*AMARAN: Gunakan bahasa Melayu dengan betul, kalau tidak anda boleh didenda RM1,000 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996, agensi bahasa itu akan diberi kuasa untuk mendenda mana-mana pihak yang menggunakan bahasa tidak betul.

Ini meliputi kesilapan peng-gunaan bahasa dalam iklan atas talian, juga poster dan papan kenyataan.

Harap-harap dengan menguat-kuasakan denda, orang ramai akan belajar semula dan dapat menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

*MEMANG sedih – sekali gus lucu! – setelah 60 tahun merdeka, penggunaan bahasa Melayu semakin lintang-pukang, menyebabkan bahasa rasmi itu diperlekehkan.

Orang lebih selesa dan megah bercakap, berhujah, berforum menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu telah dirojakkan semua pihak. Radio cakap bahasa rojak, TV utamakan bahasa rojak, drama cakap bahasa rojak, filem cakap bahasa rojak, menteri Melayu pun cakap bahasa rojak. Pendek kata, orang tidak peduli langsung bahasa baku, sebab di Malaysia semua sudah jadi rojak.

*APAKAH dengan denda kita boleh memperbaiki dan mening-katkan mutu bahasa? Kita mungkin negara pertama dalam dunia yang mengajar bahasa menerusi kaedah denda!

Mengapa perlu meminda akta hanya untuk membolehkan DBP melaksanakan denda?

Apakah peraturan yang ada sekarang tidak boleh digunakan untuk mendenda mereka yang merojakkan bahasa? Bukankah pihak berkuasa tempatan boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pengiklan yang tidak betul menggunakan bahasa Melayu?

Kita asyik meminda dan membuat akta baharu, tetapi keber-kesanannya belum tentu.

*LAGI soalan: Apakah dengan pindaan akta itu nanti DBP betul-betul akan bertegas dalam mendenda perojak bahasa? Atau, apakah pindaan akta itu akan menyebabkan bahasa Melayu semakin layu?

Sebagai contoh: Beranikah DBP mendenda menteri yang bercakap campur-aduk? Semua orang tahu, menteri kita, termasuk menteri Melayu, adalah pengamal tegar bahasa rojak.

Beranikah DBP bertindak ke atas agensi dan jabatan yang mencacamarbakan bahasa Melayu? Sekarang pihak kerajaan sendiri pun banyak mengenepikan bahasa Melayu.

Sebenarnya kalau kita betul-betul tegas, kita tidak perlu meminda akta untuk mendenda. Pinda banyak mana pun sekiranya kita tidak tegas, bahasa kita akan terus dirojakkan.

*ORANG banyak duit kadang-kadang sewel. Mereka berbelanja macam orang yang telah putus sel-sel otak, dengan membeli benda yang bukan-bukan.

Contoh, membeli gelaran ‘Datuk’ pada harga yang oleh kebanyakan orang dianggap terlalu tinggi, antara RM180,000 hingga RM280,000.

Seperti yang dilaporkan media polis Johor telah membongkar satu sindiket melibatkan penjualan ‘Datuk’ bernilai RM juta-juta, dengan penahanan dua suspek.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd memberitahu suspek lelaki berusia 40 dan 57 itu menyamar di sebalik satu NGO yang tidak berdaftar, dan menawarkan gelaran tersebut kepada yang berminat.

Katanya, 13 laporan telah diterima mengenai sindiket berkenaan, melibatkan penipuan lebih RM1.3 juta. Polis meminta bakal-bakal Datuk yang tertipu itu supaya tampil membantu siasatan.

Untuk hidup orang kita memang kreatif. Ada yang menjual kereta curi. Ada yang menjual ikan murah. Ada yang menjual ‘Datuk’.

*DURIAN punya cerita, Men-teri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu lebih banyak penyelidikan dijalankan berhubung unsur-unsur afrodisiak yang terdapat dalam buah berkenaan.

Konon afrodisiak adalah agen dalam raja buah itu boleh memberi manfaat kepada kaum lelaki. Agaknya macam khasiat tongkat ali!

Pada hemat saya, tidak perlu susah-susah dan habis duit untuk mengkaji afrodisiak yang entah apa-apa itu. Kita sudah banyak sangat benda-benda yang boleh merangsang syahwat lelaki. Sebab itu banyak kes rogol.

Lebih baik buat kajian bagaimana kandungan gula dalam durian dapat dikurangkan. Telah terbukti durian adalah penyebab kencing manis.

*AKHIR kalam, mengenai MAH, bukan nama orang tetapi singkatan Persatuan Hotel Malaysia. Pihak MAH yang mula-mula mengeluarkan kenyataan bahawa wanita bertudung tidak boleh bekerja di hotel, konon itu SOP hotel antarabangsa.

Isu ini menjadi hangat sehingga MAH dikecam oleh menteri, mufti, NGO, orang politik. Kemuncaknya ialah apabila kerajaan memberi amaran akan menarik lesen hotel yang mengamalkan diskriminasi tudung.

Hingga semalam, tidak ada kenyataan balas dari MAH. Per-satuan itu patut membuat kenyataan untuk memperjelas keadaan. Apa sebenarnya di sebalik diskriminasi yang kontroversi itu?