*AWAL minggu saya lepak dan mengopi-ngopi dengan seorang pemimpin tinggi Umno, bercakap mengenai PRU14 yang macam sudah dekat sangat, walaupun tidak pasti tarikhnya.

Beliau berkata, tidak kira bila  dan apa pun isu yang diputar-belit dan dimainkan pihak lawan, BN khasnya Umno akan terus menerajui Putrajaya.

Beliau begitu yakin BN akan memperoleh kembali majoriti dua pertiga, “malah negeri-negeri yang kini milik pembangkang, akan kita rampas semula.”

Teori beliau: Pembangkang kini sudah berpecah, tidak sekukuh dulu. PH pula tidak sepakat, sampai sekarang masih berebut kerusi.

Lagi pun, tambah beliau lagi, besar kemungkinan PRU14 banyak kawasan adalah pertandingan tiga penjuru: “Kalau tiga penjuru, undi pecah, yang menang kita!”

*DUA hari lalu saya makan nasi kandar bersama seorang pemimpin tertinggi PKR, juga bercakap mengenai PRU14. Beliau yakin PH akan menang lebih besar kali ini.

Beliau tidak nampak BN @ Umno akan dapat merampas kembali Selangor dan Pulau Pinang, “walaupun dia orang tabur duit, dan menjanjikan bintang dan bulan...”

Malah, data dan fakta dari kajian yang dilakukan memungkinkan PRU14 akan menyaksikan empat negeri lagi akan terlepas ke tangan pembangkang: Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Pendek kata, tanyalah kepada mana-mana parti, pasti masing-masing ada teori yang munasabah; masing-masing yakin akan menang.

Apa pun dalam mana-mana pilihan raya, hanya pengundi yang betul-betul menentukan sama ada teori-teori hebat itu akan menjadi realiti atau sekadar fantasi.

*PEMBANGKANG kata, banyak isu nasional yang membuat pengundi paling setia pun sakit hati dan tidak akan memilih calon BN @ Umno. Antara isu hangat ialah 1MDB dan GST.

Tetapi kerajaan kata, hanya sebilangan orang bandar yang tahu dan faham 1MDB. Orang kampung tidak ambil pot fasal 1MDB. Katalah apa sahaja mereka buat dhek.

Kerajaan kata negara kini di atas landasan yang betul. Ekonomi berkembang pesat, GDP naik, indeks sekian-sekian melonjak, nilai RM semakin kukuh, bla, bla, bla.

Pembangkang kata, rakyat terbanyak tidak faham angka-angka dan petunjuk ekonomi. Mereka tidak ambil pot pun tentang GDP, CPI, dan huruf-huruf dan angka-angka yang entah apa-apa itu...

*MEMANG, sesetengah orang tidak ambil kisah mengenai angka-angka dan indeks-indeks yang menteri dan pakar ekonomi cakap.

Tetapi sebahagian besar rakyat – di kampung atau di kota, atau di mana sahaja  – tahu, terkesan dan amat merasakan kenaikan harga barang.

Ikan kembung naik, cili naik, sawi naik, terung naik, apam naik, roti canai naik, teh tarik naik, tambang bas naik, uniform sekolah naik, pendek kata semua serba-serbi mahal.

Setiap kali barang naik, rakyat akan menyalahkan kerajaan. Maka ini mungkin memberi kesan fikiran – dan perasaan – di kotak mengundi.

*TAN Sri Muhyiddin Yassin mendesak kerajaan mengundang pasukan pemerhati pilihan raya bebas untuk pantau perjalanan PRU14.

Kata beliau, seperti yang disiar media: “Jika kerajaan benar-benar ingin memberi jaminan bahawa tiada penipuan dalam PRU14, kita mendesak diundang pasukan pemantau bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”

Pada hemat saya mengundang atau mengupah pemerhati luar pun tidak semestinya memuaskan hati pembangkang. Pernah atas desakan pembangkang kerajaan mengundang pemerhati bebas.

Tetapi pembangkang tetap tidak puas hati dan menuduh pemerhati luar tidak bebas. Walaupun dituduh tidak bebas, pembangkang menang banyak kerusi, merampas banyak negeri.

*AKHIR kalam, tidak ada seksi, dan semua lelaki! Itu keputusan yang dibuat oleh AirAsia, untuk penerbangan dari dan ke Aceh, berikutan peraturan pihak berkuasa tempatan menjadikan pemakaian tudung sebagai wajib bagi pramugari beragama Islam yang masuk ke wilayah itu.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata buat sementara waktu penerbangannya dari dan ke destinasi berkenaan akan dikendalikan kru lelaki sahaja.

Dalam pada itu hotel-hotel bertaraf antarabangsa yang beroperasi di negara ini telah menarik balik larangan pemakaian tudung kepala yang dikenakan ke atas petugas wanita.

Demikianlah, di mana dan bila-bila masa pun, sekiranya ada ketegasan, orang akan mengikut peraturan...