PERDEBATAN tentang makna 'autonomi' universiti memang sengit seolah-olah perkataan ini sudah menjadi jampi mantera. Para dogmatis autonomisme menyi­hir dengan mitos bahawa jika sebuah universiti mencapai autonomi politik, maknanya ia mampu melahirkan graduan-graduan yang berfikir bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana ideologi. Universiti akan menyajikan informasi-informasi yang  bebas dari sebarang nilai.

Prof Edward Said dalam bukunya "Orientalism" telah menelanjangkan mitos autonomi universiti-universiti terkemuka Barat. Edward Said telah membongkarkan hakikat bahawa kajian-kajian di universiti-universiti terulung Barat yang dikatakan 'ilmiah' sebenarnya tidak bebas nilai pun. Ia tetap dipengaruhi oleh wacana kuasa dan ideologi materialisme.

Isu autonomi universiti sentiasa difahami dalam erti yang terlalu dogmatik dan sempit iaitu sekadar bebas dari pengaruh politik kepartian sedangkan wujud pengaruh-pengaruh yang lebih besar yang mencengkam universiti iaitu penjajahan materialisme dan ideologi-ideologi yang berselindung di belakang kalimah-kalimah sihir seperti  autonomi, kebebasan, hak asasi manusia dan bebas nilai.

Ejen-ejen sosialisasi ideologi bukan sekadar parti politik, tetapi juga kapitalis-kapitalis materialisme yang memaksa universiti-universiti untuk melahirkan graduan-graduan yang 'employable' iaitu yang boleh dikerjakan oleh kapitalis-kapitalis demi menggandakan keuntungan material mereka.

Sultan Pahang dan Rektor UIAM Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak nampak agenda politik kapitalis yang mempromosikan impian autonomi demi untuk memudahkan kapitalis-kapitalis yang kononnya bebas politik untuk menjajah universiti agar ia ditundukkan kepada nilai-nilai pasaran yang juga dijajah oleh mereka.

Maka, Sultan Pahang dan Rektor UIAM telah membuat keputusan yang tepat untuk melantik Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM demi menyelamatkan Ummah dari serangan ideologi kapitalis.

UIAM adalah universiti yang mempunyai keunikan tersendiri. Ia di beri amanat global oleh seluruh dunia Islam untuk melahirkan graduan-graduan yang bukan sekadar "employable" tetapi bermindset khalifah.

Maknanya ia sebenarnya bukan sebuah universiti lokal tetapi universiti yang memainkan peranan antarabangsa dalam menjadikan Islam sebagai rahmat dunia, bukan di jajah oleh para kapitalis materialisme.

Maka, adalah tepat sekali melantik Dr Maszlee yang fasih bahasa Arab, Inggeris dan Melayu. Dr Maszlee Malik mampu menyampaikan syarahan ilmiah sepenuhnya dalam bahasa Arab standard iaitu lingua franca dunia Arab dan Islam.

Maknanya, Presiden UIAM bukan sekadar mewakili universiti tetapi juga mewakili negara Malaysia sebagai pusat global dalam Islamisasi Ilmu di mana tiada pemisahan antara politik dan ilmu agama.

Sekularisme adalah bukan Islam kerana sekularisme melaga-lagakan antara politik dan ilmu agama, antara umara (ahli politik) dan ulama.

Autonomi mengikut mindset khalifah akan memperjuangkan harmoni antara ulama dan umara, antara arena politik dan ilmu agama. Dr Maszlee adalah seorang ulama dan juga seorang umara. UIAM menyahut cabaran untuk mempersembahkan qudwah hasanah (contoh baik) dengan mengabungkan peranan umara dan ulama.

Dr Maszlee  dicabar dengan amanah yang berat iaitu bukan sekadar memperkasakan autonomi universiti dengan memerdekakannya dari penjajahan para kapitalis materialisme dan ideologi-ideologi yang berkaitan tetapi juga membuktikan bahawa politik atau siyasah Islam akan menjadikan universiti lebih bebas dan bersifat lebih autonomi daripada universiti lain yang fobia ahli politik, yang kononnya tidak melibatkan sebarang agenda politik dalam pengurusan.

Phd Dr Maszlee adalah tentang pandangan Islam tentang "Good Governance" (tadbir urus yang baik). Ini menjadikan beliau jauh lebih sesuai untuk menjadi Presiden UIAM.

Kelayakan beliau yang meru­pakan graduan universiti-universiti Arab dan Barat men­jadikan beliau lebih mam­pu meng­Islamisasikan ilmu-ilmu yang diimpot dari Barat.

Banyak lagi ciri-ciri yang memaksa Dr Maszlee memenuhi kewajiban jawatan Presiden. Tetapi penulis akan akhiri dengan satu lagi ciri utama iaitu ibu beliau adalah seorang Cina. Beliau sangat memahami sentimen bangsa Cina. Ini penting bagi UIAM dalam merangka kurikulum yang mampu melahirkan ustaz-ustaz yang bermindset multikultural.

Perlu diingat juga bahawa Dr Maszlee adalah pejuang bahasa Melayu. Sudah tentu perjuangan bahasa Melayu akan diperhebatkan di UIAM.

Alhamdulillah, Dr Maszlee Malik setuju memegang amanah agama sebagai Presiden UIAM dan beliau telah mensyaratkan tanpa gaji!

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak