“APA hujah kamu tentang al-Quran? Adakah ia makhluk?” Cabar Hafs al-Fard, seorang Muktazili. Kedua-dua sahabat Imam Shafie terdiam. Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib Ash-Shafi’i dalam bab Fii Mujanabah Ahli al-Ahwa’ meriwayatkan bahawa Imam Shafie menyahut cabaran Hafs.

Lalu berlakulah debat yang panjang antara Imam Shafie dan Hafs. Akhirnya Imam Shafie menang penghujahan bahawa al-Quran adalah Kalamullah yang bukan makhluk. Maka, Imam Shafie kafirkan Hafs al-Fard (kafffara Hafsan al-Fard).

Perkataan 'kafir' di sini tidak bermakna murtad dari agama tetapi merujuk kepada kufur nikmat ALLAH SWT. Apa yang menarik di sini ialah betapa kerasnya Imam Shafie menghukum ahli Ilmu Kalam.

Imam Shafie tidak pernah menulis kitab tentang Ilmu Kalam walaupun beliau terlibat dalam beberapa kali debat dengan ahli Ilmu Kalam. Bagi Imam Shafie, walaupun tidak haram untuk seorang pakar, bukan awam, untuk belajar Ilmu Kalam tetapi wacana yang Imam Shafie ingin utamakan ialah wacana anti-Ilmu Kalam.

Beliau melihat wacana Ilmu Kalam lebih banyak membawa mudarat dari manfaat jika diperluaskan. Jadi sebelum Ilmu Kalam menjadi ilmu yang akan mendominasi wacana agama, adalah lebih baik dibendung awal-awal.

Pada zaman Imam Shafie, falsafah Yunani masih baru pada peringkat awal penterjemahan dan pengenalan. Al-Makmun yang bermazhab Muktazilah pun masih baru menjadi khalifah. Baitul Hikmah baru sahaja diberi mandat serius oleh Khalifah Makmun untuk menterjemahkan sebanyak mungkin falsafah Yunani ke bahasa Arab.

Lagipun, Shahrastani telah menyatakan dalam kitab al-Milal bahawa Ilmu Kalam adalah sebuah bidang ilmu baharu yang diberi nama oleh Muktazilah. Kitab-kitab falsafah Yunani telah ditafsirkan pada zaman Makmun. Manhaj Ilmu Kalam telah dicampurkan dengan manhaj falsafah Yunani.

Sheikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid, semasa edit kitab Maqalat al-Islamiyin karangan Imam Ash’ari, telah menulis tentang tiga kelebihan Muktazilah. Yang pertama, ia terdiri daripada pendebat-pendebat hebat. Sheikh telah memberi contoh tentang Wasil Ibn Ata’ yang sangat laju memetik ayat-ayat al-Quran untuk sokong pendapat sendiri. Sheikh juga menukilkan kata-kata Mubarrad tentang kehebatan Abu Hudhayl;

“Saya tidak melihat yang lebih fasih berbahasa daripada Abu Hudhayl dan al-Jahiz. Abu Hudhayl adalah paling cemerlang dalam perdebatan.”

Yang kedua, Muktazilah sangat rapat dengan kepimpinan politik. Contohnya, Abu Hudhayl al-Allaf ialah guru kepada Khalifah al-Ma’mun. Pengaruh politik telah menjadikan Muktazilah mazhab rasmi khilafah selama lebih kurang 35 tahun. Yang ketiga, Muktazilah sangat terkenal dengan silaturahim mereka, di mana mereka sangat rapat antara satu sama lain, saling bantu-membantu dalam menyebarkan wacana mereka.

Berdasarkan tiga kelebihannya ini, wujud dua pertembungan sengit antara wacana Muktazilah dan wacana ulama-ulama fekah dan hadis.

Pada zaman Khalifah Mutawakkil, Mazhab Muktazilah tidak lagi menjadi mazhab rasmi. Ilmuwan-ilmuwan bebas menyebarkan pendirian masing-masing. Tetapi ini tidak bermakna wacana Muktazilah menjadi lemah, bahkan ia bakal melahirkan ahli-ahli falsafah gergasi dunia seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina.

Prof Madya Dr Ibrahim Abu Bakar dalam kitabnya Ilmu Kalam: Paucis Verbis telah menulis; “Kenapa Ash’ari tidak dapat memahami serangan dan penentangan ulama Fikah dan ulama Hadis seperti Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Ahmad bin Hanbal itu ditujukan kepada Ilmu Kalam dalam sekolah Muktazilah? Pada pendapat penulis, Ash’ari menulis buku yang membela kelegitimasian Ilmu Kalam kerana dia mempunyai fahaman bahawa ulama hadis dan ulama Fikah pada dasarnya bukan sahaja menolak dan menentang Ilmu Kalam dalam sekolah Muktazilah tetapi juga menolak kelegitimasian Ilmu Kalam itu sendiri.”

Imam Ash’ari perlu berlawan dengan wacana ulama-ulama Hadis dan Fekah seperti Imam Shafie dan Ahmad bin Hanbal yang telah mengkafirkan ahli Ilmu Kalam. Apakah Imam Ash’ari berjaya memberi hujah-hujah yang mampu tajdid wacana Ilmu Kalam? Bukan mudah kerana beliau terpaksa berlawan dengan wacana ahli Hadis dan Fekah yang umpama 'tradisional' dan wacana Muktazilah yang umpama 'liberal'.

BERSAMBUNG

*Siri artikel-artikel Sinar Xifu tentang ilmu kalam di https://fikirkalam.blogspot.my/
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEGITU mudah sekali untuk ahli mendakwa parti politiknya adalah Islamik dan parti musuh adalah dajjal. Bila seseorang berbaiah kepada parti, ada yang sanggup gadaikan keluarga dengan memberi janji setia bahawa jika dia keluar dari parti, tertalak tigalah dengan isterinya.
  • SIAPA yang tidak kenal sebuah sistem penilaian yang bernama Taksonomi Bloom. Bloom ialah nama seorang pakar psikologi yang membuat penyelidikan tentang tahap-tahap pemikiran seorang pelajar.
  • TINDAKAN didik seorang guru yang bernama Cikgu Azizan Manap terhadap muridnya mendapat sokongan padu daripada pendidik. Mahkamah akhirnya melepaskan cikgu tanpa dibebaskan.
  • TIADA ijazah dalam bidang falsafah tulen (Philosophy) di universiti-universiti Malaysia. Dikatakan bahawa sesiapa yang ambil ijazah dalam bidang falsafah, pasti akan menganggur. Ini adalah kerana falsafah hanya utamakan teori-teori sahaja, perkara-perkara remeh dan tidak komersial.
  • SATU hari semasa saya tengah chill di Starbucks Jaya Shopping Center, Petaling Jaya, saya tanya sahabat saya, “Siapa yang mula takluk Jerusalem dalam kalangan umat Islam?” Sahabat saya tanpa ragu-ragu terus jawab penuh yakin, “Nabi Muhammad SAW!”
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.