PADA tahun 2005, hanya wilayah California sahaja yang sahkan perkahwinan sama jantina di Amerika. Tetapi 10 tahun selepas itu iaitu pada 2015, semua wilayah dalam Amerika mengesahkannya secara undang-undang.

Para pengkaji sosiologi terpegun dengan kelajuan pengesahan perkahwinan sama jantina. Jelas, LGBT bukan sekadar orientasi seksualiti individu. Ia sudah menjadi gerakan politik dan ideologi yang bersifat diktator.

Prof Roger Scruton telah menyebut penindasan politik ke atas tokoh feminis Dr. Germaine Greer yang anti-gay. Greer telah dengan sengaja mengubah perkataan transgender kepada transeks.

Bagi Greer, gerakan transeks bukan sekadar mengubah “gender” (pandangan budaya) tetapi berusaha mengubah status biologi “seks” iaitu mengubah jantina atau kemaluan. Gerakan ini berusaha untuk memalsukan kemaluan dengan mengubah kemaluan lelaki kepada kemaluan wanita.

Bagi Greer, ini sebenarnya membawa mesej anti-kewanitaan original seolah-olah lelaki mampu mencipta kewanitaan palsu yang jauh lebih hebat daripada wanita asli. Lelaki bukan sekadar berjaya merendahkan martabat wanita tetapi mampu menggantikan status wanita dengan menjadi “wanita” lebih dari wanita!

Mesej yang lebih makro lagi ialah penghinaan kepada sifat keibuan. Wanita palsu boleh menggantikan sifat keibuan dalam wanita original dengan hanya mengubah kemaluan seks dan memakai pakaian wanita!

Gerakan diktator LGBT pula sanggup menghina kewanitaan sampai ke peringkat bahawa kalau gay berkahwin, soal keturunan bukan masalah. Mereka boleh guna seorang wanita original untuk melahirkan anak untuk mereka! Wanita hanya kilang buat anak semata-mata.

Selepas digunakan untuk menghasilkan produk yang bernama “bayi”, pasangan gay boleh menggantikan keibuan wanita yang bersalin itu. Wanita ini tidak berguna lagi untuk mereka dan untuk bayi yang dia lahirkan!

Gerakan LGBT sebenarnya tidak kuat dari segi hujah. Hujahnya ialah seksualiti mereka isu peribadi.

Dakwaan ini tidak realistik sebenarnya. Kalau benar-benar isu peribadi, mengapa mereka menindas mereka yang mengkritik gerakan LGBT? Mereka rasa tercabar kerana ia adalah satu gerakan ideologi yang bersifat defensif. Askar-askarnya akan mempertahankan dogma-dogma ideologi seperti ISIS membunuh musuhnya.

Bagaimana mungkin ia isu peribadi sedangkan ia memperjuangkan hak undang-undang untuk kahwin sama jantina? Kalau ia sekadar isu peribadi, mereka tak perlu kahwin pun. Mereka boleh tinggal bersama.

Contohnya cuba tanya mengapa pasangan gay hendak undang-undang menghalalkan perkahwinan mereka? Kalau sekadar cinta atau seksual, mereka boleh sahaja tinggal bersama. Dalam negara Islam, tiada siapa yang mengesyaki mereka berdua ini gay.

Hakikatnya mereka hendak memaksa pengiktirafan seluruh dunia terhadap ideologi gay mereka. Ia bukan soal peribadi. Ia soal pengiktirafan sosiopolitik yang bertujuan memperjuangkan dogma-dogma ideologi gay.

Mereka kata bahawa seksualiti mereka tidak kacau orang lain. Bagaimana tidak kacau sedangkan mereka kutuk sesiapa yang tidak sokong budaya mereka dan mereka memperjuangkan perubahan undang-undang negara agar ideologi mereka dapat ditegakkan.

LGBT bukan sekadar beza seksualiti. Ia mengubah budaya, undang-undang dan membawa ideologi dan falsafah tentang cara menilai baik buruk. Contohnya, LGBT memperjuangkan falsafah Prinsip Mudarat (Harm Principle) yang diperkenalkan oleh John Stuart Mill. Sesuatu perbuatan adalah baik selagi ia tidak memudaratkan orang lain.

Hubungan seks antara gay tidak memudaratkan orang lain, maka ia perkara baik. Di sini kita lihat ideologi gay mendefinisikan konsep mudarat dalam skop yang sangat sempit seolah-olah yang baik ialah yang halalkan keseronokan mikro antara dua insan.

Mereka tak terfikir mudarat makro yang lebih besar terhadap konsep seks, konsep gender, konsep kewanitaan, konsep perkahwinan, konsep keibuan, hatta fungsi agama dalam menguruskan hubungan antara insan.

Maknanya sebenarnya hanya satu hujah sahaja yang paling kuat dalam gerakan LGBT iaitu kediktatoran perasaan individu. Contohnya, saya rasa saya seorang wanita dalam jasad lelaki, maka saya semestinya seorang wanita.

Bayangkan satu hari nanti, seorang lelaki mengambil keputusan untuk masuk tandas perempuan. Bila ditanya mengapa mahu masuk tandas perempuan, dia jawab bahawa tiba-tiba dia rasa wujud kewanitaan dalam dirinya, maka dia layak di gelar “wanita”!

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah perak