*MEMANG sidang Dewan Rakyat yang ditangguhkan Khamis lalu mencatatkan beberapa sejarah. Pertama, sidang hari Rabu mencipta rekod baharu kerana berlangsung hampir 20 jam, dari 10 pagi hingga jam 5.05 pagi.

Syabas kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang menunjukkan kesungguhan – dan tenaga – luar biasa kerana sanggup bertahan dalam dewan yang sejuk dari pagi hingga menjelang waktu subuh.

Kalau calang-calang orang memang mudah tewas dan lentuk dalam maraton seperti itu. Almaklumlah waktu orang lain dibuai mimpi atau memeluk bini, wakil rakyat kita terus berbahas begitu gigih.

Pendek kata bukan senang membawa gelaran YB. Dia orang kata YB bererti ‘Yang Berhormat’, ada juga yang kata ‘Yang Berkhidmat’. Kini tambah satu lagi – ‘Yang Bertenaga!’

*RUU355 juga mencatat sejarah sidang kali ini. Setelah sekian lama berding-dong-ding-dong, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya membentangkan usul rang undang-undang berkenaan.

Usul rang undang-undang persendirian itu bertujuan meminda Akta 355. Tetapi ada setengah pihak yang sengaja mengkontroversikan perkara tersebut seolah-olah RUU berkenaan lebih berbahaya daripada bom atom.

Hatta Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang awalnya bercadang untuk membentangkan usul tersebut pun akhirnya membatalkan cadangan tersebut, konon takut ditentang parti komponen bukan Islam dalam BN. Apa boleh buat, tahi kambing bulat-bulat...

Seperti dijangka usul berkenaan menyebabkan sidang kecoh apabila banyak pihak menentang dengan semangat berapi-api. Apa pun ia sudah dibentangkan, mudah-mudahan mendapat masa yang lebih panjang untuk didebatkan pada sidang akan datang.

*SEMUA orang tahu apa yang diusulkan Hadi bukanlah sesuatu yang berbahaya seperti bom atom. Seperti awal-awal dijelaskan pindaan Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bukan untuklaksanakan hukum hudud.

Pindaan itu antara lain bertujuan untuk menggantikan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali” dengan “penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah”.

Berkali-kali juga telah ditegaskan bahawa pindaan ini tidak akan memberi kesan kepada bukan Islam. Jadi orang bukan Islam termasuk dalam MCA, MIC, DAP dan lain-lain tidak perlu bimbang apa-apa. Tidak ada potong tangan, tidak kena sunat pun!

Tetapi puak-puak tertentu sengaja buat-buat tidak faham, maka RUU355 dijadikan modal politik. Arakian, kalau orang Islam sendiri pun teragak-agak @ tidak yakin dengan undang-undang Islam, orang bukan Islam lebih mudah 'mengding-dong-ding-dongkan' isu ini. Demikianlah adanya...

*SIAPA kerabat diraja yang didakwa terlibat dalam penjualan pingat istana? Soalan ini ditanyakan oleh Tengku Putra Haron Amin-nurashid seorang Adun Umno di Johor.

Wakil rakyat Kempas itu menegaskan siapa-siapa yang terlibat dalam skandal ini – tidak kira Tan Sri atau kerabat istana – patut didedahkan kepada umum.

“...Dan dalang mana da-lam kerabat diraja yang ber-tanggungjawab atas kesilapan dalam gelaran tertinggi negara ini,” kata YB berkenaan dalam tulisan di blog bertajuk Reveal the royal culprit, seperti yang dipetik akhbar.

Kenyataan itu dibuat selepas seorang ‘Tan Sri’ ditangkap SPRM atas dakwaan cuba merasuah RM2 juta kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya mencadangkan namanya kepada ketua setiausaha kerajaan untuk mendapatkan pingat.

Sultan Johor telah secara jujur dan terus-terang membongkar skandal penjualan pingat dan darjah kebesaran. Diharap selepas ini ada lagi mana-mana pihak istana bersedia untuk membuat pendedahan.

Mana boleh pingat dan darjah kebesaran dijual beli, macam jual buah duku di pasar borong. Memalukan!

*MASIH mengenai sesuatu yang memalukan. Personaliti Singapura, Najip Ali sudah pun memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana keterlanjuran kenyataannya dalam sebuah rancangan hiburan TV di republik itu.

Seperti yang diakui Najip, menerusi program OK Chope! terbitan stesen penyiaran Mediacorp 5 milik Temasek Holdings itu, dia telah mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Stesen TV berkenaan pun telah memohon maaf.

Kata pepatah, kerana pulut santan binasa... Najip telah pun menerima akibatnya. Seperti yang dilaporkan, dia telah dikeluarkan dari menjadi juri tetap sebuah program lawak di saluran Astro.

Harap-harap isu ‘Najip vs Najib’ tidak dipanjangkan. Untuk pengetahuan sebelum ini ada artis terkenal asal Singapura dianggap menghina Perdana Menteri ketika itu, hanya dengan dia bertanya: “Mahathir? Siapa Mahathir tu?” Penyanyi itu digam RTM.

*AKHIR kalam, benda memalukan juga... Ada syarikat penerbangan meminta bakal pramugari menanggalkan pakaian dalam sesi temu duga, konon untuk melihat kot-kot ada tanda atau parut tertentu di tubuh.

Menurut MTUC jika proses pemeriksaan ketika sesi temu duga itu sah dan benar, ia adalah suatu bentuk penderaan seksual, sama seperti kesalahan-kesalahan jenayah, dan memerlukan tindakan segera daripada pihak polis dan pihak berkuasa lain.

Ini memang keterlaluan. Mana boleh suka-suka tanggal kain orang!