*NAMPAKNYA kita menjadi semakin kalut. Ada sahaja ‘loklak’ untuk memburukkan imej seseorang. Terkini ada pertandingan mengarang untuk mengutuk pemimpin tertentu.

Semua tahu kita sudah ada berbagai-bagai pertandingan @ sayembara penulisan, seperti sayembara sastera, novel, esei sains, dan lain-lain.

Kini ada pihak menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 untuk pertandingan mengarang mengenai keburukan pemimpin. Mungkin ini pertandingan pertama seumpamanya di dalam dunia.

Mula-mula Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menawarkan hadiah RM10,000 untuk esei atau posting media sosial terbaik mengenai pemimpin DAP Lim Kit Siang.

Dalam tindak balas segera, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim menawarkan hadiah untuk karangan terbaik mengenai Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya sebagai ‘perdana menteri paling teruk’ di negara ini.

Kata Zaid, seperti yang dilaporkan media: “Saya serius...Saya tawarkan RM10,000 untuk karangan terbaik mengenai Najib sebagai PM yang paling teruk negara ini.”

Sayembara sastera dan lain-lain kegiatan sastera telah melahirkan ramai tokoh Sasterawan Negara. Apakah pertandingan yang ditaja oleh Zaid dan Annuar nanti akan menjurus kepada satu lagi anugerah berprestij, iaitu Anugerah Pencaci Negara? Barang dijauhkan ALLAH!

*SUNTIKAN kecantikan botox, pembedahan plastik mikro dan penggunaan laser atas alasan kecantikan adalah dilarang sama sekali di pusat rawatan kecantikan.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam, amalan suntikan botox dan seumpamanya adalah perkara di luar bidang pusat kecantikan.

“Suntikan botox atau prosedur rawatan kecantikan seumpamanya hanya boleh dipraktikkan oleh pengamal berdaftar yang mendapat latihan penuh atas rawatan itu.

“Penggunaannya (di pusat rawatan kecantikan) adalah dilarang sama sekali kerana ia adalah produk yang tidak boleh digunakan,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat.

Semoga pemilik pusat-pusat rawatan kesihatan – boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara lima tahun – dan pelanggan mengambil perhatian atas amaran menteri berkenaan.

*SEPATUTNYA amaran menteri berkenaan telah dikeluarkan lama dulu. Seperti yang diketahui sejak sekian lama pusat-pusat rawatan kecantikan telah menawarkan perkhidmatan botox kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Tidak sahaja botox, pusat-pusat berkenaan juga menawarkan perkhidmatan pembedahan plastik, membaik pulih wajah menggunakan teknologi tercanggih, dan lain-lain rawatan wajah dan tubuh. Hatta, ada juga yang mendakwa boleh memulihkan selaput dara!

Pemilik pusat-pusat rawatan mendakwa mereka pakar dalam bidang berkenaan; malah ada mendakwa mereka doktor pakar. Baru tahu memotong rambut dan menyolek pipi sudah mengaku doktor pakar.

Orang kita, terutama wanita, yang tidak yakin pada kecantikan asal, mudah sangat percaya kepada doktor-doktor palsu ini. Mereka sanggup membayar RM ribu-ribu untuk membaik pulih bibir, mata, hidung, pipi dan lain-lain bahagian tubuh.

Oleh sebab terlalu percaya kepada doktor pakar palsu, ramai yang tertipu dan menyesal seumur hidup.

**AKHIR KALAM banyak contoh doktor dan pakar palsu di pusat rawatan kecantikan telah meng-aniaya pelanggan. Ada yang suntik botox akhirnya menjadi botak.

Malah ada kes seorang wanita hendak mencantikkan payu dara, dan ‘doktor pakar’ di salun kecantikan mencadangkan rawatan sekian-sekian, dengan harga sekian-sekian.

Memang awalnya payudara yang dirawat dengan bayaran RM ribu-ribu, kelihatan cantik, segar dan serba gebu. Tetapi setelah tiga bulan dia terasa sakit di bahagian dada, dan perlu bayaran tambahan untuk rawatan lanjut.

Beberapa bulan selepas itu dia mendapati payunya sebelah kecil sebelah besar. Kena bayar lagi untuk menyamakan sais payu yang tidak seimbang. Rujuk lagi pada ‘pakar’, ternyatanya si payu tetap tidak ayu.

Akhirnya setelah berbelanja RM berpuluh ribu, payunya menjadi bertambah layu, kempis dan akhirnya rata seperti Dataran Merdeka. Pakar  payu  tidak ber-tauliah merujuk kes ke hospital.

Moral cerita: jangan percaya pada ‘doktor pakar’ di pusat rawatan kecantikan.