APABILA khilafah Umar al-Khattab menakluki kota-kota besar Barat seperti Mesir dan Palestin, umat Islam diserang oleh falsafah dan logik Yunani. Menakluki sebuah negara tidak semestinya menakluki minda rakyat negara berkenaan.

Ya, Mesir sudah menjadi milik khilafah Umar, tetapi bagaimana dengan dakwah Islam? Rakyat Mesir sendiri yang jemput Saidina Amru bin al-As untuk menakluki Mesir kerana tidak puas hati di bawah penjajahan Roma Katolik.

Terjadi peristiwa yang simbolik kepada akhlak perwira kita. Bila tentera Saidina Amru tidak lagi mampu mempertahankan Mesir dari tentera Roma pada satu ketika, kita pulangkan duit jizyah kepada rakyat Mesir!

Kita pegang kepada amanah. Kamu bayar kami jizyah untuk jaga Mesir. Dan sekarang kami tak mampu tunaikan amanah masa ini. Maka, kami pulangkan semula duit jizyah kepada kamu. Kami bukan penjajah seperti perompak yang gila harta. Tapi nantikan kami pulang semula untuk membantu kamu!

Kita memerintah untuk menjaga dakwah, bukan merompak. Tetapi tiba-tiba kita dikejutkan dengan fakta bahawa bukan mudah untuk berdakwah rupanya. Kita menang ketenteraan tetapi belum tentu menang perang intelektual.

Kalau kita kalah dari segi saingan intelektual, agama kita hancur walaupun kita berjaya takluk negara mereka. Kita tidak mahu menjadi seperti empayar Roma. Roma memang menakluki negara Yunani tetapi Roma sendiri akhirnya ditakluki oleh falsafah Yunani seperti Aristotle dan Plato.

Betapa hebatnya perang intelektual ini. Pena Lebih Tajam Dari Pedang! Sekarang giliran umat Islam pula diserang dengan pena Yunani. Mampukah kita berlawan dengan pena Aristotle walaupun kita hebat pedang? Aristotle bukan calang-calang filsuf. Penjajah Roma pun tersungkur di tangan pena beliau!

Bila kita menakluki kota-kota Barat, pendakwah-pendakwah kita terpaksa masuk ke medan jidal. Tiada paksaan dalam beragama. Al-Quran jelas haramkan kita memaksa mereka memeluk Islam. Kita diperintah untuk berjidal atau berdebat dengan hujah yang kuat. Kita terpaksa perah segala kekuatan intelektual kita untuk perang minda pula selepas menang perang fizikal.

Pada zaman khilafah ahlus Sunnah, kita tidak pernah ban atau haramkan kebebasan bersuara kerana kita percaya bahawa Islam agama hujah, bukan agama taqlid buta. Kemukakan hujah anda kalau anda yakin benar.

Setiap ilmuwan dibenarkan bersuara dan menyebarkan pendapat mereka tanpa halangan. Jauh beza dengan dunia umat Islam sekarang yang mempolitikkan budaya ilmiah sehingga hanya ilmuwan-ilmuwan yang senada dengan fikrah tertentu sahaja diberi tauliah untuk mengajar.

Budaya yang terbuka kepada jidal ini memaksa pendakwah-pendakwah untuk mencipta bidang ilmu yang baharu demi untuk membela agama iaitu Ilmu Kalam. Budaya Jadali ini juga memperkasakan kualiti minda umat Islam.

Alasan takut keliru hanya untuk mereka yang malas mencari ilmu. Umat Islam dulu tidak dayus dan tidak malas. Umat Islam kita sekarang begitu dayus sehingga pegang palang salib pun takut terkeliru! Bagaimana membina khilafah dunia dengan kualiti minda yang begitu cacat sekali?

Jauh beza dengan zaman kegemilangan umat kita dulu. Kita sudah mencipta Ilmu Usul Fiqh tetapi ilmu ini sesuai untuk mengajar Muslim sendiri sahaja tentang hukum ahkam syariah. Kita tidak boleh guna usul fiqh untuk berjidal dengan filsuf Yunani.

Maka kita cipta Ilmu Kalam sebagai counter attack kepada serangan tentera Aristotle. Tentera kita yang paling ke depan dalam Jidal Kalam bermula dengan Muktazilah. Abu Hudhayl Al-Allaf, seorang tokoh Muktazilah, telah berjidal dengan Majusi, Sophist, Zindiq, Dualist. Menurut al-Mubarrad, lebih 3,000 orang memeluk Islam melalui jidalnya!

Imam Al-Ghazali mengiktiraf jasa Muktazilah dalam kitabnya al-Munqidh. Tetapi pendakwah-pendakwah Muktazilah akhirnya sendiri dijangkiti virus falsafah Yunani sewaktu mereka menggunakannya untuk lawan falsafah Yunani sendiri.

Kita perlu menunggu 300 tahun selepas Hijrah untuk kemunculan seorang komander intelektual yang akan update anti-virus yang bahaqru. Nama komander ini ialah Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari. Beliau sendiri pernah menjadi askar Muktazilah dan faham selok-belok hacker Yunani!

Bersambung...

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • “APA hujah kamu tentang al-Quran? Adakah ia makhluk?” Cabar Hafs al-Fard, seorang Muktazili. Kedua-dua sahabat Imam Shafie terdiam. Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib Ash-Shafi’i dalam bab Fii Mujanabah Ahli al-Ahwa’ meriwayatkan bahawa Imam Shafie menyahut cabaran Hafs.
  • SAYA sering ditanya tentang bagaimana membina wacana umat Islam untuk menghadapi arus globalisasi yang bersifat kosmopolitan. Selidiklah kegemilangan tamadun Muslim di mana kita menguasai dunia intelektual melalui kota-kota kosmopolitan paling agung di dunia seperti Baghdad dan Andalusia.
  • “JESUS adalah anak tuhan,” kata Theodore Abu Qurra, seorang ilmuwan Kristian yang terkenal di istana Khalifah al-Ma’mun. Khalifah al-Ma’mun memang suka menganjurkan jidal (debat) sebagai platform komunikasi interkultural atau rentas budaya.
  • APAKAH respons anda kalau seorang aktivis human rights yang bersifat falsafah bertanya anda soalan ini, “Bagaimana kita takrif baik atau buruk sesuatu perbuatan?”
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.