*WALAUPUN mandat kerajaan BN sekarang hanya akan berakhir pada Jun 2018, sesetengah pihak macam tidak sabar-sabar untuk diadakan PRU14.

Macam-macam tarikh telah diramal untuk orang ramai mengundi dan memilih wakil mereka sekali lagi. Ada yang kata mengundi lepas raya. Ada yang ramal lepas raya haji. Ada juga yang kata lepas Sukan Sea.

Kalau ikut tukang ramal macam-macam alasan diberi mengapa PRU14 akan dibuat pada tarikh-tarikh yang diramal. Semua orang tiba-tiba jadi penganalisis dan ahlul nujum.

Tetapi pemegang anak kunci utama @ Datuk Seri Najib Razak setakat ini hanya buat muka toya, macam tidak ada apa-apa. Maka semakin berdebarlah orang ramai dengan wajah selamba PM itu!

*KATA seorang pakar ekonomi kedudukan ekonomi Malaysia dijangka mampu menunjukkan prestasi lebih baik selepas pertengahan 2018 jika PRU14 diadakan lebih awal.

Datuk Chua Tia Guan berpendapat walaupun ketika ini pelbagai isu seperti rasuah dan RUU 355 sentiasa jadi perhatian serta perbualan hangat massa, semua akan berakhir buat seketika selepas berakhir PRU14.

“Oleh itu, jika PRU14 diadakan pada tahun ini, saya meramalkan ekonomi negara kita akan tumbuh dengan baik mulai pertengahan 2018,” kata beliau seperti yang dipetik sebuah akhbar berbahasa Cina.

Apakah Najib akan terus berwajah selamba dan muka toya dengan ramalan seperti itu?

*ANTARA pihak yang suka betul PRU14 segera diadakan ialah mereka yang bercita-cita besar dan bersemangat untuk menjadi wakil rakyat, baik di Dun, lebih-lebih lagi di Parlimen.

Tidak kira dari parti mana, sudah ramai yang memujuk rayu, mengampu dan melobi agar nama mereka disenaraikan sebagai calon. Malah, tidak menghairankan sekiranya ada yang berjumpa bomoh dan dukun agar dipilih sebagai calon YB.

Ada pun yang gelisah dan mula tidak tenteram ialah para YB – mungkin juga YAB – yang tiba-tiba berasa mereka sudah banyak buat taik, dan besar kemungkinan tidak berpeluang bertanding lagi kali. Sepatah kata P Ramlee, balik kampung tanam kacang...

*ADA juga pihak tidak sedap hati sekiranya PRU14 diadakan sebulan dua lagi, sebab mungkin partinya tidak sempat diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk bertanding. 

Seperti yang disiarkan media pihak ROS tidak dapat meluluskan pendaftaran Parti Bebas Rasuah (PBR) sebab ada beberapa fakta mengelirukan.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah mendakwa semakan pihaknya mendapati alamat berdaftar parti baharu itu adalah sama digunakan oleh sebuah kedai jubin.

“Kemungkinan salah faham wujud kerana alamat yang didaftar adalah di tingkat dua, manakala yang disebut media sebagai kedai jubin adalah kedai di tingkat bawah premis kami,” kata Setiausaha Agung Parti Generasi Baru, S Gobi Krishnan dalam satu kenyataan.

Katanya, alamat yang didaftar kepada ROS adalah alamat yang sama digunakan oleh Parti Generasi Baru sejak ia diluluskan pada 28 Ogos, 2013 sebelum ditukar nama kepada PBR. Janganlah samakan parti politik dengan kedai jubin.

*Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Itu dilakukan setelah beliau dihadapkan ke mahkamah – bersama seorang perunding hartanah – atas pertuduhan rasuah hartanah bernilai lebih RM30 juta.

Sesetengah pihak berpendapat tidak cukup hanya mengheret bekas Exco itu ke mahkamah. Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub meminta SPRM turut membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kata Salahuddin: “Siasatan terhadap Khaled perlu dilakukan memandangkan beliau merupakan individu yang mempengerusikan mesyuarat Exco. Pelik sekiranya siasatan ini hanya terhenti terhadap Abdul Latif seorang...”

*AKHIR kalam, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus akan berceramah di Masjid Ara Damansara Petaling Jaya, selepas solat Maghrib, malam ini. Boleh tanya beliau mengenai hal-hal agama dan topik hangat semasa.Datanglah beramai-ramai.