* APA silapnya Hospital Serdang? Tidak ada gempa bumi, tidak ada taufan Haiyan, juga tidak ada letupan bom pejuang berani mati al-Qaeda, siling hospital berkenaan tiba-tiba runtuh.

Orang boleh faham dan simpati apabila wilayah Tacloban di Filipina menjadi padang jarak padang tekukur dengan keruntuhan yang meragut beribu nyawa – puncanya taufan sederas 200km sejam.

Tetapi di tempat kita, khasnya kawasan Serdang, tidak ada ribut, dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Jadi macam mana siling-siling berukuran 3x3 meter boleh runtuh di Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)?

Lebih menghairankan – sebenarnya memalukan! – keruntuhan jam 1.30 pagi Isnin lalu terjadi tidak sampai dua bulan selepas kejadian beberapa keping siling runtuh di kaunter wad bersalin hospital sama 30 September lalu.

Menurut pengarah hospital berkenaan, Datuk Dr Ardi Awang, peruntukan membaiki siling yang runtuh sebelum ini telah diluluskan, mesyuarat telah diadakan untuk kerja-kerja membaik pulih, tiba-tiba ada lagi siling runtuh.

Sekiranya keruntuhan ini berlaku pada zaman Hang Tuah dulu-dulu, pasti tok bomoh dan ahlul-nujum menjampi, menilik dan akhirnya membuat kesimpulan keruntuhan ada kaitan dengan jin tanah atau jembalang laut.

Tetapi sekarang era siber, hantu, jembalang, pelesit dan lain-lain makhluk halus tentu tidak dapat diterima sebagai punca siling runtuh. Ini bukan kes jembalang, ini kes manusia.

* SEBENARNYA keruntuhan di Hospital Serdang bukan sesuatu yang luar biasa lagi; malah sudah biasa sangat. Rekod menunjukkan sejak mula dibuka Disember 2005 sekurang-kurang 10 kali runtuhan siling telah dilaporkan. 10 kali!

Antaranya pada 13 Ogos 2012 tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita di Unit Jabatan Kecemasan cedera setelah 15 keping siling di situ runtuh. Pada 30 Januari 2011, runtuhan siling nyaris menghempap sembilan orang awam.

Keruntuhan siling terjadi juga di beberapa bahagian lain termasuk Zon Merah di Jabatan Kecemasan dan Trauma, bahagian X-Ray, forensik, lobi, klinik pakar serta wad hospital.

Memang, seperti yang dijelaskan oleh pihak pentadbiran, kerajaan telah meluluskan peruntukan memperbaiki keruntuhan yang terjadi dari semasa ke semasa itu.

Masalahnya ialah apa punca sebenar keruntuhan tersebut? Siapa yang telah diberi kontrak untuk projek berjuta-juta RM itu? Siapa subkontrak? Siapa pembekal bahan binaan? Siapa jurutera? Siapa jurubina?

Kita kena kenal pasti siapa yang melakukan kesalahan, supaya mereka boleh dikenakan tindakan dengan membayar semula kos membaik pulih. Adalah tidak adil wang rakyat terus digunakan untuk kos memperbaiki, sedangkan pihak asal yang melakukan kesalahan tidak dikenakan tindakan.

Perlu ditegaskan sekali lagi kes runtuh siling ini tidak ada kena mengena dengan jin atau makhluk halus. Ini adalah kesilapan manusia, jadi manusia yang melakukan kesilapan itu perlu diambil tindakan.

* WALAUPUN tempat kita tidak ada taufan sehebat Haiyan, setiap tahun kita dilanda banjir. Sehari dua ini hujan mula turun, dan beberapa negeri pantai timur telah membuat persiapan menghadapi tengkujuh.

Bahan sudah bersedia menghadapi bencana alam itu

Seperti yang dijelaskan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, sebanyak 579 pusat pemindahan dikenal pasti dengan 60 peratus merupakan bangunan sekolah.

Selain itu, barangan keperluan seperti makanan akan ditempatkan di 73 pangkalan hadapan bermula 18 Nov ini, membabitkan peruntukan RM1.2 juta.

Sebanyak 6,000 petugas daripada 14 jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung telah bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Kelantan dan Terengganu pun sudah bersiap juga.

Di pihak kerajaan selalu ada keprihatinan dan persiapan. Cuma kadang-kadang orang ramai sendiri tidak prihatin – disuruh pindah mereka ‘buat dhek’. Anak-anak main air mereka biarkan. Orang kita bukan sahaja manja, tetapi juga degil.

* AKHIR kalam, Jumaat lalu seorang pelancong Taiwan berusia 57 tahun mati ditembak lelaki bersenjata di Pulau Pom, Semporna, Sabah. Isterinya yang berusia 58 tahun masih hilang dipercayai diculik. Apa sudah jadi, sana-sini orang kena tembak.