Bilangan kakitangan awam yang mencecah 1.6 juta di Malaysia yang sering menjadi pertikaian, sebenarnya membawa kesan politik yang begitu signifikan terhadap landskap politik negara.

Baru-baru ini, saya dikejutkan dengan screenshot  mesej Telegram, yang mengandungi mesej berbaur ugutan dan ancaman buat warga pendidik yang banyak mengeluarkan kenyataan anti-kerajaan di media sosial. Antara lain, mesej berkenaan meminta para ahli dalam kumpulan Telegram tersebut agar berkongsi butiran guru di Dun Jertih yang mengkritik kerajaan, agar tindakan susulan dapat diambil.

Tidak mengejutkan, screenshot tersebut diambil daripada kumpulan Telegram yang memihak pada sebuah parti yang kononnya memperjuangkan hak Melayu masa kini. Jelas, tradisi berpaut pada pemimpin, walaupun mendukacitakan, masih kekal wujud pada ketika ini.

Terbaru, seluruh negara dikejutkan dengan pertuduhan yang dikenakan ke atas Cikgu Azizan. Beliau yang merupakan seorang guru berpangkat Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) di sebuah sekolah rendah di Nilai, telah dibawa ke mahkamah kerana mengambil tindakan disiplin ke atas seorang pelajar bermasalah. Namun saya terkesan apabila tiada perlindungan atau bantuan guaman diberikan oleh pihak kerajaan terhadap Cikgu Azizan, yang sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik nusa dan bangsa.

Hakikat ini bukanlah perkara baharu di Malaysia, khususnya dalam kalangan penjawat awam. Mereka yang berkhidmat di bawah skim kerajaan, dianggap ‘milik sepenuhnya’ kerajaan. Tiada kritikan dapat dilontar, tiada gesaan dapat dikhabarkan. Sehingga wujud pemberontakan senyap yang tidak terluah.

Isu ‘pembulian’ dalam kalangan penjawat awam ini besar impaknya. Mereka yang sedar akan kekurangan dan keperluan penambahbaikan sistem pentadbiran, terpaksa tunduk pada kuasa menteri dan kerajaan yang mungkin serba tidak tahu akan sesuatu perkara.

Bukan sahaja kakitangan peringkat bawah atau pertengahan, malahan kelompok tertinggi atau pemikir turut terkesan dengan tekanan ini. Barisan pengarah, pendukung agensi dan institusi kerajaan, mahupun para profesor tidak mampu untuk bersuara lantang.

Usah kita lupa siapa yang akan menjadi mangsa terakhir kecelaruan ini: rakyat Malaysia segenap peringkat, yang kita saling kasihi.

 Dalam usaha kita memperjuangkan sistem demokrasi yang moden dan matang, saya kaget dengan pendekatan puak-puak tertentu yang terlalu paranoid dengan sokongan terhadap pihak bukan kerajaan.

Di luar negara, di hadapan pemimpin dunia, di depan kaca media, pemimpin yang sama jualah yang memimpin isu demokrasi dan keadilan sejagat. Tetapi kenyataannya, kita sendiri hidup dalam keadaan ‘bertopengkan’ demokrasi.

Pandangan saya, budaya ‘menakutkan’ kakitangan awam ini perlu diubah dalam kadar segera. Kita sibuk berpolemik tentang kepentingan pendidikan dan keberanian untuk mengubah masa hadapan negara, tetapi kita ternyata masih risau akan pengaruh golongan tertentu dalam mencorakkan kehidupan seharian.

Saranan saya kepada pihak pemerintah, khususnya parti yang sedang memegang amanah mentadbir negara, cukup-cukuplah para penjawat awam dilayan ibarat anak tiri yang dibenci. Sesungguhnya mereka juga adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia, yang berhak bersuara dan didengari. Tabiat ‘mengongkong’ suara-suara ini mungkin masih berkesan pada hari ini, tetapi janganlah terkejut jika segolongan ini bangkit menjelang PRU14.

Berbalik pada isu perkongsian maklumat barisan guru yang mengkritik kerajaan di Dun Jertih, saya mendesak pihak Kementerian Pendidikan agar menyiasat gangguan sebegini terhadap warga pendidik dan memfokuskan usaha kepada pengurangan bebanan kerja yang dihadapi, berbanding menghukum guru yang berbeza pendapat tentang aspek politik atau cara didikan terhadap anak Malaysia. Bukankah negara Malaysia ini sebuah demokrasi?

Malahan, kementerian dan pihak kerajaan umumnya akan dihargai guru dan penjawat awam jika pendekatan yang lebih matang dalam menangani perbedaan politik.

Saya menggesa budaya politik yang berat sebelah, yang kini dijulang hingga ke peringkat sekolah, agar dinyahkan demi kebaikan dan kemajuan pendidikan anak-anak kita. Bakat yang dijulang, bukan budaya ampu mengampu.

Kita memerlukan warga pendidik yang bijak dan punyai minda kritikal bagi mewujudkan persekitaran negara yang dinamik dan berdaya saing.

Bukankah ini yang diangkat Perdana Menteri Najib Razak pada awal pemerintahannya, dengan kenyataan Government Knows Best Era Is Over?

Sekali lagi ingin saya tekankan kepada kerajaan, usahlah perhambakan penjawat awam selamanya. Ambil peduli akan suara mereka.