Apabila sebahagian pelajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak berkumpul dan berdemo menuntut kebebasan akademik berikutan tindakan universiti itu terhadap pensyarahnya Prof Dr Abdul Aziz Bari, ramai yang berfikiran begini; budak tidak cukup umur, ubun-ubun masih lembut, begitulah tindakan mereka.

Walaupun hasrat awal untuk mengadakan demonstrasi, akhirnya kira-kira 50 aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menukar rancangan dengan mengadakan protes secara senyap. Mereka mula berhimpun pada jam 8.35 malam, di pekarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis “Mahasiswa tuntut kebebasan akademik” dan “Bebaskan universiti daripada cengkaman politik”.

Berdemo adalah salah satu tanda dan cara menunjukkan protes. Ini sama juga dengan cara gaya watak-watak dalam drama atau filem melahirkan protes mereka. Ada yang menggetap bibir. Ada yang menggenggam buku lima. Ada yang merentap pakaian.

Jika watak itu anak gadis, protes mereka secara senyap... contohnya dengan cara melipat-lipat hujung tikar mengkuang atau menggulung hujung kain sekuat hati hingga bengkak jari-jari. Dalam pengertian biasa, protes bermaksud pernyataan tidak setuju dengan sesuatu dasar, usul dan lain-lain (Kamus Dewan, edisi ke-4). Dalam sastera, ia boleh membawa pelbagai pengertian, misalnya, sebagai gambaran suasana hati yang penuh pemberontakan atau penentangan- (Dharmawijaya 1994).

Makna ini samalah juga yang kita dapat apabila membaca naskhah Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, berjudul Srengenge. Kita melihat bagaimana masyarakat kampung memprotes kewujudan hantu raya, bukit yang berhantu dan pokok-pokok yang membentuk lingkungan menakutkan.

Orang kampung di kaki Bukit Srengenge memprotes apabila Imam Hamad (salah satu watak dalam novel itu) diserang penyakit ‘misteri’ sebaik saja pulang dari meracik tekukur di Bukit Srengenge. Insiden ini tambah diperkuat apabila dia menyatakan persetujuan dengan cadangan Awang Che Teh hendak meruntuhkan bukit itu.

Sebagai penulis novel, Shahnon telah memulakan naskhahnya dengan kata kemarahan; ‘Srengenge tersergam hodoh macam setan’. Ironi marah ini membuktikan betapa bencinya penduduk kampung terhadap Bukit Srengenge. Mereka memprotes kewujudan bukit itu. Sifat benci, marah dan protes melengkapi novel ini dengan sebaik-baiknya.

Novel ini diterbitkan buat kali pertama pada 1973 dan telah diangkat sebagai novel terbaik sepanjang 1973. Lihatlah betapa lembutnya seniman melahirkan penentangan mereka. Bandingkan dengan keadaan hari ini. Berapa banyak berita kita baca dalam akhbar yang melaporkan akibat marah dan protes, ada insan yang mati dipukul, disimbah minyak dan dibakar hidup-hidup.

Memang zaman sudah berubah. Protes zaman kini bukan rahsia seperti menggetap bibir atau memulas hujung kain. Protes orang sekarang tidak boleh dibendung. Hati yang terbakar, harus juga membakar perbuatannya. Dan membakar pula tidak hanya dengan lilin.

Kita boleh memprotes kalau perbuatan itu semata-mata hendak menjelaskan hak kita, pegangan kita dan prinsip. Namun jangan kerana protes kita menyusahkan orang lain hingga memberikan kesan buruk. Protes kita akan dikutuk jika itu akan menjadi api membara menghancurkan agama, bangsa dan negara. Akal kita mudah sahaja didorong nafsu yang senang sahaja dirasuk syaitan laknatullah.

Saat itu kita adalah umpama raja yang hilang maruah, hilang istananya. Seperti pelajar UIA di Gombak dan perjuangan SMM serta protes Sasterawan Negara Shahnon Ahmad saya juga sedang memprotes. Ya, inilah cara protes saya kerana sudah terlalu lama sangat bertangguh menyiapkan novel baru saya!