*ANTARA yang menarik perhatian orang kita mengenai Donald Trump ialah kemungkinan Amerika Syarikat menarik diri dari Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik @ TPPA. Itu yang diikrarkan ketika kempen.

Kata bakal presiden itu, seperti yang dilaporkan media dunia, dia mahu menarik diri daripada TPPA pada hari pertama beliau melangkah ke White House pada Januari 2017.

Apa agaknya pendirian Malaysia mengenai TPPA sekiranya benar-benar negara kuasa besar itu menarik diri? Apakah kita hendak mengikut Trump?

*MALAYSIA akan meneruskan TPPA. Itu kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan mengenai perjanjian yang sebelum ini diterajui AS dan dianggotai oleh 11 negara.

Maka teringat kata-kata Datuk Seri Mustapa Mohamed yang pernah disiarkan media bahawa TPPA mungkin terkubur sekiranya Trump menjadi Presiden AS.

Almaklumlah negara kuasa ekonomi dunia itu diketahui menyumbang lebih 80 peratus output yang diperlukan di bawah perjanjian tersebut.

Masuk tahun baharu nanti Trump betul-betul duduk di Rumah Putih sebagai presiden. Apakah yang pernah dinyatakan oleh Tok Pa itu akan menjadi kenyataan?

*SEMENTARA kerajaan, khasnya Tok Pa sendiri, beria-ia benar mempertahankan TPPA tidak lama dulu, banyak juga NGO dan pakar ekonomi kita menentang penyertaan Malaysia dalam perjanjian tersebut.

Pihak yang menentang memberikan pelbagai alasan mengapa kita tidak perlu menyertai perjanjian ini. Mereka kata lebih banyak rugi dari untung jika kita ikut serta. Tetapi kerajaan kata banyak untung dari rugi.

Antara yang kuat menentang ialah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan memberi pelbagai alasan mengapa kita perlu mengelak daripada pakatan yang diterajui AS itu.

Rasanya sama ada Trump menarik diri atau tidak, kita tidak akan keluar dari TPPA. Sebab kalau kita tarik diri daripada perjanjian yang kita pertahankan bermati-matian itu, tentu sesetengah orang akan berpendapat itu satu kemenangan buat Tun M.

Dalam situasi politik sekarang, ada pihak tidak mahu Tun M dilihat sebagai menang dalam apa-apa hal pun.

*SAYA tabik kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman atas ketegasan dan beria-ia mempertahankan ‘Kok’-nya di Parlimen, walaupun mendapat cemuhan daripada beberapa YB pembangkang. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata sebutan ‘Kok’ yang dicakapkan semasa perbahasan itu adalah semasa-mata merujuk kepada nama keluarga YB Seputeh, Teresa Kok, dan tidak ada maksud lain.

Secara peribadi saya tidak nampak apa salahnya menyebut perkataan ‘Kok’ sebab itu memang surname YB berkenaan. Kecualilah sekiranya bunyi sebutan itu sengaja dieja dalam bahasa Inggeris.

Lagi pun ‘Kok’ bukan perkataan tidak sopan, malah telah sekian lama dijadikan nama tempat, seperti Kok Lanas (Kelantan), Taman Kok Doh (Kuala Lumpur), Kokdiang (Kedah) dan sebagainya.

*TETAPI, beberapa NGO dan Wanita MCA menganggap ‘Kok’ yang disebut oleh YB Pasir Salak itu tidak sepatutnya dicakapkan dalam Dewan yang mulia.

Kata Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, Tajuddin kebudak-budakan dengan mempermainkan kata-kata yang jelas menggores perasaan ramai terutama sekali wanita dan bangsa Cina.

Namun YB Umno itu tidak kisah apa yang dikatakan oleh Mei Fun. Malah dia memberitahu masih ramai lagi wanita suka padanya. “Kalau tak percaya datang ke tempat saya...semua wanita dan gadis, tua dan muda, sangat suka dengan saya,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Mungkin bagi sesetengah wanita, ‘Kok’ adalah perkara biasa, tidak terasa apa-apa pun.

*AKHIR kalam, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa memohon maaf kepada wartawan berhubung insiden ketika berlangsungnya Konvensyen Umno Pahang baru-baru ini sehingga berlaku salah faham antara kedua-dua pihak.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) terkilan dengan Umno negeri itu sebab petugas media diminta meninggalkan konvensyen berkenaan.

Menurut Annuar, seperti dilaporkan media, kedua-dua pihak saling memerlukan kerjasama, dan kumpulan wartawan adalah golongan profesional yang sepatutnya diberikan ruang untuk menjalankan tugas-tugas mereka.

Wartawan perlukan orang politik untuk mendapatkan berita, orang politik pula memerlukan wartawan supaya beritanya disiarkan. Maka eloklah sama-sama berbaik sangka. ‘Barulah putih...’

 

TOK PERAK