3 Jun lalu saya menginjak ke usia 60 tahun. Maknanya sudah 10 tahun saya menjadi warga emas. Tatkala berusia 50 tahun, saya berasa janggal kerana status warga emas itu.  Adik pelayan di restoran mula memanggil saya pakcik, bukan lagi encik, apatah lagi abang. Jika menaiki LRT, ada anak muda yang bangun memberi saya tempat duduknya. Saya akan buat-buat tak perasan dan menyuruh orang lain duduk di tempat itu. Di lapangan terbang, diri terasa segan bila diberi peluang beratur menaiki pesawat terlebih dahulu kerana status warga emas itu.

Namun lama kelamaan, perasaan itu hilang. Mungkin kerana saya sudah menerima realiti. Tetapi mungkin juga kerana saya sudah tidak peduli dengan angka-angka itu. Justeru, apabila menjangkau ke usia 60 tahun, saya tidak berasa janggal lagi. Iya, saya berasa diri saya semakin tua.

Tetapi, saya tidak berlagak seperti orang tua. Dan, tentu sekali bukan berperangai seperti orang muda. Yang penting, saya jalani hari-hari yang mendatang dengan seadanya.

Alhamdulillah kerana di usia ini ALLAH SWT telah kesihatan tubuh, kewarasan akal dan ketenangan jiwa. Barometer kesihatan saya amat mudah. Berselera makan, mudah tidur, mudah bangun dan juga baik sistem perkumuhan. Jika salah satunya berasa terganggu, saya akan cepat-cepat bertemu dengan doktor saya. Buat pemeriksaan yang mana patut.

Insya-ALLAH secara fizikalnya saya masih okey. Ujian stress test untuk jantung, paru-paru dan buah pinggang masih berfungsi dengan baik. Diabetes dan darah tinggi pun masih terkawal dengan pemeriksaan empat bulan sekali. Oleh kerana kedua-duanya bukan penyakit berjangkit dan jenis penyakit yang tidak akan menular, saya kawal ia seadanya.

Jika ke kenduri atau dinner, saya akan belasah apa yang melintas. Tetapi pada keesokannya, saya boleh sahaja makan biskut dan kismis yang direndam di dalam milo kosong. Maknanya, jika saya hendak makan, saya akan makan.

Bila diri saya kata ‘berhenti,’ saya akan berhenti. Alhamdulillah, saya boleh berhentikan sesuatu tabiat sebegitu sahaja seperti saya berhenti ketagihan merokok 15 tahun lalu.

Ingatan saya juga masih baik. Masih banyak benda yang boleh diingat. Boleh lagi mendera fikiran secara paksa bila keadaan memerlukan. Cuma bila menghadiri mesyuarat yang panjang, saya surrender. Selepas mesyuarat, fikiran saya jadi berat dan saya akan bersantai dengan menonton filem.

Pemikiran di usia sebegini ada cabarannya. Seboleh mungkin saya akan ikuti perkembangan semasa dan perkembangan teknologi. Apa jua tren di dalam industri akan saya ikuti. Apa sahaja pendekatan pentadbiran mahupun pengurusan akan saya teliti. Tidak mahu berfikiran old school.

Pada banyak situasi dan ketika, bertugas di akhbar memerlukan respons membuat keputusan dalam lima saat. Silap pertimbangan, akan tersasar. Tetapi bila silap pun, kena cekap mengubah haluan keputusan untuk damage control. Di usia ini saya perlu berfikir seperti orang muda tetapi menimbang fikiran itu sebagai orang tua.

Jiwa pun semakin tenang di usia sebegini. Begitulah yang saya rasa. Jika dahulu, pantang ada kereta memotong, saya akan memecut untuk meninggalkan kereta itu.

Kini, jika kereta di sebelah mengendeng di laluan saya di plaza tol, saya berikan sahaja dengan senyuman.

Bila menoleh ke belakang menelusuri lipatan sejarah kehidupan, saya dapati diri saya amat bernasib baik. Orang putih kata, God has been kind to me. Apa sahaja ilmu yang saya timba dalam kehidupan, pengalaman yang saya lalui sebelum ini boleh diaplikasikan semula walaupun dalam bentuk yang berbeza.

Di kolej, saya belajar seni reka perusahaan. Tetapi saya telah bekerja sebagai setiausaha kerja di dalam NGO, menjadi pemudah cara, jurulatih dan penganalisis politik tatkala bertugas dengan kerajaan.

Saya pernah menjadi kaunselor pelajar, bekerja di bidang pemasaran, sumber manusia, pengurusan dan telah menulis lapan buah buku termasuk lima buah novel.

Kini, apabila menjadi ketua pengarang sebuah akhbar, semua ilmu yang saya peroleh sejak mula bekerja pada tahun 1980, boleh saya adun menjadi sebuah ramuan bagi menghasilkan hidangan santapan minda yang setanding dengan akhbar-akhbar yang lain.

Meskipun saya bersyukur dengan apa yang saya telah lalui, saya akan lebih gembira seandainya apa yang saya ada ini dapat saya tumpahkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Ilmu dan pengalaman yang saya peroleh ini juga kepunyaan-NYA.

Saya hanya pinjam seketika. Saya hanya alat atau medium di mana ilmu itu hinggap. Rugi jika tiada sesiapa yang mahukannya.