BELUM apa-apa, sudah ada suara-suara sumbang – dan tindakan sasau, sewel lagi gila-gila babi – yang seolah-olah hendak memboikot PRU14. Seperti yang tular di media sosial, ada kempen antiPRU14 yang menyebarkan mesej dengan hashtag #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU.

Tarikh pun belum diketahui, sudah ada jiwa dan minda tidak bertanggungjawab yang sengaja hendak buat kacau supaya orang ramai keliru. Orang sewel lagi gila-gila babi tonyok seperti inilah yang membuat kehidupan selalu tertekan.

SIAPA agaknya gerangan si babi tonyok gatal tangan gatal minda yang menyuruh orang boikot PRU14? Kalau ikut Tun Dr Mahathir Mohamad, semua ini tak lain tak bukan mesti kerja kotor parti pemerintah. Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) itu mendakwa dalam satu sidang media baru-baru ini bahawa kempen berkenaan didalangi orang Umno.

Itu kata Tun M...

TETAPI parti pemerintah pula menuduh si kaki busuk dan minda haprak yang menggerakkan kempen boikot PRU14, pastilah puak pembangkang. Kata Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kempen yang tular di laman sosial hanyalah melibatkan pengundi pembangkang yang tidak yakin dengan kepimpinan pembangkang.

Tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, penyokong BN tidak mungkin terlibat dalam kempen sedemikian kerana mereka masih mahu keluar mengundi bagi memastikan kerajaan BN kekal memerintah.

Tidak kira siapa yang menjadi dalang, kempen seperti itu jangan langsung diambil perhatian. Kalau kita hendak parti kita menang, keluarlah mengundi beramai-ramai.

Dalam amalan demokrasi setiap pengundi berhak menentukan parti mana yang mereka suka. Boikot undi bermakna boikot hak kita. Buktikan kita semua waras fikiran, bukan babi tonyok.

APA pun kempen boikot PRU14 mungkin tidak diambil kisah oleh pengundi Kelantan yang sejak lebih dua dekad telah diperintah Pas. Parti Islam tidak gentar menghadapi pengundi, hatta sekiranya terpaksa berdepan pertembungan tiga penjuru termasuk daripada Amanah bagi kesemua 45 kerusi Dun Serambi Makkah itu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pihaknya tidak pernah ada halangan bagi mana-mana parti bertanding pada pilihan raya.

“Kita tak akan mengalah, lawan tetap lawan,” katanya. Pengundi Kelantan telah membuktikan pada setiap PRU mereka menggunakan hak mereka sepenuhnya, tak boleh diacah-acah dengan apa-apa hashtag pun!

WALAUPUN semua orang berebut hendakkan rumah, tahun lalu ada 13,605 unit rumah yang telah siap tetapi tiada siapa dapat membeli. Ini bukan soal tidak mahu, tetapi tidak mampu membeli, sebab yang tidak laku itu adalah rumah-rumah di bawah julat RM250,000 hingga RM500,000 seunit.

Seperti yang diakui oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kadar faedah pinjaman yang tinggi menjadikan rakyat terbanyak tidak dapat membeli rumah tersebut.

Maka TPM berkata kerajaan akan mencadangkan kadar faedah pinjaman perumahan diturunkan bagi mengurangkan beban pembeli. Kadar pinjaman asas (BLR) di Malaysia adalah 4.65 peratus berbanding Australia 5.33 peratus dan Singapura 1.45 peratus.

“Cadangan itu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) akan dibawa kepada Kabinet untuk satu keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Keputusan dalam masa terdekat? Adakah itu dalam masa seminggu dua ini, sebelum PRU14?

AKHIR kalam, sudah berbulan berlalu, benda mudah masih belum selesai, malah bertambah hangat. Pengusaha hotel bertaraf antarabangsa masih angkuh, buat ‘dhek’.

Menteri sudah keluarkan amaran, banyak pihak – termasuk para agamawan – menyatakan bantahan, tetapi tauke hotel masih dengan sikap ‘ada aku kisah?’

Terkini Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak semua pihak memboikot hotel antarabangsa di negara ini yang melarang pekerjanya memakai tudung.

Ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu perlu bagi memberi tekanan kepada pihak terbabit supaya mengubah prosedur operasi piawai (SOP) dan membenarkan pekerja wanita beragama Islam memakai tudung.

Dia orang angkuh dan buat ‘dhek’ sebab kita lemah. Dia orang ada SOP kita tidak berani balon SOP itu. Meniaga tempat kita sepatutnya ikutlah SOP kita! SOP kita mesti lebih sesuai dan lebih sedap berbanding SOP orang. Hatta, kalau pahit dan tidak sedap pun pastikan dia orang telan SOP kita!