SEMUA setuju masanya sudah dekat. Tetapi tiada siapa dapat menjawab soalan bila PRU14 akan diadakan.

Kalau tanyakan Datuk Seri Najib Razak pun pasti beliau akan kata: “Tak tahu.” Banyak pihak – penganalisis politik, ketua-ketua parti, NGO dan individu tertentu – telah mengeluarkan pelbagai teori mengenai tarikh penting itu.

Ada yang kata Mac tahun ini, ada yang menjangka sebelum Aidilfitri, ada yang meramal tahun hadapan. Tetapi semua itu masih dalam tekateki, tidak pasti.

Bagaimanapun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, tahu bila tarikh PRU14.

Ketika ditemu ramah Sinar Harian Rabu lalu, beliau menjawab teka-teki dengan berkata: “PRU14 pasti diadakan sebaik sahaja Parlimen bubar!”

Bila ditanya bila Parlimen akan dibubarkan, beliau berkata: “Kita di SPR pun belum nampak anak bulan...” Maka, teka-teki berterusan.

*ADAPUN yang menggusarkan SPR bukan tarikh PRU14. Apa yang lebih dirisaukan badan bebas itu ialah tentang ramainya orang yang tidak mahu menjadi pemilih @ pengundi.

Kata Mohd Hashim, seramai 4.2 juta rakyat Malaysia yang sudah layak mengundi tidak mendaftar sebagai pemilih. Hakikat ini amat membimbangkan kerana jumlahnya besar dan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.

Beliau bertanya: “Mengundi adalah satu tanggungjawab penting terhadap negara, tetapi kenapa ramai yang tidak melakukannya?”

Pada hemat penulis, mungkin orang kita, termasuk yang bersemangat cakap politik siang malam, hanya berkobar-kobar dan suka bertengkar mengenai pilihan raya, tetapi tidak tertarik untuk mengundi.

Sekadar bertanya, apakah berpuluh- puluh ribu – tidak kira kuning, merah atau lain-lain warna – yang kerap berdemo di Dataran Merdeka itu, sudah mendaftar sebagai pemilih?

*DARIPADA SPR, kita beralih pula kepada SPRM @ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang semenjak dua menjak ini sentiasa menjadi tajuk utama kerana ketegasan dan keberanian memerangi rasuah.

Seperti yang diketahui umum dalam seminggu dua ini pukat, jaring, jala dan lukah agensi antirasuah itu telah memerangkap banyak ikan.

Bukan sahaja anak seluang, ikan besar – patin, tapah, sebarau, tongkol, bapak dan ibu dugong, hatta paus – pun masuk dalam pukat.

Maka berkatalah Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa gejala rasuah adalah seperti anai-anai yang akan memamah rakus keutuhan negara sedikit demi sedikit.

Kata beliau ketika merasmikan Persidangan Pegawai Undang-undang Jabatan Peguam Negara 2017 di Melaka Khamis lalu: “Hanya bermula dengan pelawaan makan malam di hotel terkemuka ia kemudian bersabit pula dengan pelawaan bermain golf dan melancong....”

Tambah beliau, seperti yang dipetik Bernama: “Seperti anai-anai, kehadirannya (rasuah) sering kali tanpa disedari...”

Penulis bersetuju bahawa ada rasuah wujud tanpa disedari. Tetapi lebih banyak rasuah, termasuk yang besar-besar, memang disedari sejak awal... cuma tindakan tidak dilakukan.

*TENTU sekali sebagai anak Malaysia, penulis turut berbangga dengan kejayaan Mohd Faiz Subri yang memenangi Anugerah Puskas Fifa 2016 di Zurich, Switzerland, baru-baru ini. Syabas.

Bersetuju juga penulis dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa kemenangan pemain tengah Pulau Pinang itu – setaraf dengan pemain-pemain terhebat dunia - tidak sepatutnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Cuma, kehebatan penerima anugerah Puskas Fifa itu tidak semestinya menjadi penanda aras bola sepak kita. Hakikatnya ialah bola sepak kita masih di tangga bawah dalam ranking dunia.

Maka baik pemain, pengendali, pengurusan dan siapa sahaja yang terlibat dengan bola sepak kita, jangan asyik berkhayal dan berhubaya- hubaya dengan kejayaan Faiz.

Tidak guna terus berkhayal sekiranya bola sepak kita masih di takuk lama. Jadikan kajayaan Faiz sebagai pembakar semangat untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.

*AKHIR kalam, masih mengenai Anugerah Puskas Fifa. Tidak lama setelah pengumuman gembira itu dibuat di luar negara, di dalam negara kejayaan Faiz telah ditularkan di alam maya.

Beribu-ribu warga maya marahmarah, malah ada yang tergamak menyumpah-seranah, kononnya anak muda itu tidak mencerminkan sikap orang Melayu.

Ada dua benda yang menjadi kemarahan warga maya. Pertama, kenapa Faiz tidak bercakap Melayu pada majlis tersebut, “pada hal bahasa Inggeris dia bukan bagus sangat...”

Kedua, kenapa Faiz tidak memakai baju Melayu – ada orang sponsor! – tetapi menggayakan kot orang putih.

Faiz telah menjelaskan, dan memohon maaf. Tetapi kaki dan kutu tular masih tidak puas hati dan terus menjadikan ini sebagai isu. Mereka terus bersemangat menghentam pemain tersebut.

Sebenarnya Faiz tidak perlu minta maaf, tidak perlu layan pun. Baju Melayu dan bahasa adalah perkara remeh dan langsung tidak relevan. Tetapi biasalah mentaliti orang kita suka membesarkan benda-benda kecil. Benda yang remeh-temeh selalu dikontroversikan.

Mentaliti seperti inilah yang menjadikan bola sepak kita kekal di takuk lama!

TOK PERAK