PADA Mei 2013, Timbalan Pengarah UMcedel, Amer Saifude Ghazali, mendedahkan bahawa Barisan Nasional akan tetap memerintah negara ini selagi Malaysia kekal menggunakan sistem first-past-the-post dalam pilihan raya.

Keputusan PRU13 yang kita lalui, di mana walaupun Barisan Nasional cuma mempunyai 47 peratus undi popular, telah berjaya memenangi 133 kerusi di Parlimen.

Sejarah telah membuktikan sejak tahun 1969, Barisan Nasional tidak pernah memenangi lebih daripada ⅔ undi, dan persempadanan semula hanya dilakukan untuk memastikan majoriti kerusi Parlimen memihak kepada Barisan Nasional.

Dalam persempadanan semula yang terakhir - 24 kerusi Parlimen baru diwujudkan, dan semua menjadi milik Barisan Nasional, kecualilah satu kerusi mendiang Karpal Singh. Kita mempunyai kerusi Parlimen yang cukup - tambahan hanya bakal memenangkan status quo!

Percayalah desas-desus bahawa 7 kerusi Parlimen baru akan diwujudkan di Selangor hanya akan merugikan kita. Jangan terperangkap dengan kepentingan sempit - kalau dikekalkan sempadan serta jumlah kerusi sedia ada, kita seperti menanti kemenangan yang pasti tiba akibat kegagalan Barisan Nasional menangani tekanan ekonomi rakyat di lapangan.
Percayalah, perkenal GST rakyat akan bangkit.

Kita tidak boleh alpa, walaupun kita pernah mendapat sokongan rakyat. Sedang kita bercakaran sesama sendiri - parti lawan memikirkan jalan ke depan, sedang itulah sempadan diukir semula, dengan niat menghancurkan peluang Pakatan Rakyat dalam pilihan raya, seterusnya kekal berkuasa sampai bila-bila.

Melihatkan keadaan ini, Agenda Pemulihan Demokrasi harus jadi tumpuan kita. Di peringkat nasional sudah saya mulakan dengan penarikan semula deklarasi darurat dan pemansuhan ISA - enam bulan sebelum diangkat Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak; pemansuhan Akta Cetak dan Penerbitan supaya media jangan dikekang; pindaan Akta Petroleum agar hak-hak dipulangkan semula kepada negeri-negeri Sarawak, Sabah dan Kelantan, yang selama ini dinafikan oleh Kerajaan Pusat.

Dan buat kita, boleh sahaja bermula dengan amalan demokrasi dalam parti kita sendiri.

Pemilihan parti yang baru berakhir - yang jelas memberikan pelbagai haluan berbeza antara mana-mana individu. Hendak saya nyatakan, perbezaan ini haruslah kita selesaikan dengan kembali kepada asas perjuangan Keadilan.

Tidak ada salahnya untuk berbeza pendapat selagi kita menyedari bahawa kita berkongsi matlamat perjuangan yang sama berlandaskan perjuangan parti.

Keadilan dari segi pelaksanaan undang-undang - one rule that applies to everyone; keadilan untuk anak-anak bersekolah dengan kurikulum yang berkualiti; keadilan buat suri rumah yang diiktiraf pengorbanannya; keadilan buat pekerja yang menerima gaji setimpal; keadilan buat rakyat untuk menikmati hasil bumi Malaysia. Keadilan itu merangkumi seluruh aspek kehidupan dan itulah perjuangan parti kita!

Keadilan juga bermaksud menidakkan dan tidak merelakan kezaliman terhadap mana-mana individu. Janganlah izinkan Ketua Umum yang sudah 16 tahun dihina, dipukul, dipenjara melalui kesengsaraan buat kali kedua.

Rasulullah bersabda, yang bermaksud “Sebaik-baik jihad adalah memperkatakan sesuatu yang benar di hadapan penguasa yang zalim.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Di persada dunia, konflik dan kezaliman berteraskan kerakusan berterusan - jangan gentar menyuarakan kecaman terhadap kezaliman sama ada dilakukan oleh Israel atau pun Isis.
Sama ada di Gaza atau di Syria. Seperti yang diungkapkan oleh Ketua dan Timbalan Angkatan Muda - kita mesti konsisten dalam mempertahankan keadilan.

Ini mungkin sesuatu yang klise, tetapi benar, cinta mampu mengatasi segalanya. Sekiranya kita dengan seikhlasnya cintakan negara, kita akan mampu melakukan perubahan.

Sekiranya kita mahu melihat perubahan, kita perlu bermula dengan diri dahulu. Jangan sesekali kita memperkecil sumbangan dan jerih payah individu ke arah pembangunan Parti Keadilan Rakyat, untuk masa depan Malaysia yang lebih cerah.