*TRAGEDI hujung minggu itu mengorbankan 11 nyawa. Tanah runtuh di tapak pembinaan kawasan bercerun di Tanjung Bungah Pulau Pinang itu sepatutnya tidak berlaku.

Kalaulah ada sedikit keprihatinan dan undang-undang dipatuhi, nyawa mungkin dapat diselamatkan. Ternyata peraturan ada tetapi diingkari.

Kini, seminggu telah berlalu, nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Keluarga mangsa dalam keadaan berdukacita atas kehilangan orang tercinta.

Seperti biasa setiap pihak saling menuding jari. A kata salah B, C kata salah D. Masing-masing saling tuduh-menuduh, penyelesaian tidak ditemui.

Nyawa telah melayang, harta benda pun musnah, tidak ada satu pihak pun mengaku bersalah. Banyak teka-teki perlukan jawapan, dan tindakan.

*SALAH satu teka-teki ialah mengenai Jabatan Alam Sekitar (JAS). Seperti yang dilaporkan jabatan berkenaan tidak meluluskan projek berkenaan.

Walaupun rayuan dibuat, jabatan berkenaan tetap dengan keputusan tidak meluluskan, atas alasan jarak antara tapak projek dengan kawasan operasi kuari terlalu hampir iaitu kira-kira 169 meter.

Menurut Pengarah JAS negeri ketika itu, Nor Hayati Yahaya, jarak tersebut tidak memenuhi keperluan zon penampan yang ditetapkan di bawah garis panduan penempatan dan pengezonan kawasan industri dan perumahan awam.

Anehnya walaupun tanpa kelulusan projek berkenaan diteruskan juga. Soalan: Siapa yang pandai-pandai melanggar peraturan JAS dan berani meneruskan projek berkenaan?

*KERAJAAN Negeri ada versi tersendiri. Agensi-agensi pusat ada teori masing-masing. NGO pun ada andaian berserta dengan fakta.

Pendek kata semua tidak mahu mengaku kalah. Tetapi penyelesaian mengenai kemelut yang membawa tragedi Tanjung Bungah masih belum ditemukan.

Sudah ada jawatankuasa khas menyiasat, pihak polis pun hendak menyiasat. Maka jalankan siasatan dengan ketelusan yang tinggi, tanpa bias, tanpa takut.

Siasat hingga ke akar umbi untuk mengesan siapa sebenarnya miang keladi di sebalik projek yang sejak awal tidak mendapat kelulusan ini.

Mereka yang besalah, tidak kira siapa, mesti diambil tindakan tegas. Kalau tidak ada tindakan tegas tragedi seperti ini boleh berlaku lagi. Mungkin banyak lagi nyawa akan melayang, kerana kecuaian dan kedegilan kita.

*SELANG beberapa jam setelah 11 maut dalam tanah runtuh di Tanjung Bungah, lapan pekerja kilang maut selepas dua bas pekerja terlibat kemalangan di Kilometer 147 Lebuh Raya Utara Selatan Arah Utara.

Menurut penumpang yang selamat bas tersebut dipandu laju sebelum asap dan api keluar daripada bahagian enjin kenderaan itu. Walaupun ditegur, pemandu terus memandu dengan laju.

Kemudian terbongkarlah berita bahawa dua pemandu bas yang terlibat itu rupa-rupanya dikesan mempunyai beberapa saman kerana melakukan kesalahan lalu-lintas.

Menurut rekod JPJ salah seorang daripada pemandu berkenaan telah dikeluarkan tiga waran tangkap kerana melakukan kesalahan jalan raya.

Waran tangkap telah dikeluarkan, kenapa tidak ditangkap? Apa guna keluarkan waran tangkap sekiranya tidak ditangkap. Orang yang salah tidak ditangkap dan dibiarkan terus menjadi pemandu.

Saya pasti ada banyak pemandu seperti ini di atas jalan raya kita. Mereka bersalah tetapi tidak diambil tindakan. Sebab itu jalan raya kita selalu menjadi laluan maut. Salah siapa?

*BERITA dari seberang Selat Teberau, jumlah kenderaan di Singapura akan dibekukan bermula Februari depan atas alasan tidak cukup ruang dan pengangkutan awam yang telah dinaik taraf.

Menurut laporan BBC, perkara tersebut yang diumumkan Jabatan Pengangkutan Darat (LTA) menyasarkan mengehadkan jumlah kenderaan di atas jalan raya.

Satu polisi telah pun dijalankan iaitu menaikkan kos untuk memiliki kenderaan menerusi sistem bida Sijil Milikan (Certificate of Entitlement atau COE).

Hasilnya, harga kereta kategori sederhana boleh mencapai empat kali ganda di Singapura berbanding di Amerika Syarikat (AS).

Agak-agak polisi yang sama bolehkah dikuatkuasakan di tempat kita?

*AKHIR kalam, manusia makin gila, dengan binatang pun melakukan seks! Seperti yang dilaporkan media, satu laporan polis dibuat ke atas seorang lelaki yang dirakam melakukan hubungan seks luar tabii dengan seekor anjing di Taman Indah, Teluk Intan yang videonya tular, sejak Sabtu lepas.

Laporan berkenaan dibuat Biro Perkhidmatan dan Pengaduan MCA Perak bersama Persatuan Pencegahan Kekejaman Ke Atas Haiwan Ipoh (ISPCA), di Balai Polis Pekan Bharu, menggesa tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas individu terbabit.

Presiden ISPCA, Ricky Soong berkata, tindakan penguatkuasaan perlu diambil agar kelakuan menjijikkan itu tidak terus berleluasa, sekali gus menghentikan sebarang penganiayaan terhadap haiwan.

Ini betul-betul manusia bernafsu haiwan!

TOK PERAK