PADA suatu pagi, dalam kesesakan lalulintas untuk ke tempat kerja, kita terpandang seorang pemandu sedang mengibar-ngibarkan tangannya kepada seorang anggota polis trafik. Anggota polis itu pula kelihatan terjerit-jerit ke arah pemandu itu. Apakah tanggapan kita?

Mungkin lelaki itu memarahi anggota polis kerana menahan kenderaannya. Mungkin anggota polis itu menegur kesalahannya dengan bahasa kasar. Tetapi kita tidak tahu sebenarnya pemandu kereta dan anggota polis itu adalah sahabat sekampung. Mereka bertanya khabar. Oleh kerana keadaan bising di jalanraya, maka kedua-duanya terpaksa meninggikan suara.

Kita sedang berjoging di taman rekreasi. Kelihatan dua orang pekerja am sedang duduk bersembang di bangku sambil bergelak ketawa. Tanggapan kita ialah, mereka berdua curi tulang dengan duduk bersembang.

Makan gaji buta! Padahal, mereka berdua sedang menunggu mandur tiba untuk membawa mereka ke lokasi lain bagi memulakan tugas yang memerlukan tindakan semerta.

Saban hari, kita berdepan dengan pelbagai situasi yang membuat kita mentafsir sesuatu yang kita pandang. Malangnya, sebahagian besar daripada kita akan mempunyai persepsi negatif. Persepsi negatif ini adalah suatu bentuk sangkaan. Ia tidak bagus kerana persepsi negatif itu adalah petanda yang kita punyai pemikiran negatif.

Sangkaan-sangkaan negatif ini tidak membahayakan orang lain jika ia hanya berlegar di minda kita semata-mata. Kita pandang, kita berasa jengkel pada mulanya. Apabila kita tahu keadaan sebenar, maka kita hanya tersenyum sendirian kerana tertipu dengan sangkaan buruk kita sendiri.

Malangnya, kemunculan media sosial menjadikan kita sentiasa dihujani dengan pelbagai tulisan, foto dan video yang menimbulkan persepsi. Apa yang kita anggap biasa dan tidak apa-apa boleh bertukar menjadi sesuatu yang sebaliknya. Yang biasa menjadi luarbiasa. Yang serius menjadi kelakar. Yang baik menjadi yang buruk.

Media sosial menyebarluaskan persepsi peribadi seseorang apabila ia dikirim kepada orang lain. Jika sebelum ini, apa jua yang negatif itu hanya tersimpan di hati seseorang, kemudahan media sosial itu mempengaruhi seseorang yang tidak punyai apa-apa pengetahuan mengenai sesuatu perkara untuk sama-sama memberi reaksi kepada apa yang disampaikan kepadanya.

Apa sahaja yang terjadi di mana-mana pelosok dunia akan sama-sama kita tatap dalam beberapa saat sahaja. Lazimnya yang diwarnakan secara negatif itulah yang mendapat sambutan. Dalam seminit, satu dunia boleh ketawa atau menangis melihat sesuatu insiden yang diviralkan.

Mudah sangat kita ketawakan orang. Senang sangat kita perlekeh manusia lain. Kita mengata tentangnya walaupun kita tak kenal dia dan dia tak kenal kita pun. Hidup kita tidak akan lebih baik atau lebih buruk dengan berkata tentangnya.

Jika pun kita memujinya, dia tidak akan tahu. Sebaliknya,bila kita mengejinya, kejian kita itu tidak didengarinya. Pendek kata dia tidak akan berubah perasaan atau tindakan kerana dia tidak tahu kita memuji atau mengejinya. Kerana, apa yang kita lakukan itu adalah sesuatu yang sia-sia.

Bayangkan jika ia terjadi sebaliknya. Kita menjadi subjek kutukan satu negara, malah satu dunia kerana keaiban kita dapat ditatap oleh manusia sejagat. Satu dunia menatap video kita yang hampir tergelincir dari bumbung rumah. Sempat berpaut pada kuali televisyen sebelum jatuh terduduk ke atas simen.

Satu dunia boleh ketawa. Dan ramai sangat yang akan kritik mengatakan kita kedekut sangat kerana tidak mahu memanggil pekerja teknikal untuk pemasang kuali televisyen. Padahal, satu dunia tidak tahu yang sebenarnya kita memanjat bumbung untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang takut terjun ke tanah. Dunia tidak nampak anak kucing itu kerana video tidak merakamnya.

Kita yang mengalami keadaan sebenar akan berasa kecewa. Kecewa kerana dunia mempunyai tanggapan yang tersasar jauh daripada apa yang mereka tonton. Kita terkilan kerana mereka lihat kita yang kedekut, bukan kita sebagai seorang penyelamat seekor kucing. Sifat mulia kita dipandang keji oleh orang.

Sebagai orang yang tahu apa yang sebenarnya terjadi, kita harus berlapang dada walaupun satu dunia mengatakan kita si kedekut. Malah, dalam apa jua keadaan, jika kita di pihak yang benar, maka kita memang benar tanpa perlu bersusah payah membuktikan. Manusia yang sudah punyai sesebuah persepsi memang sukar mengubah persepsi itu.

Buang masa sahaja melayani persepsi orang, apatah lagi meratapi akan kesilapan persepsi itu. Que sera sera. Apa nak jadi, jadilah sebab masing-masing akan ditanya apa yang masing-masing lakukan di akhir nanti.

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel