SEORANG protege Dr Zakir Naik (DZN) kelihatan tidak selesa bila saya mengkritik gurunya. Kata-kata yang tidak rasional keluar daripada mulutnya. Ini sudah dijangka dalam budaya dakwah yang bersifat “idolisasi”.

DZN dianggap pendakwah idol terulung. Alasan yang biasa digunakan oleh protege yang konformis untuk mengidolakan DZN adalah “Program TV DZN iaitu Peace TV mempunyai 100 juta penonton yang terdiri daripada Muslim dan bukan Muslim”.

Saya pun bertanya kepada protege DZN ini, “Kalau begitu banyak penonton, berapa rakyat bukan Muslim di Malaysia yang menonton Peace TV?” Hakikatnya, majoriti besar rakyat Malaysia bukan Muslim tidak kenal pun siapa DZN. Angka statistik adalah bersifat kuantitatif dan tidak semestinya indikator kepada kualiti dakwah.

Contohnya, ia tidak beritahu berapa peratus penonton bukan Muslim, tidak beritahu berapa yang peluk Islam sebagai hasil tontonan, tidak beritahu sama ada jumlah ini adalah jumlah penonton setiap kali DZN berucap atau jumlah keseluruhan tontonan untuk satu jangka masa. Yang jelasnya bila kita bandingkan video YouTube Gangnam Style dan DZN, perbezaan jauh jumlah views amat ketara sekali. Tetapi adakah dakwah perlu obses mengejar views dalam YouTube?

Baru-baru ini enam rakyat Malaysia telah dihantar untuk dilatih oleh DZN. Rupa-rupanya latihan yang diberi selama dua bulan adalah untuk menjayakan program realiti Peace TV, di mana para peserta dilatih untuk berucap di pentas TV yang bertaraf Hollywood.

Nota-nota, ayat-ayat relevan al-Quran diberi untuk dihafal, di samping mereka mendapat tazkirah daripada DZN. Juri-juri yang diketuai DZN akan menilai gaya ucapan peserta yang berusaha meniru gaya ucapan DZN. Akhirnya, anak DZN sendiri yang menjadi juara. Program-program seperti ini mengingatkan kita tentang Pencetus Ummah, Daie Milenia yang kesemuanya mengambil inspirasi daripada American Idol.

Dakwah menjadi program realiti seolah-olah ia adalah pementasan teater dan daie yang paling hebat ialah pelakon yang paling menghayati wataknya semasa di atas pentas! Daie diiklankan dengan poster-poster bombastik seperti “idol”. Kita lihat kedatangan DZN ke Malaysia kali ini bakal membawa budaya “idol” ini. Saya lihat DZN kerap menyebut pengiktirafan-pengiktirafan yang diterimanya dan statistik 100 juta penontonnya. Protege-protegenya juga menumpang kemasyhuran “idol” DZN.

Bagi saya, DZN dan para protegenya adalah individu-individu yang ikhlas dan banyak berjasa dalam dunia dakwah. Saya sendiri banyak mengambil inspirasi daripada DZN dan protegenya yang hebat. Apa yang saya kritik di sini ialah BUDAYA dakwah yang bersifat idolisasi.

Kita perlu berhati-hati dengan BUDAYA dakwah walaupun individu daie seperti DZN adalah seorang yang disegani. Para sosiologis mengatakan setiap individu adalah dipengaruhi oleh budaya tanpa kita sedari. Ibn Khaldun dalam kitab Muqaddimah juga berpendapat bahawa individu adalah dipengaruhi oleh budayanya.

Budaya idolisasi DZN ini ada baik dan buruknya. Kebaikannya adalah latihan    daie menjadi lebih cepat seperti fast food kerana protege sudah ada gaya idol terulung yang wajib dicontohi, ditiru dan dicedok iaitu DZN. Produk daie yang berjaya   adalah yang paling mendekati gaya idol terulung iaitu DZN.

George Ritzer telah menulis tentang budaya Macdonaldisasi yang melanda dunia komersial.  Budaya fast food seperti Macdonald menjadi popular kerana konsep Macdonaldisasi yang menghasilkan burger yang sama rasa dan sama bentuk dalam masa yang cepat amat diterima oleh masyarakat yang bersifat konformis, tidak sabar dan inginkan hasil yang cepat.

Kita lihat program realiti DZN mempunyai ciri-ciri Macdonaldisasi ini iaitu dalam masa dua bulan, ia berjaya menghasilkan protege-protege yang berdiri, berjalan, senyum, berucap seperti DZN iaitu mampu memetik ayat-ayat al-Quran seperti gaya DZN, mampu memberi hujah seperti hujah DZN, mampu memetik ayat-ayat Bible seperti DZN dan kalau boleh, mampu membuat konsert mega ceramah seperti tarikan DZN.

Tetapi persoalannya ialah sejauh manakah budaya dakwah perlu mengikut budaya Macdonald atau American Idol? Adakah daie sekadar satu “watak” di pentas? Bagaimana dengan kehebatan daie-daie belakang tirai?


* Abdul Naser Tun Rahman Pengerusi Skuad Mubaligh Selangor (SMASH)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DR Henry George Farmer merupakan seorang komposer muzik. Sebuah buku Perancis yang bertajuk La Musique Arabe, yang ditulis oleh Salvador-Daniel telah membuka matanya bahawa muzik Barat moden berasal daripada muzik Arab.
  • “DEMI masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." (Maksud Surah al-‘Asr: 1-3)
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.