SEHARI dua ini ada dua raja yang menarik perhatian umum, khasnya di Kuala Lumpur. Pertama, raja musang. Kedua, raja ikan, atau disebut jerung.

Ada pun si raja musang menguasai banyak kawasan di sekitar bandar raya. Semua orang tertumpu padanya. Semua orang ghairah terhadapnya, dan berdebar-debar tidak keruan setiap kali melihatnya.

Malah, di lokasi-lokasi tertentu berlaku kesesakan trafik yang teruk, gara-gara si raja ‘bersemayam’ di bahu jalan.

Ada ketikanya raja yang satu ini juga menimbulkan kekecohan kerana harganya yang tinggi macam emas, sehingga RM40 sekilo. Itulah ‘raja musang’ atau ‘musang king’, durian paling mahal musim ini.

*TETAPI, yang lebih panas dan menjadi tajuk akhbar ialah perihal raja ikan @ jerung yang masuk ke dalam pukat harimau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setakat ini, seperti yang diumumkan, tiga orang penjawat awam tertinggi – termasuk dua bergelar Datuk Seri dan Datuk – telah direman melibatkan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa berjumlah ‘berjuta-juta lemon’.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi ‘jerung’ terdiri daripada pegawai tinggi badan awam dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang terlibat dalam kes-kes rasuah.

Tegas beliau, usaha menjejaki mereka yang hidup mewah hasil kegiatan tidak bermoral sedang dijalankan pihak SPRM. Maka banyak jerung dan bapak jerung kini panas punggung dan tidak lena tidur.

*ALKISAH tiga jerung yang direman itu dikatakan telah membalun banyak duit rakyat. Antara yang diperoleh dalam serbuan SPRM di pejabat dan rumah mereka ialah akaun bank dan saham berjumlah RM13 juta. Akaun tersebut telah dibekukan.

Turut disita ialah beberapa aset seperti kondominium mewah termasuk penthouse dan banglo, kenderaan mewah jenis Maserati, BMW dan Audi, wang tunai mencecah RM400,000 termasuk mata wang asing, selain beberapa utas jam tangan mewah.

Pendek kata berbaloi betul apa yang telah di’ngap’ oleh jerung-jerung tersebut. Hidup dalam kemewahan melampaui gaji.

Arakian, sesudah sekian lama ‘ngap’ orang sana-sini, sekarang giliran mereka pula kena ‘ngap’ oleh SPRM.

*KATA yang empunya cerita, ikan besar bergelar Datuk Seri itu ialah seorang pegawai tinggi di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bukan sahaja kes rasuah, suspek juga disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, seperti yang dilaporkan media, suspek DBKL itu adalah seorang pegawai yang bagus, malah mendapat kenaikan pangkat dua kali dalam tempoh setahun.

Kata menteri itu: "Setakat yang saya tahu, pegawai itu ialah seorang pegawai yang bagus, komited dengan tugas dan penuh perhatian. Beliau berpindah dari Gred 54 ke Gred Khas C, dan kini beliau dalam Gred Khas B kerana beliau seorang yang bagus dan mempunyai potensi.”

*MAKA ada yang marah-marah, malah ‘hairan’ dengan komen dan pujian menteri terhadap suspek DBKL bergelar Datuk Seri itu. Malah sesetengah pegawai SPRM sendiri berpendapat Ku Nan tidak perlu membuat komen seperti itu.

Pada hemat saya menteri itu tidak boleh disalahkan. Beliau bercakap berdasarkan apa yang beliau ketahui sebelum ini. Seperti yang beliau tegaskan kepada sebuah akhbar bahasa Inggeris: “Bagaimanapun, iaitu dia di tempat kerja...apa yang dia lakukan selain daripada kerja, saya tidak tahu...”

Sekarang baru menteri itu tahu!

*AKHIR kalam, syabas kepada SPRM yang tegas dan berani menjaring serta memukat ikan-ikan besar. Persepsi umum selama ini ialah agensi bebas berkenaan hanya berani menangkap anak seluang, puyu, sepat, paling besar pun haruan.

Kerap pula sesetengah ikan yang masuk ke dalam lukah SPRM, akhirnya terlepas gara-gara lukah tidak cukup kuat. Hatta anak seluang pun ada yang meloloskan diri dari jaring.

Kali ini semua pihak berharap pukat harimau SPRM betul-betul kukuh; sekali jerung masuk tidak akan berjaya meloloskan diri.

Semoga dengan pukat yang kukuh, bukan sahaja jerung dan bapak jerung, tetapi bapak paus, ibu dugong, tok ki dan tok wan badak air, hatta buaya tembaga dan naga Tasik Cini pun tidak akan terlepas.