*JOM ramai-ramai kita baca al-Quran! Insya-ALLAH, lusa – Isnin @ 24 Ramadan – seluruh negara akan digemakan dengan ayat-ayat suci, menerusi Malaysia#QuranHour.

Acara sejam bermula 12 – 1 tengah hari ini diharap sebagai titik permulaan untuk semua orang Islam menjadikan membaca kitab suci sebagai amalan dalam memupuk perpaduan ummah.

Sejak sekian lama kita mengetahui, atau sekurang-kurangnya telah diberitahu, bahawa kitab mukjizat Rasulullah SAW ini adalah manual lengkap untuk kehidupan sebenar.

Tetapi, tidak ramai yang benar-benar menghayati kandungan kitab besar itu sebagai pembimbing kehidupan sempurna. Malah, sedihnya, di tempat kita ramai yang tidak tahu membaca al-Quran.

Walaupun belum tahu membaca, sertai perhimpunan sejam 24 Ramadan ini, di mana juga. Mudah-mudahan dengan bersama kumpulan yang membaca lirik-lirik ALLAH, terdetik di hati kita untuk mula mempelajari al-Quran.

*ADA yang bertanya, mengapa baca hanya sejam? Malah ada juga yang bernada sinis dan menganggap #QuranHour meniru program kempen Earth Hour anjuran bukan Islam.

Kalau kita boleh menyokong dan menyertai Earth Hour, atau kempen-kempen lain anjuran bukan Islam, mengapa kita sebagai orang Islam tidak mahu menyokong #QuranHour?

Untuk pengetahuan, #QuranHour  bukan kempen, bukan juga promosi bisnes. Malah bukan acara untuk publisiti Karangkraf atau Sinar Harian. Semua media perdana berkolaborasi menjayakannya.

Ini adalah satu gerakan ummah. Siapa sahaja boleh menganjurkan #QuranHour – atau apa sahaja namanya – asalkan matlamatnya ialah untuk menggalakkan orang membaca, memahami, menghayati, dan mengamalkan apa yang dijelaskan dalam al-Quran.

Mulakan dengan sejam, mudah-mudahkan kita akan dilimpahi hidayah untuk terus membaca al-Quran setiap masa, sepanjang hayat.

Tidak kira apa kedudukan dan status, sebagai orang Islam kita tidak ada pilihan, kecuali kembali kepada asas (basic). Dan, asas itu adalah al-Quran. Maka, bacalah, sebab itu yang dituntut sejak lebih 1,400 tahun dulu!

*SEPANJANG bulan al-Mubarak, sebahagian kita telah merapatkan diri dengan al-Quran. Sejak puasa pertama, mereka bertadarus sama ada bersama keluarga di rumah, atau bersama jemaah di masjid dan surau.

Terus membudayakan al-Quran walaupun di luar bulan puasa. Sama juga dengan #QuranHour, setelah membaca serentak selama sejam di seluruh negara Isnin ini, teruskan membaca setiap masa, di mana sahaja.

Sebenarnya sebelum 24 Ramadan pun sudah banyak siri QuranHour yang digerakkan oleh kumpulan-kumpulan lain atas pelbagai branding. Ada Warga Emas QuranHour, ada Saudara Baharu QuranHour, ada Kanak-Kanak QuranHour, macam-macam.

Seperti yang dijelaskan ini adalah gerakan ummah, siapa sahaja boleh menjadi penggeraknya. Bayangkan sekiranya umat Islam di seluruh dunia setiap masa menghidupkan QuranHour!

*SEKIRANYA anda berada di sekitar KL, lokasi perdana bacaan serentak ini adalah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Bawa al-Quran sendiri, datang sebelum 11.30 pagi.

Atau, sertai acara sama di tempat-tempat lain di seluruh negara. Atau anda boleh membaca sendiri di mana sahaja yang sesuai – rumah, stesen bas, pejabat, tengah bendang, tengah laut, dalam penerbangan, pendek kata di mana sahaja.

Mulakan dengan #QuranHour, dan terus menjadikan kitab suci itu sebagai rujukan dan jawapan untuk apa juga masalah sejagat. Ketepikan perbezaan, raikan persamaan menerusi ayat-ayat ALLAH. Bacalah al-Quran.

*DI LONDON, syahdu Ramadan telah menyerlahkan persepsi baharu mengenai Islam, terutama dalam kalangan mereka yang selama ini selalu bersikap negatif terhadap orang Islam.

Awal pagi Rabu lalu Grenfell Tower di tengah ibu kota Inggeris itu terbakar. Kediaman 24 tingkat itu musnah dalam masa yang singkat. Setakat rencana ini ditulis, 12 orang telah disahkan maut. Seperti yang dilaporkan oleh media di sana, selain bomba dan pasukan penyelamat, wira sebenar dalam tragedi tersebut ialah penduduk Islam yang tinggal di situ.

Seperti dilaporkan, penghuni Islam di apartmen berkenaan adalah orang awal yang mengesan kebakaran. Mereka yang sedang bersahur telah mengetuk setiap pintu, mengejutkan penghuni lain yang sedang nyenyak.

Al-Quran telah menjelaskan Islam itu murni. Muslim itu penyayang. Hanya sesetengah pihak menganggap Muslim itu pengganas!

*AKHIR kalam, pada hari-hari dan malam-malam penghujung Ramadan, tingkatkan amalan kita, lakukan apa sahaja kerja-kerja terbaik. Bukakan minda, ikhlaskan hati.

Banyakkan solat-solat sunat sepanjang malam, banyakkan doa, mohon taubat daripada Yang Maha Pengampun. Dan banyakkan membaca serta menghayati al-Quran.

Mudah-mudahan kita dikurniakan dan dipertemukan dengan ‘Malam Seribu Bulan’.

* TOK PERAK