*SEHARI dua ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi tajuk berita utama baik di surat khabar, radio, TV, dan media sosial.

Pihak yang kena siasat boleh dikatakan selang sehari menjadi paparan media. Wajah mereka – ditutup atau dikelamkan – dengan tangan bergari terpampang di akhbar.

Bukan sahaja pihak yang kena siasat, hatta pihak yang menyiasat pun turut sama menjadi tajuk utama berita. Sehari dua ini pihak yang menyiasat pun nak kena siasat juga.

Pendek kata SPRM memang penuh dengan siasatan demi siasatan.

*TERKINI satu lagi ikan jerung masuk pukat SPRM untuk siasatan berhubung tuduhan penyelewengan RM berbilion yang dilakukan oleh sebuah kementerian.

Seperti yang dilaporkan media Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan oleh agensi anti-suap itu selepas beliau memberi keterangan di pejabat agensi tersebut di Kota Kinabalu.

Bekas menteri pusat itu yang juga Anggota Parlimen Semporna ditahan berhubung penyelewengan lebih RM1.5 bilion daripada dana pembangunan untuk negeri Sabah.

Sebelum ini Shafie memang telah menjangka beliau akan ditahan, memandangkan beberapa orang kanannya, termasuk adik beliau sendiri pun telah ditahan.

Umum sekarang bertanya apakah Shafie disiasat sebab beliau bekas menteri? Atau adakah sebab beliau wakil rakyat Semporna? Atau, apakah sebab beliau ialah Presiden Parti Warisan Sabah?

Hanya SPRM yang betul-betul tahu jawapannya.

*PERIHAL tuduhan penyelewe-ngan Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah yang dikatakan lebih RM1.5 bilion itu boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Rakyat membayangkan sekiranya peruntukan pemba-ngunan boleh disakau dengan begitu mudah, apakah kejadian serupa tidak berlaku di kementerian lain?

SPRM sejak akhir-akhir ini menunjukkan ketegasan dengan membongkar satu lepas satu – seorang demi seorang – pegawai kanan kerajaan yang terlibat dengan rasuah mega.

KSU kementerian, bos GLC, dan lain-lain yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan semua dijerat. Jumlah rasuah yang terbongkar RM bilion-bilion.

Maka rakyat berpersepsi adakah RM bilion-bilion duit yang tiris kerana rasuah mega ini punca negara dalam kesempitan? Seperti biasa persepsi boleh mencetuskan spekulasi.

*ALKISAH, pihak  yang  selalu-nya menyiasat kini hendak disiasat pula. Seperti yang dilaporkan media, Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk memantau siasatan berhubung dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad cuba memikat isteri orang.

Video mengenai bos SPRM itu telah tular, dan mencetuskan kontroversi. Tuduhan terhadap Dzulkifli adalah berkaitan Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut adalah ber-kaitan “memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami de-ngan tujuan untuk mengadakan hubungan seks.”

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-dua sekali.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali meminta orang ramai jangan membuat spekulasi. Pihak polis akan menjalankan siasatan untuk mencari kebenaran.

Sama ada yang menyiasat atau yang disiasat, tindakan SPRM memang selalu mencetuskan pelbagai spekulasi...

*BERCAKAP mengenai video, sudah menjadi trend masa kini apa sahaja yang berlaku di keliling kita hendak divideokan, dan ditularkan di media sosial.

Dengan segala kecanggihan yang ada, merakam gambar dan membuat video kini menjadi begitu mudah. Dengan hanya menggunakan telefon bimbit semua boleh direkodkan.

Malah ada setengah orang yang macam tidak ada kerja lain, kecuali merakam dan memvideokan. Dari mula bangun tidur hingga hendak tidur semula semua dirakam.

Sarapan di rumah dirakam dan ditularkan. Makan di restoran, masuk hipermarket, jumpa kawan, minum cendol, bersolek di salun, masuk tandas, pendek kata semua hendak direkod dan disebarkan dalam media sosial.

Ada pula orang yang tidak ada kerja lain, kecuali 24 jam melihat apa yang ditampal dan ditular pada media sosial. Asyik bersosial media, hingga lupa yang lain-lain.

Sebab itu setiap hari bertambah ramai yang gila di keliling kita!

*AKHIR kalam, belum habis isu kedai dobi untuk orang Islam, kini timbul pula isu orang Islam gunting rambut di kedai bukan Islam.

Ada sesetengah ustaz yang kata orang Islam tidak boleh gunting rambut di kedai bukan Islam, haram. Sejak kecil saya potong rambut di kedai India bukan Islam. Bingung saya dibuatnya!