*ADA benarnya titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bahawa sesetengah orang Melayu menunjukkan sifat-sifat tidak sedar diri @ sombong.

Menurut baginda, seperti yang dilaporkan media, ada segelintir orang Melayu yang baru mula menikmati kejayaan kecil berbanding kaum lain tetapi menunjukkan sifat-sifat lupa daratan.

Baginda menyifatkan sikap sedemikian ibarat mengulangi budaya kehidupan pada era pra-penaklukan Melaka oleh Portugis yang hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

Sultan memberi amaran: “Dibimbangkan kekayaan yang baru berada dalam pegangan Melayu mungkin berakhir dalam tempoh masa yang singkat...”

*KALAU pun tidak dititahkan oleh Sultan Perak itu, kita sendiri pun boleh melihat betapa semakin ramai orang Melayu yang ada kuasa mula lupa diri dan hilang nilai-nilai murni Islam.

Mereka yang ada kedudukan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, dengan terlibat dalam rasuah yang melampau. Mereka membalon duit rakyat RM berjuta-juta.

Hari demi hari ada sahaja pegawai-pegawai tinggi Melayu – KSU, Ketua Pengarah, CEO dan sebagainya – ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Yang belum ditangkap pula berani terang-terangan menunjukkan sikap lupa daratan, hidup mewah di luar kemampuan dengan serba-serbi besar – rumah besar, kereta besar, cakap besar, perut besar.

*SEMENJAK dua menjak ini timbul lagi cakap-cakap dan gesaan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjelaskan kepada umum benda-benda tidak betul yang berlaku pada negara.

Pemuda Umno mendesak supaya RCI dibentuk segera bagi menyiasat skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan Tukaran Asing Bank Negara yang berlaku tiga dekad lalu.

Di satu pihak lain pula, ada desakan supaya satu lagi RCI perlu ditubuhkan bagi menyiasat 1MDB, yang disifatkan banyak orang sebagai skandal terang-terangan yang cuba hendak ditutup.

Pada hemat saya boleh sahaja tubuhkan berapa banyak RCI sekiranya ia benar-benar dapat meyakinkan semua pihak. Persoalannya: apakah RCI betul-betul dapat memuaskan semua pihak? Takut-takut nanti ada pula desakan supaya ditubuhkan RCI Khas untuk menyiasat RCI-RCI yang lain!

*MASIH mengenai perkara sama, bekas Presiden Senat, Tan Sri Adam Kadir mahu satu lagi RCI ditubuhkan bagi menyiasat kelumpuhan saham Transmile Berhad yang dibeli Pos Malaysia pada 2007.

Menurut beliau yang menjadi Pengerusi Pos Malaysia (2005-2008) lembaga pengarah pada masa itu, telah memutuskan untuk menjual 40 juta saham yang dibeli daripada Transmile Berhad dengan harga RM14 seunit, menjadikan jumlahnya RM560 juta.

Jumlah tersebut adalah pulangan yang amat besar. Namun beliau mendakwa usaha yang sepatutnya menguntungkan itu telah dihalang oleh ‘tangan ghaib’ sehingga menyebabkan kerugian yang besar.

Maka RCI patut ditubuhkan untuk menjejaki dan mengenal pasti siapa sebenarnya tangan ghaib itu. Dalam kes Malaysia memang selalu ada tangan ghaib yang membuat onar.

Tetapi tubuh RCI belum tentu dapat kesan tangan ghaib. Sebab perlu diingat, selain tangan ghaib ada juga ‘tangan ajaib’ yang lebih power dari tangan ghaib. Nanti kena tubuh pula RCI untuk siasat tangan ajaib!

*DATUK Zaid Ibrahim akhirnya mengumumkan menyertai DAP. Pengumuman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim disambut baik oleh parti berkenaan.

Lim Kit Siang kata, Zaid bakal menjadi satu aset dan team player. Tetapi penasihat DAP itu juga seperti mengingatkan bahawa Zaid akan memberi kerja sama dan “bukan priadona dalam parti.”

Dengan latar belakang yang beraneka warna, juga pengalaman luas dalam politik dan guaman, Zaid di mana-mana pun boleh menjadi aset, team player, atau apa-apa sahaja istilah yang seerti dengannya.

Cuma tumpuan umum sekarang ialah berapa lama Zaid boleh bertahan dalam DAP. Almaklumlah sebelum ini beliau sudah banyak kali masuk dan keluar parti.

Beberapa orang sudah pun meramalkan Zaid tidak lama dalam DAP. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

*AKHIR kalam, mengenai bola sepak. Seperti yang diketahui kerusi presiden FAM akan kosong pada 25 Mac ini apabila penyandangnya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berundur.

Maka siapa agaknya bakal menduduki kerusi panas yang dikosongkan itu? Sekurang-kurangnya setakat ini empat nama layak untuk bertanding jawatan hebat itu.

Selain TMJ Tunku Ismail, nama yang disebut-sebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Ketua Penerangan Umno yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Bagaimanapun setakat semalam hanya Annuar sudah menghantar borang penerimaan pencalonan; yang lain-lain bila lagi? Siapa agaknya yang akan melawan Annuar? Tunggu...