MALANG tidak berbau, dan boleh mengundang maut. Tidak fasal-fasal seorang kanak-kanak tidak berdosa, tiba-tiba meninggal dunia secara tragis, Selasa lalu.

S Sathiswaran, 15, meninggal dunia setelah kepalanya dihempap kerusi yang dicampakkan dari flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Kuala Lumpur.

Tiada kesedihan dapat diluahkan dengan perkataan, lebih-lebih lagi ibu mangsa yang sepanjang masa meratapi kehilangan mengejut anak kesayangan itu.

Memang, malang tidak berbau. Tetapi sekiranya semua ada keprihatinan dan ada sivik, apa yang tidak berbau itu boleh dielakkan.

MASALAHNYA ialah sesetengah penghuni flat bukan sahaja tidak prihatin dan tidak sivik, malah hati kering, tidak bertanggungjawab, sekali gus bodoh macam lembu.

Walaupun tinggal di tempat tinggi, mereka berasa seperti duduk di tanah setinggan, boleh buat apa sahaja menerusi tingkap.

‘Lembu-lembu’ di tingkat atas itu membuang apa sahaja – lampin bayi, tuala wanita, bantal busuk, kulit durian, kerusi, hatta lesung batu!

‘Haiwan-haiwan’ tersebut tidak sedikit pun rasa bersalah – mungkin megah! – kerana melakukan kesalahan tetapi tidak ada sebarang tindakan.

Sathiswaran mungkin mangsa pertama. Siapa tahu selepas ini ramai lagi akan menjadi mangsa lembu-lembu tidak bertanduk itu!

DEWAN Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui memang sesetengah penduduk PPR terlalu rendah sikap sivik, dan membuang sampah dan benda-benda lain dari tingkat atas menjadi perkara biasa.

Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Bandar DBKL Wan Mohammad Ghazali Nor memberitahu, sebelum ini notis telah dikeluarkan kepada penghuni PPR yang melakukan perbuatan tiada sivik itu.

Beliau memberitahu ada 72 projek PPR di ibu negara, dan 13 daripadanya memang dikenal pasti sebagai tempat sampah.

Menurut beliau, DBKL akan mengeluarkan lagi notis kepada penghuni. Setakat mengeluarkan notis, tidak memberi kesan apa-apa. Hantarlah walau seratus notis, tanpa sebarang tindakan tegas, perbuatan mencampakkan sampah dan objek akan berterusan.

Maka DBKL perlu mengenakan tindakan tegas. Apa kata penghuni yang tidak bertamadun itu dinyahkan dari PPR, dan diletakkan dalam gua atau di tengah belantara?

UNIFORM pramugari syarikat penerbangan negara ini mendapat komen seorang wanita New Sealand, bukan kerana keayuan dan kesopanan, tetapi kerana terlalu seksi.

Menurut wanita tersebut seperti yang ditulis dalam laman sosial, pakaian pramugari sebuah syarikat penerbangan kita terlalu singkat, ketat, dan mendedahkan dada.

Sebab itu Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), meminta kerajaan memberi garis panduan terhadap pakaian pramugari milik syarikat penerbangan tempatan.

Ketua Biro, Omar Kassim kecewa dengan pakaian pramugari yang terlalu seksi, tidak patuh syariah, tidak sesuai dengan budaya orang kita.

Sebenarnya bukan uniform pramugari sahaja, satu lagi yang jelas tidak patuh syariah ialah syarikat penerbangan kita juga menghidangkan arak. Sebab itu agaknya syarikat penerbangan kita tidak berkat.

MASIH mengenai seksi, bukan pramugari sahaja, wartawan wanita pun tidak digalakkan menggayakan pakaian yang boleh membangkitkan keberahian.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyeru petugas media membuat penampilan sesuai, termasuk tidak berpakaian seksi.

Ini, menurut Presiden NUJ, Mohd Taufek Razak, adalah berikutan gangguan seksual ahli politik terhadap wartawan, seperti yang didakwa beberapa petugas media.

Taufik memberi panduan kepada wartawan untuk mengelakkan gangguan ahli politik:

“Jangan berpakaian terlalu seksi, menolak untuk ditemu ramah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti di kelab malam atau di rumah ahli politik.”

Pengalaman peribadi sebagai wartawan lelaki, sejak jadi orang media hampir empat dekat, saya berpakaian biasa sahaja. Sebab itu agaknya tiada ahli politik wanita sudi mengganggu!

AKHIR kalam, sejumlah 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat September tahun lepas, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Orang kita selalu cakap berkobar-kobar mengenai politik, mengenai pilihan raya, selalu heboh di mana-mana bercakap hendak menumbangkan kerajaan, hendak membanteras korupsi.

Tetapi mereka enggan mendaftar sebagai pemilih, jadi hendak mengundi macam mana? Inilah yang orang kata ‘cakap tak serupa bikin’!