*DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa penganjur Bersih 5 dan kumpulan baju merah tidak dibenar mengadakan perhimpunan pada 19 November ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri itu menegaskan, seperti yang disiarkan media: Siapa juga yang mengingkari larangan tersebut “akan berdepan tindakan undang-undang.”

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula memberitahu kumpulan baju kuning dan kumpulan baju merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka.

Tetapi pemimpin Bersih 5, Maria Chin Abdullah memberitahu baju kuning tetap akan meneruskan perhimpunan seperti yang telah dijadualkan. “Kita tidak akan masuk ke Dataran Merdeka, tetapi berhimpun di sekitarnya.”

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos pula berkata, baju merah juga tidak akan mengaku kalah. Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu menegaskan: “Jika Bersih 5 masih meneruskan niat mereka, kami juga akan turun pada waktu, tarikh dan masa sama.”

Maka semua kini menunggu penuh debar tarikh 19 November sambil bertanya, siapa yang lebih berani dan berkuasa sekarang: Ahmad Zahid? Khalid Abu Bakar? Maria Chin? Jamal Yunos?

*SETELAH senyap sekian lama, tiba-tiba kita diingatkan semula dengan individu yang satu ketika dulu digelar ‘penyangak mata wang’. Itulah George Soros, orang penting di belakang Open Society Foundation (OSF).

Terbongkar baru-baru ini bahawa yayasan tersebut menyalurkan bantuan kewangan kepada beberapa entiti dan organisasi di negara kita.

Bagi sesetengah pihak penyaluran bantuan seperti itu samalah seperti campur tangan asing dalam urusan negara berdaulat.

Pihak polis akan menjalankan siasatan untuk menjejaki siapa yang telah menerima duit Soros, berapa banyak, untuk tujuan apa? Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengetahui dengan tepat sejauh mana ‘penyangak’ tersebut telah mencampuri urusan dalaman kita.

Sementara siasatan rapi dijalankan memang tiada siapa tahu jumlah sebenar wang yang setakat ini disumbangkan. Masing-masing hanya boleh mengagak, mungkinkah RM ribu-ribu, atau RM juta-juta, atau RM bilion-bilion?

*SETAKAT semalam hanya satu yang tampil membuat pengakuan telah menerima sumbangan OSF, iaitu Majlis Peguam Malaysia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen, majlis tersebut, Datuk Seri M Ramachelvan, pembiayaan itu diterima daripada OSF pada 7 Januari 2015.

Sumbangan tersebut ialah sebagai geran untuk menjalankan kajian penyelidikan mengenai pekerja migran di Malaysia. Katanya: “Geran itu tidak diguna pakai sama sekali untuk membiayai perbelanjaan operasi dan urusan tadbir Majlis Peguam Malaysia.”

Majlis Peguam mengesahkan jumlah duit yang diterima dari OSF ialah AS$15,000, atau RM53,757.12. Harap siasatan diteruskan, mana tahu kot-kot Soros telah menyumbang RM bilion-bilion!

*MASIH mengenai RM, bagi kebanyakan rakyat mereka tidak terfikir pun untuk mendapat habuan RM juta-juta, jauh sekali RM bilion-bilion, sama ada daripada Soros atau daripada mana-mana penderma budiman.

Bagi orang biasa RM1.50 sen pun amat besar ertinya. Sebab itu apabila kerajaan mengumumkan harga minyak masak naik RM1.50 per kg, ramai yang mengeluh sebab kehidupan menjadi semakin sempit.

Seperti yang diketahui, minyak masak paket satu kg masih dijual RM2.50, tetapi bagi yang membeli selain paket satu kg, kenaikan harga ialah RM1.50 bagi setiap kg selepas penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak bermula 1 November.

Tambahan pula kenaikan harga minyak masak itu secara kebetulan serentak dengan pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel. Maka, semua naik dan naik. Adapun yang turun hanya air mata...

*AKHIR kalam, seperti biasa setiap kali minyak atau keperluan lain naik harga, menteri akan kata, kenaikan tersebut tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat. Kata-kata itu hanya akan menambah sebak dan sakit hati rakyat.

Hakikatnya setiap kali minyak naik, semua barang, termasuk yang tidak ada kaitan langsung dengan minyak, akan turut naik. Pengusaha restoran telah menyatakan mereka akan menaikkan harga makanan dan minuman berikutan kenaikan harga minyak masak.

Satu lagi yang selalu menteri kata: “Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana peniaga yang menaikkan harga barang dan makanan sesuka hati...” Tetapi itu hanya cakap. Hakikatnya barang terus naik tidak terkawal, tindakan tidak ada.

Kata-kata “tidak menjejaskan rakyat” dan “akan bertindak tegas” adalah klise menteri untuk menyedapkan hati rakyat. Saya ingat menteri jangan lagi ulangan klise tersebut. Dulu rakyat percaya, sekarang rakyat ketawa. Ketawa, tetapi menangis dalam hati.

TOK PERAK