CUBA tanya gen Y siapakah hero falsafah mereka, sama ada mereka blurr atau responsnya merujuk kepada hero-hero Barat. “Karl Marx membentuk falsafah Sosialisme dan John Locke membentuk falsafah Liberalisme”.

Baca sahaja buku-buku teks tentang ilmu psikologi, sosiologi, sejarah, sains, perbandingan agama, ekonomi dan politik, jelas semua 'ilmu' ini dijajah oleh hero-hero Barat. Timbul persoalan di mana hero daripada warisan Islam?

Kalau umat Islam memang umat terbaik (khairu ummah), sudah tentu indikator terbaik mestilah wujud hero-hero ilmu, bukan hero Badang yang tak menjadi.

Tetapi Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas mengajak pendakwah-pendakwah untuk fikir lebih jauh dari isu hero. Bila apa yang menyamar sebagai ilmu itu dimonopoli oleh hero-hero Barat, adakah ia benar-benar bersifat objektif dan tidak mengandungi virus-virus tersembunyi yang akan korupkan mindset umat Islam yang mempelajarinya supaya mudah Barat terus menjajah jiwa umat?

Kalau seorang pensyarah sekularis mengajar sains politik kepada kamu, adakah kamu rasa dia akan mengajar ilmu ini dengan silibus yang akhirnya bertujuan meyakinkan  kamu untuk sokong sekularisme atau tidak? Sudah tentulah agenda pensyarah ini akan mewarnai ilmu sains politik yang diajarnya.

Sekarang bayangkan buku teks ilmu sains politik yang ditulis oleh pensyarah sekularis ini digunakan oleh universiti-universiti Malaysia sebagai rujukan utama, sudah tentu graduan-graduan sains politik akan dipengaruhi ideologi yang mewarnai ilmu ini. Bila graduan-graduan ini menjadi pendakwah, mereka akan dilanda kekeliruan tanpa sedar.

Bila berbicara soal agama, mereka akan membicarakan agama sebagai Ad-Din. Tetapi bila berbicara soal sains politik, timbul persoalan sejauh mana mereka mampu memahami makna kata-kata kunci sains politik dari kerangka Ad-Din tanpa dijangkiti virus-virus sekularisme. Dibimbangi mereka ini hanya sekadar menampal wacana sains politik dengan kalimah Ad-Din tanpa pemahaman falsafah dan metafizik yang mendalam.

Maka, Prof Naquib tegas dengan usaha Islamisasi Ilmu yang mengandungi sekurang-kurangnya dua langkah utama: pertama, menyemak ilmu-ilmu yang diimport dari Barat dengan pemahaman falsafah dan metafizik berdasarkan warisan umat Islam, dan kedua, melahirkan hero-hero islamisasi ilmu yang kompeten supaya satu hari kelak, buku-buku teks  daripada tokoh-tokoh ilmuwan yang mempunyai perspektif Islam yang benar tentang makna wujud.

Maka, Prof Naquib bersama Dr Wan Mohd Nor Wan Daud bertungkus-lumus mengusahakan penubuhan ISTAC bagi tujuan dakwah makro iaitu mengubah landskap wacana ilmu dan hero. Yang istimewanya cara ISTAC melatih pelajar-pelajar sarjananya yang datang dari kampung-kampung.

Pelajar-pelajar ini bukan sekadar didedahkan kepada tokoh-tokoh ilmuwan dari pelbagai negara tetapi dilatih, didorong, bahkan didesak untuk berlawan hujah dengan ilmuwan-ilmuwan global ini. Usah rasa kerdil. Anda Muslim!

ISTAC seolah-olah menjadi kem latihan mujahidin ilmu yang bersifat intensif dan lasak. Prof Naquib menjadi simbol inspirasi bagaimana beliau berjaya patahkan wacana orientalis Barat dalam isu tarikh Batu Bersurat Terengganu.

Kalau seorang ilmuwan anak Malaysia berjaya bangun dan tewaskan tesis orientalis Dunia Pertama, kita juga mampu lahirkan lebih ramai lagi hero Malaysia yang mampu bersaing dengan ilmuwan Harvard, Oxford dan Cambridge satu hari nanti.

Prof Naquib nampak saingan ilmu, sebagai agenda utama umat Islam. Perkasakan daya saingan ini dengan mendalami falsafah dan metafizik tokoh-tokoh Islam dari tamadun Arab, Turki, Parsi dan Melayu. Cungkil semula kewibawaan ini. Kita tidak boleh bersaing dengan tangan kosong.

Kita bersaing dengan berdiri atas bahu gergasi-gergasi ilmuwan klasik tamadun kita dulu. Sekadar menang debat universiti tidak memadai.

ISTAC Naquib adalah simbol bahawa kita tidak boleh 'kowtow' kepada penjajahan ilmu pasca kolonialisme oleh kuasa asing. Ta’dibkan dan disiplinkan diri sebagai khairu ummah. Adalah biadab jika umat Islam gagal meletakkan diri mereka di tempat sepatutnya.

Islamisasi Ilmu Prof Naquib menjemput setiap Muslim untuk tanya soalan ini: Apa hutang aku kepada Tuhan?

Bersambung...

* Abdul naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak