*HARI ini raya ke-11, salah satu pertanyaan biasa setiap kali bertemu rakan sekerja – baik dalam lif atau ketika berurusan di tandas – ialah: “Sudah berapa hari buat puasa enam?”

Tidak berkata apa-apa, saya hanya tersenyum. Sebenarnya saya belum mula lagi untuk berpuasa sunat Syawal. Dan, saya tidak tahu bila saya akan memulakannya, sedangkan setiap hari Syawal semakin menuju ke penghujung.

Saya kagum pada teman-teman, terutama wanita, yang mula berpuasa sunat pada hari kedua Aidilfitri, terus enam hari dan sambung raya pada hari ketujuh. Mereka kata kalau buat lambat bimbang datang bulan, tak sempat cukupkan enam hari.

Orang lelaki tidak ada datang bulan, sebab itu mereka bertangguh-tangguh, dan akhirnya sampai hujung raya tidak buat satu pun puasa sunat yang pahalanya amat besar itu. Memang dalam banyak hal, lelaki lain perempuan lain!

*BAGI saya walaupun sunat, puasa enam lebih susah dilakukan berbanding puasa wajib Ramadan. Selalu ada ujian dan halangan apabila saya hendak memulakan yang sunat itu.

Ujian itu termasuk roti canai dan teh tarik yang begitu menggoda sanubari apabila masuk ke kafe pejabat untuk bersalam hari raya dengan rakan-rakan yang baru masuk kerja.

Dia orang berebut-rebut hendak belanja makanan kesukaan ramai itu.

Setelah puas berketupat-lemang dan berendang tok, roti canai yang rangup dan bau kuah dal yang menusuk rongga hidung itu betul-betul memberahikan.

Satu lagi yang menyulitkan puasa sunat ialah sekian banyak undangan ke rumah terbuka. Setiap hari sejak mula bertugas ada sahaja ‘open house’ (OH) dari kawan-kawan, syarikat korporat, jabatan dan agensi kerajaan.

Sana OH, sini OH, siang OH, malam OH, akhirnya puasa sunat Syawal boleh tertangguh.

*SALAH satu berita menarik selepas cuti raya ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang betul-betul bertindak tegas ke atas sebuah syarikat bas ekspres yang tidak mematuhi undang-undang.

Seperti yang dilaporkan media agensi berkenaan telah menggantung lesen dan 26 permit Qistina Express Sdn Bhd berikutan kemalangan di Kilometer 265.8, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora, Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata:

“SPAD memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh bas ekspres, justeru kami percaya tindakan terhadap Qistina Express Sdn Bhd akan menjadi peringatan kepada pengendali bas ekspres lain.”

Memang itu satu tindakan tegas. Tetapi, maaf cakap, itu bukan tindakan pantas. Pemandu bas berkenaan mempunyai sembilan saman tertunggak, sementara bas yang sama mempunyai 63 saman tertunggak.

Setelah sekian banyak saman tertunggak, baru tindakan diambil. Ini bukan sahaja tidak pantas, tetapi lembap. Kenapa selama ini tidak ada tindakan?

*MACAM mana bas ekspres yang mempunyai sekian banyak saman tertunggak boleh terus berleluasa di lebuh raya kita? Apakah tidak mungkin syarikat-syarikat bas ekspres lain juga mempunyai kenderaan dengan beratus-ratus – mungkin beribu –saman tertunggak?

Tidak pasti siapa yang patut memantau dan bertindak terhadap pengangkutan awam yang tidak mematuhi peraturan keselamatan ini.

Baik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), masing-masing macam dalam kelabu dan keliru.

Kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron, seperti yang dilaporkan media, kesemua pemandu dan bas ekspres yang beroperasi di seluruh negara ketika ini bebas daripada senarai hitam jabatan tersebut. Saman tidak dikeluarkan oleh JPJ, tetapi oleh polis.

SPAD lain pula ceritanya. Seperti kata Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Azharuddin Mat Sah, pihaknya sedang merangka sistem bersepadu yang melibatkan tiga agensi penguat kuasa iaitu polis, JPJ dan SPAD.

Tegas beliau: “SPAD tidak boleh mengambil tindakan terhadap pemandu bas ekspres yang melakukan kesalahan trafik kerana tidak mempunyai maklumat mengenai saman tersebut, sebab ia di bawah bidang kuasa JPJ dan polis.”

JPJ tuding pada SPAD, SPAD tuding pada polis. Betul-betul macam lagu lama Bangau Oh Bangau. Semua kantoi.

*AKHIR kalam, mengenai wanita. Agensi-agensi berita dunia melaporkan Theresa May, 59, mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita Britain kedua selepas Margaret Thatcher.

Beliau menggantikan David Cameron yang meletakkan jawatan susulan keputusan mengejutkan rakyat negara itu memilih untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) menerusi kempen Brexit.

Di Malaysia akhbar melaporkan peningkatan jumlah banduan wanita dalam kalangan warganegara asing mengatasi wanita tempatan di Penjara Wanita Kajang. Kini ada kira-kira 1,300 banduan wanita di penjara berkenaan, lebih 60 peratus daripadanya adalah warga asing.