KITA tentu tahu mengenai istilah keyboard warriors. Keyboard ialah papan kekunci. Warriors pula bermaksud, wira. Jadi, keyboard warriors bermaksud wira papan kekunci. Dari segi istilah, ia dianggap sebagai suatu gelaran penghormatan.

Namun sebenarnya, gelaran keyboard warriors mengikut urban dictionary bermaksud, seseorang yang tidak mampu menzahirkan kemarahannya dengan perbuatan. Mungkin kerana dia bacul atau sebenarnya tiada sesuatu prinsip dalam hidup di dunia realiti.

Kerana itu, dia memanifestasikan emosi itu merlalui gaya tulisan yang cabul, kasar  dan celupar. Bagi dirinya, mengeluarkan pendapat dalam menyelesaikan masalah itu semestinya secara konfrontasi dan bukannya secara berhujah, apatah lagi melalui perundingan.

Bagi dirinya juga, kematian adalah penyelesaian cepat kepada semua musuh virtualnya yang ditemui dalam internet. Istilah please die adalah kesimpulan mudah dalam mana-mana pertengkaran. ‘Sila meninggal’ pula adalah versi tempatannya. (Kerana itu ramai yang berkecil hati dengan saranan ini).   

Betapa pun, pendekatan kasar yang tidak perlu di dalam dunia komunikasi ini dilihat sebagai tindakan mereka yang tewas atau losers. Saya cenderung untuk mengatakan bahawa istilah keyboard warriors itu tidak tepat. Mereka bukannya wira, sebaliknya mereka adalah keyboard worrior ~ orang yang bimbang.

Tatkala laman-laman sosial mula popular, kita dapati kemunculan ramai sekali golongan ini. Orang timur tidak ramai yang berani ke depan untuk menyuarakan pendapat, apatah lagi memperjuangkan kebenaran secara lantang. Oleh kerana golongan ini riuh bersuara di sebalik papan kekunci masing-masing, maka mereka yang lantang dan celupar ini menjadi golongan yang disegani, kalau tidak pun digeruni kerana keberanian mereka bersuara di sebalik papan kekunci masing-masing.

Masa beranjak dan mana-mana kumpulan mula berhimpun dengan mereka yang seinspirasi. Penjajaran persahabatan mula berlaku. Yang minat agama, politik, pembacaan, aktiviti luar, aktiviti ekstrim, ekonomi dan kemasyarakatan mula berhimpun dalam kumpulan masing-masing. Sudah tiada kelihatan keyboard warriors di merata tempat kecuali seorang dua ataupun sekali sekala di dalam kumpulan-kumpulan popular dan umum.

Lagi pula, jika dahulu begitu ramai di antara kita yang membuka diri seluas-luasnya di laman sosial kerana kemaruk mendapat ribuan kawan, pada hari ini keadaan sudah berubah.

Ramai yang mengecilkan setting keterbukaan kerana sudah pandai menyaring permintaan seseorang untuk menjadi kawan. Biar tak ramai kawan, tapi biarlah mereka yang sekepala.

Bagaimana pun, laman-laman sosial di komputer pada hari ini mula berpindah pula ke telefon pintar masing-masing. Ia mengubah kembali penjajaran media sosial. Jika sebelum ini seseorang itu berkumpul di dalam grup yang sama minat, sama latar belakang, media sosial di telefon pintar telah melakar kembali penjajaran itu kepada kumpulan yang lebih intim.

Aplikasi seperti  WhatsApp, Telegram dan Line seumpamanya menghimpun grup yang lebih kecil. Kumpulan rakan setadika, sekelas, sekolej, seasrama, sekerja, sepejabat, seideologi, seperjuangan dan seketurunan menjadi ikatan siber yang lebih kukuh kerana ia kecil. Dalam kebanyakan kumpulan ini, hampir semua orang kenal dengan semua ahli kumpulan.

Oleh kerana itu, perhubungan yang terjadi dilatari rasa kekitaan, persaudaraan dan saling menghormati. Dari segi idealnya ia amat baik. Namun mula menjadi masalah apabila di dalam jajaran ini muncul juga keyboard worrior yang cukup mengganggu.

Jika di laman sosial yang lebih besar seperti Facebook, seseorang itu boleh leave group secara diam-diam, di dalam aplikasi bermesej telefon pintar yang kecil, semua orang akan nampak apabila kita menarik diri. Kerana itu, mahu tak mahu ramai yang telan liur sahaja dengan apa jua mesej, imej dan video mengarut yang dikirim oleh salah seorang anggota kumpulan yang kini menjadi phone button warrior.

Apa nak buat. Mereka itu mungkin saudara tua, rakan berpangkat yang dihormati atau seorang saudara yang terpelajar. Di khalayak, mereka menjaga perangai. Tetapi di dalam grup kecil di aplikasi telefon pintar, mereka tak jaga kelakuan menyebarkan sesuatu yang tak molek ataupun tak benar.

Hendak tegur takut tercalar persaudaraan. Tak tegur, takut membiarkan perbuatan yang lagha. Kita tiada jawapan penyelesaian. Yang boleh hanya mengeluh dan menggeleng kepala tanda terkilan.