*KHAIRY Jamaluddin kesal Umno masih tidak berubah, walaupun telah diadakan pemilihan parti baru-baru ini. Ahli Parlimen Rembau itu bertanya, dan menyindir:

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum? Kutip tabung untuk mantan presiden dan repeat semula?”

Mantan Ketua Pemuda itu kesal kerana parti terbesar orang Melayu itu terus memainkan sentimen perkauman berbanding isu lain lebih besar seperti ekonomi dan sosial.

Tambah beliau: “Tak salah kita bersolidariti dengan DSN (Datuk Seri Najib) tetapi takkan itu sahaja Umno “baharu”. Dah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” katanya menerusi Twitter.

*MESKI tewas dalam pertandingan merebut kerusi Presiden Umno, Khairy tidak berhasrat untuk meninggalkan parti cap keris itu.

Dia menegaskan akan kekal di bawah ‘khemah besar’ orang Melayu itu. Tetapi dia memberi amaran Umno yang kini di persimpangan mesti memilih sama ada mengambil haluan kanan atau tengah.

“Ke kanan mungkin menang sorak sementara. Tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi. Haluan tengah bukan mudah. Sukar difahami akar umbi. Tetapi itulah jalan yang ada untuk survive,” katanya.

Ada mana-mana pemimpin Umno yang hendak menyanggah Khairy?

*SEMENJAK dua menjak ini dunia mula membuka mata, dan tidak lagi sewenang-wenang boleh memperlekeh orang kita. Sebab orang kita pun sudah sama hebat, malah dalam sesetengah hal, terbukti lebih hebat daripada bangsa-bangsa lain.

Contoh, ada orang kita yang menonjol di dunia bisnes peringkat global. Duitnya berbilion, memiliki hartanah di merata dunia. Rakan taulannya semua pemimpin dunia.

Pada usia 37 tahun, laksawan tampan lagi playboy ini terbang ke sana sini menaiki jet peribadi, siang malam berfoya-foya dengan selebriti dunia, mencurahkan duit bagaikan air.

Ada pun dia adalah anak kelahiran Pulau Pinang. Namanya dalam kad pengenalan: Low Taek Jho. Nama manjanya: Jho Low.

*SEJAK dua tiga tahun ini nama Jho Low menjadi sebutan di dalam negeri, bahkan seantero alam. Dia tidak berani balik ke Pulau Pinang untuk makan Musang King atau nasi kandar.

Dia dikehendaki, dan dicari oleh pihak berkuasa di beberapa negara. Seluruh alam heboh, tetapi pihak berkuasa Malaysia macam ‘buat dhek’.

Polis dan pihak berkuasa kita gagal mengesan, pada hal banyak orang terserempak dengan jejaka playboy ini berendam dan bermain air di Phuket, Thailand.

Malah, bot mewahnya, Equanimity, kelihatan bersantai-santai di perairan pulau-pulau negara jiran, sebelum akhirnya ditahan pihak berkuasa Indonesia di pulau Bali, Februari lalu.

Hairan bin ajaib, Jho Low ada di depan mata, tetapi pihak berkuasa kita tidak nampak. Dia bersantai di Bali, tetapi kita tidak perasan.

Maka, ada sesetengah pihak meramalkan konon laksawan playboy itu menggunakan ahlul nujum dan ilmu hitam untuk menutup pandangan kita!

*BUKAN ilmu hitam, tetapi kerajaan yang dulu sengaja tidak mahu menangkap Jho Low, atas alasan jejaka kelahiran Pulau Pinang itu tidak ada kena mengena dengan kita.

Tetapi, kini kerajaan baharu yang dibentuk selepas tsunami 9 Mei, maka seperti lirik lagu Tegar yang popular itu, Jho Low ‘yang dulu, bukanlah yang sekarang’.

Dulu dia tidak dikaitkan dengan skandal 1MDB, tetapi sekarang siasatan menunjukkan playboy berkenaan ada kaitan dengan skandal mega yang menggemparkan dunia itu.

Maka si playboy yang menjadikan Hong Kong, Macau, dan China sebagai gelanggang permainannya, kini menjadi buruan polis kita.

Orang bertanya, apakah harta berkoyan, duit bertimbun dan makwe keliling pinggang dapat menyembunyikan Jho Low daripada pihak berkuasa kita?

*AKHIR kalam, masih mengenai buruan. Semua orang tahu, selain Jho Low ada seorang lagi anak tempatan yang menjadi buruan polis pasca 9 Mei.

Itulah Datuk Seri Jamal Yunus, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar yang juga pemimpin NGO Baju Merah. Selama dua minggu dia main sorok-sorok dengan polis.

Tetapi, akhirnya dia ditangkap ketika sedang bergunting rambut di Jakarta. Dia dibawa pulang ke tanah air, di hadapkan ke mahkamah atas satu kesalahan, dan didenda RM400.

Tidak berbaloi menjadi buruan hanya kerana kesalahan yang membawa denda RM400, bukan RM4 juta.

Itulah bezanya Jamal dan Jho Low...