hari lahir
$entry.content.caption.value

HARI ini, sambutan hari lahir boleh dikatakan sudah menjadi tradisi setiap keluarga. Jika dahulu sambutan biasanya sekadar majlis ringkas berupa makan-makan bersama keluarga terapat, keadaan sekarang jauh berbeza.

Sambutan diadakan lebih meriah dan dihadiri ramai jemputan terutama melibatkan majlis hari lahir anak. Barangkali dalam kesibukan ibu bapa pada zaman ini bekerja, mereka berasakan inilah antara masa berharga yang dapat dicurahkan buat cahaya mata. Apatah lagi apabila majlis dianjurkan dihadiri rakan-rakan sepermainan dan sekolah, melihat senyuman yang terukir di bibir anak pastinya sesuatu yang cukup membahagiakan.

Bagaimanapun menganjurkan majlis melibatkan jemputan memerlukan perancangan rapi. Justeru sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan sebelum majlis mahu dianjurkan, ibi bapa perlu melakukan senarai semak untuk memastikan segala-galanya berjalan sempurna.

Antara perkara perlu diberi perhatian adalah tarikh majlis dan lokasi, jumlah jemputan, kek, makanan yang akan dihidangkan, tema majlis, aktiviti dan cenderahati untuk tetamu .

Oleh kerana majlis hari lahir melibatkan kanak-kanak, dekorasi comel dan penganjuran permainan sudah tentu menceriakan lagi hari mereka. Bagaimanapun bagi yang memilih majlis ringkas, apa paling penting tentulah makanan yang akan dihidangkan buat para tetamu.

Meskipun penambahan elemen dekorasi atau permainan mungkin melibatkan penambahan kos, masih terdapat cara untuk menjimatkan belanja. Hal ini kerana sesetengah perkara masih boleh dilakukan sendiri (Do It Yourself atau DIY) termasuk dekorasi majlis, makanan yang dihidangkan, goodies sebagai cenderahati untuk tetamu mahu pun mereka sendiri kad jemputan.

Malah apabila perkara ini dilakukan menggunakan kudrat sendiri, hati tentu lebih puas melihat hasilnya. Apa yang penting semestinya sambutan yang meriah biar pun sederhana, sesuai dengan status majlis hari lahir.

“Saya mengambil cuti selama dua hari sebagai persediaan melakukan sambutan hari lahir anak. Makanan, kad jemputan dan dekorasi majlis saya lakukan sendiri dengan bantuan saudara dan kawan-kawan.

"Hasilnya banyak penjimatan dilakukan tetapi majlis sambutan hari lahir anak tetap dipuji teratur dan meriah,” ujar Nor Hanani Samsudin atau Nani, 27, yang pertama kali mengadakan sambutan besar-besaran sempena hari lahir keempat cahaya mata tunggalnya, Nur Khaira Nabiha di kediamannya, baru-baru ini.

Menurut Nani, dia banyak melakukan rujukan menerusi internet dan amat gembira apabila menemui laman web yang menyediakan cetakan kad jemputan secara percuma. Apa yang perlu dilakukannya hanyalah memasukkan data majlis sebelum mencetak sendiri kad berkenaan.

Selain itu, dia turut mendapat idea menerusi pelbagai laman web dalam dan luar negara berkaitan perancangan majlis hari lahir kanak-kanak. Antara idea yang digunakannya adalah memilih tema tertentu pada hari sambutan.

“Oleh kerana Khaira amat menggemari karakter Disney iaitu Princess, saya memilih hampir kesemua perkara berkaitan majlis khas bertemakan karakter ini termasuk kad jemputan, pakaian, dekorasi, kek dan lain-lain,” ujar Nani yang turut menganjurkan permainan tidak melibatkan belanja besar tetapi mampu menceriakan keadaan seperti kotak beracun, rebut kerusi dan meniup belon ketika majlis tempoh hari.

Pada tahun akan datang sesuai dengan usia anak yang kian meningkat, Nani menyatakan dia bercadang untuk menjemput ahli silap mata, menyediakan khidmat tattoo sementara atau menyewa permainan inflatable pula sempena sambutan hari lahir anaknya.

Walaupun kos tambahan semestinya diperlukan, aktiviti sebegini sekiranya diselitkan ketika majlis diyakininya pasti menambah kegembiraan hati si kecil dan kawan-kawannya yang sudi hadir.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.