KONFLIK di Syria kini masuk tahun ketujuh, tapi sayangnya masih tiada penghujung.

Hampir sejuta nyawa yang telah menjadi mangsa (khususnya wanita dan kanak-kanak), namun nasib masyarakat tempatan dan tahanan perang tetap tidak terbela.

Namun, saya, berserta hampir 5,000 wanita sedunia lainnya, termasuk Rektor Universiti Islam Antarabangsa, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin, dan aktivis Global Peace Mission, Maria Kamel, nekad menghadirkan diri dalam Konvoi Nurani daripada wanita untuk tahanan wanita dan anak kecil Syria, bertempat di Istanbul minggu lalu.

Sempena Hari Wanita Sedunia 8 Mac lalu, wajib kita mendesak pembebasan buat lebih 6,000 wanita dan 600 anak kecil yang sedang ditahan, dizalimi secara berterusan oleh rejim Basher Assad.

Lebih menyedihkan, sebilangan besar menjadi mangsa nafsu rakus pegawai penjara dan rejim, sehingga ada yang mengandung.

Terlalu berat untuk dibayangkan, tahap penderitaan fizikal, mental, psikologi dan emosi yang dilalui oleh mangsa-mangsa dan keluarga mereka.

Isu sebegini bukan perkara baharu, malahan ia adalah ‘trend’ dalam peperangan dan konflik kenegaraan.

Meskipun wanita dan kanak-kanak tidak seharusnya disentuh dalam situasi peperangan, berita sayu yang hampir serupa juga dilaporkan di Iraq dan Afghanistan sebelum ini.

Di samping menggunakan wadah politik dan kemanusiaan, setiap negara wajar menerokai cara baharu untuk menghentikan keganasan terhadap wanita.

Nigeria misalnya, memberi perlindungan terhadap wanita dengan menubuhkan pasukan khas polis wanita, dan meletakkan penyelaras yang bertanggungjawab.

Pada saya, perlu ada penekanan yang lebih tinggi untuk menjaga hak dan keselamatan wanita di setiap waktu, walaupun negara dihimpit tragedi dan pergelutan kuasa.

Tidak cukup sekadar memindahkan ke kem pelarian, juga harus disertai pelan jangka panjang yang lebih dekat dan terus kepada wanita.

Kalau tidak diubah, mungkin mangsa akan cenderung untuk tidak melaporkan penindasan yang berlaku, memandangkan tiada penyelesaian konkrit yang ada. Akibatnya, penderitaan disimpan di dalam hati, lalu gundah sampai ke sudah.

Begitu juga di Malaysia. Pelbagai akta undang-undang yang wujud, seperti Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tetapi yang menghairankan, jumlah kes keganasan rumah tangga terhadap wanita dan keganasan seksual tetap tinggi.

Sebanyak 62,670 kes keganasan rumah tangga berlaku dari tahun 2000 sehingga Januari 2017, manakala 22,234 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan dari 2010 hingga Mei 2017.  

Menerusi dapatan membimbangkan ini, adakah mungkin para gadis dan wanita kian hilang kepercayaan pada tahap perlindungan sedia ada? Dan apa pula yang sedang dilakukan untuk memantapkan keselamatan wanita umumnya?.

Ternyata bentuk hukuman terhadap pesalah, tempoh siasatan yang panjang, dan dorongan hawa nafsu mendorong pemangsa untuk meratah golongan perempuan yang tidak berdosa. Kegilaan ini, perlu berhenti di sini.

Saya kerap berfikir, apakah lagi ruang yang wujud untuk membantu kaum Hawa di Malaysia, dan mangsa konflik di luar sana. Terlalu ramai yang masih terseksa, dan menantikan bantuan dengan apa cara sekali pun.

Di sini, saya turut menyeru rakyat Malaysia yang prihatin dan proaktif agar sama-sama menyumbang pada perlindungan wanita dan penyembuhan mereka. Bantuan fizikal juga perlu disertai pertolongan emosi dan sokongan moral.

Sumbangan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang psikologi terutamanya, sudah pasti amat membantu. Penyembuhan emosi dan dalaman mangsa keganasan, baik domestik atau disebabkan peperangan, tidak mungkin dapat diubati dengan dos ubatan yang sedikit.

Tetapi ia hanya dapat dipulihkan oleh hati-hati yang peka dan memahami, yang rela berkorban masa dan jiwa dalam jangka masa panjang.

Baik di Syria mahupun Malaysia, Palestin atau Rohingya, hak wanita perlu dimartabat, dan tahap perlindungan wajar diangkat.

Bersempena dengan Hari Wanita Sedunia yang baru berlalu, sama-sama kita amati pengorbanan seluruh kaum wanita, dan meletakkan status di tempat sewajarnya - yakni di peringkat tertinggi.

* YB Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai