menumpu perhatian pada kenduri anaknya pada 17 Mei.

Sementara semua ini berlaku dengan pantas, Ahmad Razif sebagai MB baharu sudah pun memulakan tugas khusus dalam konteks membawa Terengganu jauh lebih baik dari zaman dia sekadar bergelar anggota Exco.