*SETELAH teruk dilanda tsunami pada 9 Mei, pelbagai tanggapan dan gelaran diberikan kepada Umno.

Parti terbesar orang Melayu itu dianggap sebagai dahan rapuh yang menanti runtuh, tidak boleh lagi dijadikan tempat bergantung.

Ada yang menganggap parti cap keris itu sebagai rumah usang yang berlubang dan bergoyang sana-sini, tidak boleh lagi menjadi tempat berteduh.

Ramai juga yang menyamakan Umno dengan Titanic, kapal besar lagi ternama yang retak, bocor, dan akhirnya karam di lautan bergelora...

*APA pun tanggapan umum, parti Melayu dengan keahlian lebih tiga juta itu, tidak mungkin lenyap begitu sahaja pasca PRU14.

Malulah kepada Hang Tuah yang bermadah ‘tak kan Melayu hilang di dunia’, sekiranya parti yang telah memerintah negara sejak lebih setengah abad itu tiba-tiba pupus.

Lenyaplah keris sebagai lambang ketuanan Melayu jika Umno dibiarkan terus dalam keadaan ‘hidup segan mati tak mahu’.

Maka, meski dalam keadaan luka parah, dan robek di sana-sini, parti itu mesti diselamatkan.

*PERHIMPUNAN agung dan pemilihan parti hujung bulan ini adalah peluang terbaik untuk menyuntik tenaga dan memberi nafas baharu kepada Umno.

Melihat kepada calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan, adalah jelas masih ramai yang prihatin dan sayangkan parti.

Menjadi tanggungjawab perwakilan untuk membuat pilihan tepat, agar yang diangkat adalah pemimpin yang benar-benar dapat mengemudi kapal ke haluan dan perjuangan sebenar.

Oleh sebab itu, tidak kira apa jawatan, pilihlah calon yang betul-betul layak. Tolak calon yang diketahui tidak bersih, tidak bijak, dan sewel lagi gila-gila babi.

Biarkan calon-calon kaki busuk ini tenggelam dengan labu-labunya!

*SEJAK sekian lama jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan. Dua jawatan penting itu diberi percuma.

Alasan tidak ada pertandingan untuk jawatan penting itu ialah tidak mahu gaduh sama sendiri sehingga wujud perpecahan dalam parti. Ini alasan lapuk!

Kali ini jawatan No.1 menyaksikan pertandingan lima calon, termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin

Selain presiden, kali ini timbalan presiden, naib presiden dan lain-lain kerusi semua dipertandingkan. Pendek kata tidak ada yang menang percuma. Ini tanda perubahan awal bagi Umno. Syabas!

*GELAGAT para perwakilan pada perhimpunan kali ini pun kena berubah sebab akan menjadi perhatian rakyat jelata.

Baik semasa perbahasan atau ketika berucap, nampakkan kesungguhan dan kematangan. Tunjukkan fakta, jangan asyik dengan hubaya-hubaya mengampu dan membodek pemimpin.

Kalau parti hendak berubah, perwakilan elakkan lawak bodoh untuk gelak-gelak ketika berhimpun. Tunjukkan kesungguhan perjuangan, jangan asyik berpantun seloka entah apa-apa.

Sedarlah Umno sekarang pembangkang, bukan kerajaan. Jangan lagi angkuh dan menyombong diri. Insaflah keris sudah bengkok dan tumpul.

*KEPADA perwakilan wanita pula datanglah bersidang dengan penampilan yang berbeza, sesederhana mungkin.

Sedarlah ini bukan lagi zaman untuk memperaga tubuh dengan pakaian yang luar biasa cantik, bukan lagi era menayang emas dan berlian, tidak juga masa menunjuk-nunjuk beg tangan bergengsi.

Datanglah dengan fikiran yang tajam, hujah yang bergeliga. Bawalah idea-idea bernas. Kalau hendak bertepuk sorak pun jangan berlebih-lebih. Wanita tetap wanita!

*BIASANYA apabila ada pemilihan parti, adalah sosek-sosek mengenai politik wang. Ada yang taja hotel, ada yang bayar tiket penerbangan.

Dan, semua orang tahu sampul surat yang dihulur kepada perwakilan tertentu, untuk membeli undi. Ada juga yang diajak umrah dan melancong.

Sejak dulu duit menguasai Umno. Ada yang digantung keahlian kerana terlibat dalam politik wang. Ini bukan rahsia. Tun Mahathir sendiri pernah menangis ketika menjadi presiden, kerana politik wang.

Harap-harap budaya berduit-duit ini dinyahkan dari Umno. Duitlah yang menghancurkan parti. Maka kalau betul hendak pulihkan parti, hentikan politik wang.

*AKHIR kalam, walaupun apa orang lain kata, Umno masih wujud dan perlu terus dihidupkan. Sesengkek-sengkek pun parti ini masih menang 54 kerusi pada PRU14.

Tidak ada satu pun parti lain yang menang kerusi sebanyak itu. Ertinya masih ada lagi yang menyokong dan yakin dengan parti cap keris ini.

Pastikan keris itu masih berbisa untuk membela bangsa...

- TOK PERAK