*ESOK – Ahad – tibalah harinya! Ketika berjuta-juta jemaah haji berwukuf di Arafah, umat Islam lain di seluruh pelosok dunia, memulakan World#QuranHour.

Tidak kira di mana anda berada, selama sejam bermula 9 pagi, marilah serentak kita membaca kitab suci al-Quran. Bacalah bersama anak-anak, isteri, ayah, ibu, dan lain-lain orang-orang tercinta.

Bacalah dengan ikhlas. Bacalah dengan insaf, dan panjatkan setinggi kesyukuran, kerana mukjizat yang diturunkan lebih 1,400 tahun dulu, masih dapat kita tatapi. Usah kita ketepikan lagi kitab agung ini!

Esok sama-sama kita gegarkan seluruh alam dengan lirik-lirik ALLAH.

*SEKIRANYA anda berada di Lembah Klang, fokus utama ialah di masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak di mana berpuluh-puluh ribu dijangka hadir untuk membaca al-Quran.

Universiti tersebut sendiri mempunyai pelajar-pelajar mewakili lebih 100 negara Islam seluruh dunia yang akan sama-sama membaca dan menghayati ayat-ayat dari langit.

Agensi kerajaan, NGO-NGO Islam, warga korporat dan beribu-ribu lagi umat Islam sekitar Kuala Lumpur telah menyatakan kesediaan untuk hadir sama. Bawa al-Quran masing-masing dan bacalah.

Inilah masa untuk kita saling bersalaman, berganding bahu, sama-sama melagukan surah demi surah. Tanpa mengira warna kulit, tanpa mengira pegangan politik, marilah kita tunjukkan perpaduan Islam sebenar, menerusi al-Quran.

*BAGI yang di luar lembah Klang, datanglah ke pusat-pusat bacaan al-Quran yang telah ditetapkan di seluruh negara – mungkin di masjid, surau, perpustakaan, pejabat, sekolah, Rumah-Rumah Ngaji, dan sebagainya.

Sekiranya tidak dapat ke pusat-pusat yang telah ditetapkan, anda dan keluarga boleh menyertai semangat al-Quran ini dengan membacanya – sama ada berseorangan atau berkelompok – di mana-mana sahaja tempat yang sesuai.

*HATTA, sekiranya anda tidak tahu membaca, jangan malu untuk mendekati dan bersama mereka yang sedang membaca. Mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran pun ada ganjaran pahala. Itu janji ALLAH.

Mudah-mudahan dengan menjadikan sebahagian dari kumpulan pembaca al-Quran ALLAH akan memberi petunjuk dan hidayah sehingga terbuka hati anda untuk terus mempelajari dan membaca al-Quran.

*ADA sesetengah pihak bersinis: Kenapa Karangkraf hanya meminta umat membaca kitab suci selama sejam?

Ini penjelasannya: World#QuranHour adalah permulaan untuk satu gerakan bagi menimbulkan kesedaran umah tentang perlunya kita semua kembali kepada al-Quran.

Kitab suci itu bukan bacaan hanya untuk sejam, tetapi tarikh dan masa itu hendaklah dijadikan permulaan untuk kita membacanya. Selepas itu al-Quran hendaklah dibaca seterusnya setiap hari, setiap jam, setiap saat, di mana-mana sahaja.

Tidak sahaja dibaca, ayat-ayat ALLAH itu juga perlu difahami ertinya, dihayati dan akhirnya diamalkan dalam kehidupan seharian setiap orang Islam. Kita perlu berinteraksi dengan al-Quran.

*AKHIR kalam, World#QuranHour bukan program Karangkraf, sebaliknya adalah satu gerakan bersepadu oleh semua organisasi media utama negara – RTM, TV3, Astro, TV Al-Hijrah, Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro, Sinar Harian dan lain-lain media utama. Mari sama-sama kita tunjukkan perpaduan umah menerusi acara pagi esok.

TOK PERAK