*TAMAT sudahlah musim berjoli badak! Setelah eberapa bulan kita bergembira kerana bebas dari cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kini datang pula cukai baharu.

cukai jualan dan perkhidmatan, atau nama manjanya SST, mula dikuatkuasakan. Maka keresahan menjelma kembali, sama seperti keadaan ketika GST mula dikuatkuasakan 2015 dulu.

Dulu, bila GST hendak dilaksanakan, kerajaan (lama) kata harga barang pasti akan turun bila ada GST. Tetapi ternyata yang terjadi adalah sebaliknya. Maka cukai paling tidak popular itu akhirnya menjadi salah satu penyebab kerajaan lama tergolek badak pada PRU14.

*PERIHAL SST – yang dah mati dihidupkan semula, kata kerajaan baharu, sepatutnya tidaklah terlalu membebankan rakyat seperti GST. Teorinya: barangan pengguna yang dikecualikan dari SST adalah 10 kali ganda lebih banyak dari yang dikecualikan semasa GST.

Kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, di bawah SST sejumlah 5,443 barangan pengguna dikecualikan, sedangkan hanya 545 item pengguna dikecualikan dari GST.

Dengan lebih banyak barangan yang dikecualikan, sepatutnya SST tidaklah terlalu membebankan berbanding GST. Tetapi di tempat kita, apa yang sepatutnya, boleh jadi tidak sepatutnya.

Benar, beribu-ribu item dikecualikan SST. Tetapi ada peniaga yang naikkan harga atas alasan SST. Pengguna yang alfa dan tidak faham akan tertipu.

Maka, pasukan penguatkuasa mesti cepat bertindak sekiranya ada aduan pekedai menyalahguna SST untuk menghisap darah pengguna. Puntianak @ drakula seperti ini mesti dihapuskan.

*MASIH mengenai SST, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hanya restoran atau penyaji makanan dengan keuntungan RM1.5 juta setahun akan dikenakan cukai ini.

Kalau mengikut teori ini, gerai teh tarik tepi jalan atau penjual nasi lemak bawah pokok, tidak tertakluk kepada cukai ini, dan tiak boleh menaikkan harga atas alasan SST. Kita tidak mahu dengar penjual putu mayam atau pemilik gerai air tebu menaikkan harga gara-gara SST.

Sekali lagi, pihak berkuasa kena peka dan bertindak pantas ke atas puntianak dan drakula kecil seperti ini. Jangan biarkan darah orang kecil terus dihisap.

*HARGA gula turun 10 sen setiap kilo mulai 1 September. Kata menteri, penurunan ini adalah berikutan harga bahan pemanis itu turun di peringkat global.

Dulu setiap kali harga gula naik – walau setengah sen – harga makanan dan minuman manis terus naik tanpa bertangguh-tangguh. Gula naik 10 sen per kilo, tetapi teh tarik naik 10 sen per gelas. Alasan peniaga: “Kitabeli naik, kita jual pun kena naik. Kalau tidak macam mana nak untung!”

Sekarang gula turun 10 sen, adakan mana-mana pekedai atau restoran bersedia dengan rela menurunkan harga minuman, termasuk cendol? Jangan harap!

*SEPERTI yang dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai bernilai berjuta-juta dolar AS hasil tangkapan beberapa pegawai risikan kerajaan, termasuk bekas ketua mereka Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Menurut Malaysiakini penyiasat SPRM memperoleh maklumat mengenai wang tersebut dan lokasi ia disembunyikan selepas menyoal siasat sejumlah individu yang ditahan.

Menurut laporan berita, SPRM sedang meneliti kemungkinan wujud kaitan antara dana berjumlah AS$12 juta itu dengan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Dana AS$12 juta (RM49.5 juta pada kadar semasa) asalnya didakwa dikhaskan untuk perbelanjaan pilihan raya umum (PRU). Dia orang sekarang main juta-juta, tak pandang lagi ribu-ribu. Dari mana agaknya dia orang dapat duit RM juta-juta itu?

*AKHIR kalam, satu kajian mendapati golongan belia Malaysia tidak mengundi BN pada PRU14 kerana mahu menukar kerajaan yang rasuah.

Iman, sebuah badan pemikir tempatan, berkata janji PH untuk menunaikan 10 perubahan utama dalam tempoh 100 hari bukanlah faktor utama bagi pengundi muda untuk mengundi mereka.

“Mereka bosan dengan bekas kerajaan kerana rasuah dan belia mahu menukar pemimpin lama,” kata pengarah program Iman, Badrul Hisham Ismail.

Kalau tengok songlap RM juta-juta dan RM bilion-bilion yang terbongkar dan didedahkan, jangankan belia, orang tua pun sakit hati!

TOK PERAK