KITA kenal siapa Laksamana Muslim Cheng Ho yang telah mengahwinkan Hang Li Po dengan Raja Melaka. Armada Cheng Ho tiada tandingan sehingga dikatakan bahawa kapal Portugis Vasco Da Gama sangat kecil jika dibandingkan dengan satu kapal Cheng Ho. Apatah lagi jika dibandingkan armadanya!

Tetapi tidak ramai kenal Maharaja Dinasti Ming yang menaja armada Cheng Ho yang banyak membantu dakwah. Beliau dikenali sebagai Zhu Yuanzhang dan agamanya suatu kontroversi.

Prof Chen Wu-Tong, School of History and Culture, Minzu University of China,  berhujah bahawa Maharaja Zhu Yuanzhang bukan seorang Muslim walaupun beliau banyak membina masjid sejurus selepas beliau menaiki takhta. 

Bahkan Prof Chen juga menulis bahawa puisi yang bertajuk Baizi Zan tidak melambangkan keislamannya tetapi hanya satu strategi politik untuk mengambil hati ramai komander tenteranya yang beragama Islam. Prof Chen menulis ini sebagai reaksi kepada hujah Zhou Youguang bahawa maharaja ini adalah seorang Muslim.

Walau bagaimanapun, ulasan Prof Chen menunjukkan satu fenomena penting iaitu: pengaruh Muslim sangat kuat pada zaman Dinasti Ming di China sehingga Maharaja Zhu Yuanzhang, seperti dilaporkan oleh Liu Zhi, telah mengarang puisi Baizi Zan walaupun beliau mungkin bukan seorang Muslim.

Apakah itu puisi Baizi Zan? Baizi Zan ialah puisi seratus perkataan memuji Nabi Muhammad SAW. Puisi ini terpahat di banyak masjid-masjid di China. Inilah terjemahan mudahnya:

“Bermulanya alam semesta, langit sudah pilih namanya.

Nabi hebat berdakwah, sudah pun lahir di Barat.

Dikurniakan kitab dari langit, 30 juzuk, mengislahkan setiap yang hidup.

Guru berjuta raja, ketua beribu wali.

Dengan bantuan langit, rakyat dibela.

Dengan solat 5 waktu, didoakan keamanan semua.

Hati ikhlas kepada Tuhan, hak orang miskin diperkasakan.

Rakyat diselamatkan dari keperitan, kezaliman ditelanjangkan.

Berjiwa unggul, maksum.

Rahmat bagi alam, jalannya terbaik dulu kini selamanya.

Menidakkan yang palsu, kembali kepada yang satu

Itulah Islam, jelas dan benar.

Muhammad adalah termulia, terpuji.”

Demikianlah puisi Baizi Zan. Ia masih guna konsep Langit seperti bantuan Langit, Langit sudah pilih nama, kitab dari Langit. Falsafah Confucian Cina menganggap ‘Langit’ (Tian) seolah-olah seperti Tuhan.

Budaya Cina begitu takjub dengan keindahan Langit, lalu tidak membezakan antara sunnah alam dan Penciptanya. Contohnya, setiap novel ada jalan ceritanya. Bila jalan cerita sebuah novel indah, orang rasa takjub dengan novel itu. 

Ada orang yang begitu takjub dengan keindahan jalan cerita sehingga menguduskan novel itu sebagaimana masyarakat Cina menguduskan Langit kerana terlalu takjub.

Jika takjub ini makin ekstrem, Langit disamakan dengan Tuhan. Sebenarnya ini hasil kekeliruan antara penulis, jalan cerita dan novel itu sendiri. Langit adalah umpama sebuah novel yang indah, mempunyai sunnahnya (nature) seperti novel mempunyai jalan ceritanya. 

Sunnah adalah umpama jalan cerita. Tetapi Langit dan sunnah Langit adalah bukan Tuhan sebagaimana novel dan jalan ceritanya bukan penulisnya.

Baizi Zan telah menggunakan perkataan Zhenzhu yang membawa makna Tuhan. Perkataan ini sesuai dengan konsep Rabb dalam Islam. Gabungan antara konsep Tian (Langit) dan konsep Zhenzhu (Tuhan) adalah usaha untuk memperkenalkan ajaran Islam dengan istilah-istilah Confucian.

Kita juga lihat tersirat dua kalimah syahadah pada penghujung puisi. Ayat “Menidakkan yang palsu, kembali kepada yang Satu” sebenarnya menyerupai struktur kalimah syahadah “Tiada tuhan melainkan ALLAH” kerana ia bermula dengan penafian menidakkan kepalsuan dan berakhir dengan ikrar kembali kepada yang Satu. 

Syahadah juga bermula dengan penafian tuhan-tuhan yang palsu dan berakhir dengan ikrar wujudnya ALLAH, Tuhan yang Satu.

Ayat terakhir “Muhammad adalah termulia, terpuji” adalah ayat ikrar terhadap wibawa Nabi SAW sebagaimana kalimah syahadah yang kedua adalah ikrar tentang wibawa Muhammad sebagai Rasulullah.

Mungkinkah maharaja mengisyaratkan syahadahnya secara tersirat melalui puisi Baizi Zan?

Terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim yang telah memberi platform kepada saya dan Ebby Lee untuk mendeklamasikan puisi Baizi Zan dalam Mandarin dan terjemahan Melayu pada kali pertamanya di Malaysia pada 22 September 2017.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSOALAN yang sering dilontarkan kepada saya dalam perbincangan kritis dengan masyarakat multibudaya ialah tentang justifikasi Hak Istimewa Melayu dan Bumiputra di Malaysia. “Apakah hujah Xifu dalam membela wujudnya Hak Istimewa sesuatu bangsa di Malaysia? Bukankah Yahudi percaya dengan doktrin kaum terpilih di mana hanya mereka sahaja yang layak diberi hak istimewa?”
  • DR Shabbir Ally merupakan ilmuwan yang disegani oleh masyarakat global kerana wibawa ilmiahnya dalam interfaith dialogue dan dalam menjelaskan Islam tanpa mengorbankan asas-asas tradisional Islam, serta pada masa sama rasional, relevan pada mindset terkini.
  • MUDAH untuk mengadu mengapa umat Muslim tidak bersatu, tetapi bermusuh antara satu sama lain. Kita yang memiliki wahyu yang benar wajib bermuhasabah diri dulu.
  • PROF Malik Bennabi menulis bahawa umat Islam mudah dijajah oleh kolonialis Kristian Barat bukan kerana Kristian Barat kuat tetapi kerana umat Islam sendiri begitu mudah dayus iaitu mudah dibuli dan mudah dijajah. Malik Bennabi menamakan penyakit mudah dayus ini dengan istilah colonizability (kolonizabiliti).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.