*SETELAH beberapa jam seluruh rakyat berada dalam kegelisahan, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya sah menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Disaksikan berjuta rakyat menerusi siaran langsung TV, beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara kira-kira jam 9.50 malam Khamis.

Beliau mencatat sejarah kerana dua kali menduduki kerusi No.1 negara. Pertama kali sebagai PM ke-4, menerajui negara selama 22 tahun, meneriakkan slogan ‘Malaysia Boleh’.

Beliau kemudian meletakkan kerusi penting itu, dan melepaskan semua jawatan dalam Umno, untuk berundur terus dari politik.

Tetapi, oleh sebab berasa ada yang tidak betul dalam pentadbiran, beliau aktif semula dalam politik, meninggalkan Umno dan memimpin parti baharu, Bersatu.

Meski ada sesetengah pihak memperlekeh beliau kerana sudah lanjut usia, ada yang menganggapnya nyanyuk, dan tidak layak menjadi pemimpin, beliau tetap yakin untuk kembali berkuasa.

Hari ini, setelah lebih 15 tahun meninggalkan politik, beliau kembali semula ke Putrajaya. Pada usia 93 tahun, Tun Mahathir membuktikan kepada dunia ‘dia boleh’.

*SELAIN Tun M kembali semula ke Putrajaya, seluruh rakyat juga telah melakar sejarah negara pada 9 Mei.

PRU14 telah menjelmakan kemarahan – dan keberanian – rakyat. Menerusi peti undi mereka telah membuktikan mereka ada kuasa untuk merubah.

Dua PRU yang lalu (2008 dan 2013) sudah ada tanda-tanda jelas penentangan rakyat, dengan mengetepikan keselesaan BN/Umno.

Mereka berharap tanda-tanda penentangan itu dapat menyedarkan pemerintah. Tetapi, walaupun dengan kehilangan majoriti dua pertiga, dan berkurangan undi popular, BN dilihat tidak berubah.

Maka pada PRU14, pengundi – tua atau muda, bandar atau desa – betul-betul melepaskan perasaan mereka. Untuk pertama kali sejak merdeka, BN/Umno diketepikan. ‘Rakyat Boleh’.

*MESKI sejak awal telah digembar-gemburkan mengenai ‘Tsunami Melayu’, BN khasnya Umno, tidak melihat itu sebagai satu ancaman.

Bagi pemerintah ketika itu apa yang dikatakan Tsunami Melayu itu hanya momokan tidak berasas daripada pembangkang. Meski bukti jelas, mereka menganggap tsunami mustahil akan terjadi.

Tambahan pula dengan pelbagai insentif yang dinyatakan dalam manifesto, dan macam-macam gula-gula ditabur sepanjang kempen, tsunami hanyalah khayalan pembangkang.

Terbukti tsunami betul-betul terjadi, dan tidak dapat dihalang lagi. Apa yang melanda pada 9 Mei bukan sahaja Tsunami Melayu, tetapi Tsunami Rakyat.

Kesan tsunami: Pakatan Harapan memperoleh 113 kerusi Parlimen. BN tumbang dengan 79 kerusi, dan kehilangan hampir kesemua kerajaan negeri.

*TSUNAMI meniupkan angin perubahan. BN yang leka dalam zon selesa selama ini, tiba-tiba dihembus ke tepi, terkapai-kapai dalam kelemasan.

Gagal merampas semua Pulau Pinang dan Selangor, gabungan BN yang diterajui Umno hilang beberapa negeri lagi – Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, dan Kelantan.

Sabah dan Sarawak yang selama ini dianggap sebagai simpanan tetap BN pun ternyata tidak tetap lagi kepada BN. Parti Warisan hampir sekali merampas Sabah.

Hatta, Johor yang sejak sekian lama dianggap sebagai kubu kuat dan benteng terakhir pun akhirnya terbang dibawa angin perubahan.

*AKHIR kalam, tsunami telah reda, bayu pun berpuput sepoi-sepoi bahasa... peralihan kuasa berlaku dengan aman, tanpa sebarang kekecohan.

Baik yang menang mahu pun yang kecundang, buanglah semua rasa dendam, sebab apa pun keadaannya kita masih bersama di sini.

Inilah bumi yang sama-sama kita pijak, dan langit yang sama-sama kita junjung sejak sekian lama. Jom sama-sama kita bina negara tercinta ini!

*TOK PERAK