*DATUK Seri Najib Razak tidak dapat mengesahkan atau menafikan isi surat yang dihantar kepada Agensi Risikan Pusat (CIA), beberapa hari sebelum PRU14.

Kata bekas perdana menteri itu, secara polisinya perkara seperti itu tidak wajar diberikan komen memandangkan ia merupakan rahsia kerajaan.

“Surat itu dibuat oleh badan perisik kita. Dan bukan dasar kita nak dedahkan surat tersebut. Ini rahsia kerajaan,” katanya kepada pemberita.

Surat yang sepatutnya rahsia itu telah bocor, dan isinya didakwa memohon sokongan Amerika Syarikat (AS) sekiranya BN menang tipis pada PRU9 Mei lalu.

Kata Najib seperti yang dipetik media: “Saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan. Saya tidak tahu apa yang ditulis...”

Sejak BN tumbang, dan Umno kecundang, rupanya banyak yang mantan PM itu tidak tahu!

*TAN Sri Annuar Musa akhirnya memohon maaf atas kenyataan yang dibuat semasa berkempen untuk PRK Dun Sungai Kandis, baru-baru ini.

Semasa kempen, Setiausaha Agung Umno antara lain disebut sebagai berkata: “...pilihan raya kecil adalah takdir lIahi yang boleh berlaku di mana-mana, mungkin di Langkawi, Bera atau Ketereh.”

Untuk makluman Langkawi adalah kawasan Parlimen Tun Dr Mahathir, Bera kerusi milik Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, dan Ketereh kerusi milik Annuar sendiri.

Kata Annuar: “Orang ramai menyalahtafsirkan kata-kata saya, tetapi saya tidak keberatan, saya boleh memohon maaf kerana itu bukan apa yang saya maksudkan...saya hanya bergurau.”

Sebenarnya tidak timbul soal salah tafsir. Sebab apa yang dikatakan oleh pemimpin Umno itu semua orang boleh faham, budak sekolah pun tahu.

Memang pun Annuar tidak bermaksud apa-apa, hanya bergurau. Tetapi bergurau pun kena bertapis, kena hati-hati, jangan ikut mulut sahaja.

*TANAH Tinggi Lojing di Gua Musang, Kelantan telah ditukar menjadi Lojing Highlands, kataTimbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Nama baharu itu adalah untuk mencapai hasrat kerajaan menjadikan loksi berkenaan sebagai destinasi pelancongan setanding dengan Cameron Highlands.

Adakah benar nama boleh menarik pelancong asing berkunjung? Pada hemat saya pelancong bukan tertarik pada nama, sebaliknya pilihan mereka ialah apa yang ditawarkan di lokasi berkenaan.

Pakai nama orang putih pun jika yang ada hanya biasa-biasa, pelancong tidak peduli. Jangan hanya tukar nama, tukar juga kemudahan dan lain-lain keperluan.

Jika kebersihan tidak dijaga, pakai nama mat salih pun pelancong tidak tertarik.

Maka teringat saya pada Pantai Teluk Mok Nik di Kemaman, Terengganu yang kini menjadi ‘Monica Bay’. Adakah itu juga gara-gara hendak menarik orang putih datang?

*SELASA lalu sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selama kira-kira lima minit. Bukan kerana ada kecemasan, tetapi sebab tidak cukup korum.

Sidang yang sepatutnya disambung jam 2.30 itu tertangguh apabila Speaker Datuk Mo amad Arrif Md Yusof diberitahu hanya ada 25 YB; tidak ada seorang menteri dan timbalan menteri pun.

Dewan diteruskan apabila Speaker mendapati beberapa orang YB bergegas msuk dan mencukupkan korum minimum 35 orang.

Hanya sehari sebelum itu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa tidak puas hati di atas kehadiran YB – termasuk menteri dan timbalan menteri – semasa sidang Dewan.

Walaupun tertangguh hanya lima minit, kejadian seperti ini jangan diulangi. Wakil rakyat yang dipilih mesti menjalankan tugas dengan baik, jangan ponteng lagi. Parlimen bukan tempat main-main!

*AKHIR kalam, mengenai PRK Dun Sungai Kandis di Selangor. Iklan sudah keluar, berita pun sudah tular, tetapi hasrat untuk makan durian percuma tertangguh.

Mulanya dikatakan satu program festival durian akan diadakan 28 Julai oleh Koperasi Hijrah Selangor (Kohijrah). 1,000 biji durian ditawarkan kepada penduduk setempat.

Bagaimanapun, Bersih 2 mengkritik program tersebut dan menyifatkannya sebagai rasuah serta melanggar peraturan pilihan raya.

Maka acara jamu durian ditangguhkan, dan kempunanlah untuk makan durian percuma sebelum PRK 4 Ogos...

Tok Perak