*INDEKS Tanggapan Ra-suah (CPI) negara merosot tahun ini berbanding ta-hun sebelumnya. Seperti dilaporkan Malaysia berada pada kedudukan 47 dalam skala kosong hingga 100.

Kedudukan 47 mata itu setaraf dengan negara komunis Cuba. Dalam skala tersebut mata 100 dikira paling bersih, kosong dikira paling rasuah.

Penarafan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini mengejutkan Suruhanjaya Pen-cegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedudukan itu mengejutkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad. Katanya kita sepatutnya di kedudukan lebih baik jika diambil kira tindakan agresif yang dilakukan.

Nama pun tanggapan @ persepsi. Lain orang lain pula persepsinya. Memang, bagi SPRM kedudukan terbaharu itu mengejutkan. Tetapi, bagi sesetengah orang kedudukan itu tidaklah mengejutkan.

*MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low pun mempunyai persepsi sendiri mengenai kemerosotan CPI negara.

Beliau percaya tindakan agresif SPRM dengan penangkapan kes-kes berprofil tinggi dalam tahun-tahun kebelakangan ini menyebabkan kedudukan kita merosot.

Kata beliau: “Publisiti dan pendedahan meluas yang diberikan SPRM terhadap kes-kes ini dalam tahun-tahun mutakhir mewujudkan lebih banyak tanggapan negatif yang sekali gus menyumbang terhadap kemerosotan.”

Maka, ada orang beranggapan, sepatutnya lebih banyak tindakan agresif dan tangkapan berprofil tinggi, lebih meningkatkan mata CPI kita. Macam mana boleh jadi sebaliknya? Sekali lagi, nama pun persepsi!

*BAIK lupakan sahaja indeks rasuah yang merosot itu. Sepatah kata, bos SPRM indeks itu adalah penilaian antarabangsa, berdasarkan ciri-ciri tersendiri.

Apa yang penting badan anti-rasuah itu patut meneruskan tindakan agresif ke atas siapa sahaja, tanpa memilih bulu, tidak kira ikan kecil atau bapak jerung.

Siapa sahaja yang dikaitkan dengan rasuah, walau RM1, RM1 juga hatta RM1 bilion, hendaklah disiasat secara adil dan profesional.

Setelah disiasat, apa yang lebih penting mereka yang terlibat dengan rasuah hendaklah dihadapkan ke muka pengadilan, dan dihukum. Tidak guna siasat dan tangkap kes berprofil tinggi, sekiranya bertahun tidak diambil tindakan mahkamah.

Sekiranya asyik siasat, tetapi tidak ada pendakwaan dan hukuman, nanti timbul pula persepsi lain.

*POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah membekukan semua cuti luar negara bagi anggota dan pegawainya, berkuat kuasa sekarang hingga bulan Mei.

Menurut kenyataan Bukit Aman pembekuan cuti dalam negeri juga akan dikuatkuasakan sebaik sahaja tarikh PRU14 diumumkan.

“Kami akan melakukan persiapan yang sepatutnya sebaik sahaja mengetahui tarikh sebenar PRU14,” kata Bukit Aman, seperti yang dilaporkan media.

Dengan pengumuman pembekuan cuti itu, semakin dekatlah PRU14. Walaupun tarikhnya masih menjadi teka-teki semua, bahangnya sudah semakin terasa.

*PENGANALISIS politik dan ekonomi terkenal, dikatakan telah meninggalkan NGO  yang  dipimpinnya, kerana ingin bertanding pada PRU14.

Wan Saiful Wan Jan, 43, yang memenerajui Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), dikatakan akan menyertai Bersatu yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataannya, Wan Saiful mengaitkan pemergiannya daripada Ideas adalah dengan “risiko” yang akan dihadapi tidak lama lagi. “Setelah menghabiskan masa sembilan tahun terakhir dalam hidup saya untuk membina Ideas, tidak mudah bagi saya melangkah pergi...”

Maka, semakin hangatlah bahang PRU14 yang belum pasti tarikh.         *RAPPER Namewee telah dipanggil ke Bukit Aman, kali ini untuk diambil keterangan berhubung muzik video Tahun Baharu Cina yang membangkitkan kemarahan sesetengah pihak.

Tetapi remaja Cina yang selalu membangkitkan kontroversi itu nampaknya selamba sahaja, macam tidak ada salah apa-apa.

“Saya tidak takut pun, sebab saya yakin kepada sistem keadilan negara ini,” tulisnya dalam Facebook: “Saya ucap terima kasih kepada anda semua yang telah menyokong saya.”

Dalam video ‘Muzik Anjing’ Namewee menyanyi sambil menyebut bunyi anjing dari berbagai-bagai negara. Di Amerika anjing menyalak dengan bunyi “woof woof”, anjing Indonesia “bow wow”.

Anjing Malaysia pula menyalak dengan bunyi “mari mari, wang wang”.

Ada pihak membuat laporan polis kerana menganggap video muzik itu menghina Islam. Namewee berkata: “Saya tidak menghina ma-na-mana agama.”

Apa kata para ulama kita?

*AKHIR kalam, pengguna Facebook yang memakai nama ‘Ustazah Hamidah’ menempel sekeping gambar yang menunjukkan Ketua PH Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Amanah Muhammad Sabu sedang makan semeja yang antara hidangannya ialah panggang babi.

Gambar itu dengan keterangan: “Nak undi Cina punya pasal sehingga sanggup makan babi. #Undi Pas.”

Gambar babi di meja makan itu adalah gambar yang diubahsuai (doctored). Seperti yang dilaporkan tempelan itu telah mendapat lebih 20,000 komen, 5,579 shares’ and 7,661 ‘likes’.

Apakah ini juga menghina Islam? Harap polis siasat.