DR Henry George Farmer merupakan seorang komposer muzik. Sebuah buku Perancis yang bertajuk La Musique Arabe, yang ditulis oleh Salvador-Daniel telah membuka matanya bahawa muzik Barat moden berasal daripada muzik Arab.

Beliau dapati banyak perbezaan pendapat tentang asal-usul muzik Barat tetapi beliau tidak puas hati kerana pengkaji-pengkaji muzik Barat tidak tahu bahasa Arab. Bagi beliau, seseorang mesti mampu membaca kitab-kitab klasik Arab tentang muzik.

Maka, beliau pun mengambil ijazah bahasa Arab, kemudian master, dan akhirnya pada tahun 1926, beliau mendapat PhD di Glasgow Universiti. Tajuk tesis beliau ialah A Musical History of the Arabs.

Dr Farmer berhujah dalam tulisannya yang bertajuk The Arab Influence on Music in the Western Sudan, including References To Modern Jazz  bahawa perkataan jazz adalah berasal daripada perkataan Arab jaz’ yang bermakna memotong kepada juzuk-juzuk atau bahagian-bahagian.

Perkataan ini memang merupakan salah satu istilah Arab tentang muzik. Beliau juga kaitkan jazz dengan perkataan Arab 'jazib' yang bermakna menarik perhatian. Dalam bahasa Hausa yang dipengaruhi oleh bahasa Arab, perkataan 'jaiza' bermakna meluahkan perasaan tidak puas hati.

Kita lihat muzik jazz adalah berbeza dengan muzik klasik. Muzik klasik bergantung sepenuhnya kepada bacaan nota muzik. Jazz adalah bebas. Seorang pemuzik jazz boleh memainkan muzik meluahkan emosinya tanpa skrip muzik. Beliau boleh mencipta rentak baru semasa bermain muzik jazz.

Yang penting, ia menarik perhatian pendengar dengan memainkan muzik mengikut arus emosi. Muzik jazz adalah dihiasi dengan juzuk-juzuk muzik yang mengejutkan pendengar hasil dari mainan spontan daripada pemuzik.

Seseorang tidak dapat menjangka apa yang akan dibawa oleh pemuzik yang bermain secara spontan tanpa skrip muzik.

Muzik jazz Arab telah dibawa ke Afrika, kemudian ke Barat melalui perdagangan hamba abdi. Satu pertiga hamba abdi yang dibawa ke Barat adalah Muslim.

Kemungkinan juga muzik jazz Arab dibawa ke Andalus, iaitu suatu tamadun Islam yang gemilang dan sekarang dikenali sebagai Sepanyol. Dari Andalus, muzik jazz Arab telah dibawa masuk ke Eropah.

Sebenarnya, pengaruh muzik dunia Islam terhadap muzik dunia Barat sangat besar. Contohnya ialah gitar. Sejarawan Barat telah kaitkan gitar dengan qithara atau cithara dalam tamadun Yunani.

Tetapi bila kita lihat pada gambar qithara atau cithara, amat jauh sekali bentuk dengan gitar. Bahkan gitar moden yang kita kenal zaman sekarang mempunyai bentuk yang sama dengan oud Arab. Oud mempunyai permukaan yang rata dan bersandar kepada dada. Ia mempunyai leher yang panjang dan mempunyai lubang besar di badannya seperti gitar moden. Mungkin wujud bias sarjana Barat untuk nasabkan gitar moden kepada oud Arab.

Teori yang lebih dekat kepada kebenaran ialah gitar moden berasal dari oud Arab melalui tamadun Andalus seperti yang dicadangkan oleh Dr Farmer.

Bahkan, gitar akustik moden yang mempunyai enam tali adalah dicipta oleh seorang gitaris Sepanyol yang bernama Antonio De Torres Jurado. Menarik di sini kerana Antonio ialah seorang Sepanyol dan Sepanyol adalah Andalus pada zaman pemerintahan Islam.

Andalus pernah menjadi trendsetter dalam dunia peradaban, fesyen dan muzik. Contohnya muzik Flamenco di Sepanyol adalah berasal dari Moriscos. Apabila Katolik Kristian menakluki Andalus, mereka memaksa umat Islam Sepanyol untuk peluk agama Kristian.

Umat Islam ini yang melarikan diri dari paksaan ini dikenali sebagai Moriscos, dan kemudian dikenali sebagai gypsies. Muzik Flamenco adalah datang daripada mereka ini. Bahkan Flamenco adalah berasal daripada perkataan Arab Fellah-Mangu (di ringkaskan dari Fallaah Min Ghair Ardh) yang bermakna petani tanpa tanah, iaitu mereka yang merantau sana sini untuk melepaskan diri dari kezaliman pemerintah Katolik. Lagu Flamenco adalah luahan kesedihan Moriscos.

Kita lihat Flamenco telah mempengaruhi artis-artis moden seperti Santana, Shakira, Enrique Inglesias, Ricky Martin dan ramai lagi. Bahkan lagu Santana yang berjudul Put Your Lights On berakhir dengan ungkapan laa ilaaha illallaah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CINTA adalah suatu ketakjuban kemanusiaan yang hebat. Nabi SAW dalam hadis sahih al-Bukhari telah menarik perhatian umat Islam tentang cinta seorang sahabat yang bernama Mughits terhadap seorang wanita yang bernama Barirah. Nabi SAW takjub melihat bagaimana Mughits menangis kerana terlalu mencintai Barirah walaupun Barirah menolak cinta Mughits.
  • SPAIN adalah dikenali sebagai Al-Andalus atau Andalusia. Komposer M Nasir mem-punyai sebuah lagu yang bertajuk Andalusia. Lirik oleh Allahyarham Loloq. Salah satu ayat dalam lagu ialah “Pohon ku dipinjamkan gambus dan gha-zalmu jadi azimat supaya dapat aku tari menongkah arus. Sahutlah Andalusia!”
  • SAYA lihat masalah dakwah yang besar ialah kita tidak ukur KPI dakwah kita dengan KPI propaganda pesaing kita. Kita lebih suka syok sendiri membuat KPI, lalu pencapaian adalah berdasarkan pada KPI syok sendiri.
  • APABILA anda mengundi pada pilihan raya politik nanti, parti mana yang anda akan pilih? Soalan ini sahaja tersirat andaian-andaian falsafah kebendaan.
  • BEGITU mudah sekali untuk ahli mendakwa parti politiknya adalah Islamik dan parti musuh adalah dajjal. Bila seseorang berbaiah kepada parti, ada yang sanggup gadaikan keluarga dengan memberi janji setia bahawa jika dia keluar dari parti, tertalak tigalah dengan isterinya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.