*RAMAI yang mengucap syabas sambil tabik spring kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atas ketegasan menangkap dan menyiasat kaki rasuah.

Jerung @ jaws terkini yang masuk jaring badan anti suap itu ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Beliau ialah bekas Pengerusi Felda, dan bekas Pengerusi FGV.

Veteran politikus itu adalah juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, dan setakat rencana ini ditulis masih Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Bagi sesetengah pihak, Tan Sri yang seorang ini juga dilihat sebagai orang kesayangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak...

*MAKA tidak ramai yang menduga SPRM berani mencuit Isa, apa lagi memasukkan beliau ke dalam jaring seperti yang dilakukan terhadap banyak lagi ikan-ikan besar sebelum ini.

Ternyata agensi bebas itu kini bertindak tidak mengira bulu. Sama ada bulu pendek, bulu panjang, bulu lurus, bulu keriting, semua disiasat, sekiranya ada bukti.

Seperti yang dilaporkan media, veteran politikus itu telah ditangkap dan direman gara-gara disyaki terlibat dalam skandal pembelian hotel oleh FIC yang melibatkan RM beratus juta.

Pejabat Isa, termasuk pejabat SPAD, diserbu. File dan dokumen diambil. Rumah Isa di Petaling Jaya dan di Nilai juga diselongkar, dan wang tunai RM100,000 ditemui.

Pendek kata semenjak dua menjak ini SPRM memang berani dan tegas. Sebab itu ramai yang memuji dan angkat topi.

*TETAPI ada juga pihak, terutama pembangkang, yang ‘bhengkek’ dan bernada sinis terhadap SPRM.

Nurul Izzah Anwar menganggap tindakan ke atas Isa dan banyak lagi ikan-ikan besar, tidak lebih sebagai wayang yang sengaja dimainkan untuk mengabui mata rakyat.

“Cukup-cukuplah bermain wayang, sebab rakyat telah bosan dengan lakonan seperti ini,” kata anggota Parlimen Lembah Pantai itu seperti yang dipetik oleh sebuah portal berita.

YB berkenaan mahu tindakan selanjutnya dikenakan ke atas mereka yang telah ditangkap dan disiasat. Tidak guna setakat tangkap dan reman, kemudian dibebaskan tanpa sebarang hukuman.

Wayang dalam TV atau dalam pawagam pun ada kesudahan. Wayang SPRM tidak diketahui penyudahnya.

*WAYANG? Itu tidak pasti, mungkin hanya satu persepsi. Apa yang pasti dari sekian banyak tangkapan dan siasatan kes berprofil tinggi, belum nampak seorang pun yang dihukum.

Memang dari semasa ke semasa telah banyak ikan besar – jerung, paus, todak, dugong, piranha – masuk dalam pukat tunda SPRM.

Kini orang mula bertanya, apa telah terjadi pada ikan-ikan tersebut? Apakah sudah disiang dan dilapah isinya? Apakah sudah dicencang untuk buat tomyam, atau masak tiga rasa?

Atau. Apakah masih ditempatkan dalam akuarium emas?

Ada KSU dan pegawai kanan awam dan ketua GLC yang ditangkap kerana rasuah, sudahkah mereka dihukum?

Ada pegawai kanan sebuah jabatan di Sabah yang menyimpan duit tunai penuh almari dalam rumah, sudahkah dia dipenjarakan?

Atau, adakah kaki-kaki busuk ini hanya disuruh buat ‘tok ketampi’ seribu kali seorang?

*PERIHAL skandal FIC, menurut Rafizi Ramli, dalam kes ini Isa hanyalah dijadikan kambing hitam untuk menyelamatkan pihak atau individu yang lebih tinggi.

“Jadi jangan terlalu ghairah dan bertepuk tangan bila Isa ditangkap, kerana itu belum tentu akan dapat merungkaikan kesemuanya sekiranya penyelewengan ini tidak disiasat secara menyeluruh,” kata anggota Parlimen Pandan itu.

Tambah beliau tentu ada pihak atau individu yang lebih tinggi yang bersetuju dan meluluskan pembelian hotel yang terlebih bayar itu; Isa hanya dijadikan kambing hitam.

Jika ada sesuatu penyelewengan atau pelaburan yang merugikan, hanya kambing hitam itu yang disiasat dan dihukum.

Maka, patut juga disiasat kambing-kambing lain dan serigala juga singa yang lebih ganas.

*AKHIR kalam, setakat rencana ini ditulis kita telah pun memenangi tujuh pingat emas menerusi acara memanah, dan chinlone. Syabas, belum pun dirasmikan atlet kita telah menunjukkan kecemerlangan.

Hari ini Sukan Sea-29 akan dirasmikan. Berilah sokongan dan semangat kepada kontinjen negara, mudah-mudahan tercapai hasrat kita untuk mengutip 111 emas.

Sekiranya prestasi cemerlang diteruskan sepanjang acara sukan ini, bukan mustahil untuk kita muncul juara keseluruhan. Ini akan menjadi hadiah amat bermakna sempena 60 tahun kita merdeka.