*SANA-SINI orang sibuk bercakap mengenai PRU14. Macam-macam ramalan mengenai tarikh. Ada yang kata Februari, ada yang rasa Mac.

Ada kata lepas Gong Xi Fa Cai, ada yang jangka lepas cuti sekolah penggal pertama, ada ramal sebelum Ramadan, macam-macam.

Tekalah apa sahaja, buatlah ramalan berdasarkan teori-teori hebat. Malah, kalau hendak tanya dukun dan pawang pun tidak mengapa. Kalau ada peluang, boleh juga tanya David Copperfield.

Tetapi, rasanya yang tahu betul tarikh PRU14 adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Cer tanya Kak Ros. Ada berani?

*HATTA, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun dikatakan boleh menjadi faktor untuk menentukan tarikh PRU14. Seperti yang telah diberitahu, mantan TPM itu akan dibebaskan dari penjara pada 8 Jun.

Maka ada yang meramalkan PRU14 mungkin diadakan sebelum Ketua Umum Pakatan Harapan keluar penjara. Kalau buat lepas tarikh pembebasan, susah juga.

Almaklumlah, bertanding atau tidak bertanding, bila sudah bebas, Anwar boleh buat macam-macam. Boleh mempengaruhi pengundi, boleh mewarnai kempen.

Sepatah kata Timbalan Penge-rusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman: “Semua tahu bagaimana cara Anwar berkempen. Semasa PRU13 dulu, Anwar juga tak boleh bertanding tapi, mampu berkempen ke 12 lokasi dalam masa sehari...”

*WALAUPUN tarikh PRU14 masih menjadi teka-teki, sesetengah pihak nampaknya macam sudah cukup bersedia menghadapi pengundi.

Malah, Pakatan Harapan sudah pun menetapkan kawasan-kawasan mana yang akan mereka tandingi, baik parlimen mahupun dewan negeri.

Tidak itu sahaja, mereka telah pun menamakan secara rasmi siapa calon perdana menteri, dan timbalan perdana menteri, walaupun ada suara-suara sumbang mengenai calon yang telah dipersetujui itu.

Suara-suara sumbang itu patut dihentikan serta-merta. Suara-suara negatif itu jika dibiarkan, mungkin boleh mempengaruhi pengundi semasa hendak memangkah nanti.

*BERSETUJU benar saya dengan pandangan Datuk Dr Asri Zainul Abidin bahawa individu yang suka memaki orang lain bukanlah penegak agama, sebaliknya mereka hanya memenuhi kehendak nafsu sendiri.

Menurut Mufti Perlis itu, seperti yang dimuat dalam Facebooknya: “Tujuan dakwah, nasihat, kuliah agama adalah untuk cari pahala.

“Sedangkan, maki hamun mendatangkan dosa dan meng-hapuskan pahala. Maka, itu bukan perjuangan menegakkan Islam.”

Semua orang tahu sesetengah ustaz mendakwa menegak dan memperjuangkan Islam, tetapi dalam ceramah mereka meng-hentam dan memaki hamun ustaz lain.

Mudah saja seseorang yang digelar ulama, mengherdik ulama lain hanya kerana tidak sealiran pemikiran. Apabila sesama ulama bercakaran, umat akan keliru dan akhirnya terpesong.

Keadaan inilah yang semakin jelas – dan bertambah parah – di tempat kita sekarang.

*SYABAS kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kope-rasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan yang berjaya mengutip kompaun RM5,200 ke atas peniaga yang menipu orang ramai menggunakan timbang dan alat sukat tidak sah.

Dalam ‘Op Durian’ yang diada-kan di negeri itu – di 46 premis peniagaan durian di sekitar Mantin, Senawang, Jalan Pantai-Jelebu dan Kuala Klawang sejak Isnin – 19 peniaga durian dikompaun kerana menipu.

Setakat 19 penipu dengan jum-lah kompaun RM5,200 rasanya sikit sangat. Sebab pengguna tahu – dan banyak membuat aduan – ada sekian banyak peniaga menggunakan dacing, timbang dan penyukat tipu.

Kalau buat betul-betul, pasti bukan 19, malah beribu-ribu penipu boleh diambil tindakan dan kom-paun pun tentu RM ratus-ratus ribu, bukan setakat ciput RM5,000.

Almaklumlah, dalam hal tipu dacing bukan setakat jual durian, tetapi dacing tipu juga digunakan untuk barangan-barangan lain.

Maka elok sekali sekiranya  KPDNKK ke pasar malam, pasar tani, pasar borong, pasar-pasar lain, dan adakan ‘Op Kangkung’, ‘Op Ayam’, ‘Op Bawang’ dan op-op lain.Pendek kata kalau betul-betul nak buat ‘op’, memang tidak ada ‘off’ sama sekali.

*AKHIR kalam, masih mengenai penipuan. Bukan tipu dacing atau tipu timbang, tetapi tipu RM juta-juta dalam internet. Walaupun telah berulang-ulang kali diberitahu dan disiarkan media, orang kita masih gelap mata melihat tawaran lumayan dalam internet.

Mereka masih terpengaruh dengan pelaburan dalam internet yang menawarkan keuntungan berlipat ganda dalam masa singkat.

Kerana hendak untung cepat, mereka tidak berfikir panjang, dan melabur wang ke dalam pelbagai skim cepat kaya yang ditawarkan di alam maya.

Akhirnya pelaburan mereka lebur, mereka tertipu RM juta-juta. Apa boleh buat, sesetengah orang kita memang merelakan diri untuk ditipu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MALANG tidak berbau, dan boleh mengundang maut. Tidak fasal-fasal seorang kanak-kanak tidak berdosa, tiba-tiba meninggal dunia secara tragis, Selasa lalu.
  • SEPERTI dilaporkan dan dihebohkan – tiga daripada empat parti komponen Pakatan Harapan bersetuju untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.
  • SEPERTI yang dilaporkan media, negara kehilangan kutipan cukai berjumlah RM2.5 bilion kerana pemalsuan dokumen yang dilakukan oleh ejen perkapalan sepanjang tiga tahun lalu.
  • SETAKAT kelmarin – Khamis – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ternyata tidak sebulu dengan Presiden AS, Donald Trump.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.