*PENJAWAT awam, terutama pada peringkat pengurusan tertinggi, kini semakin diperhatikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Agensi anti makan suap @ tumbuk rusuk itu mempunyai cara tersendiri untuk meneropong sama ada penjawat awam mengamalkan rasuah, iaitu dengan memerhatikan gaya hidup mereka.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ada tiga ciri utama penjawat awam terlibat dalam amalan rasuah iaitu gaya hidup mewah termasuk bermain golf di luar negara, memiliki perempuan simpanan dan kerap ke luar negara.

Pada hemat saya, main golf di luar negara dan kerap makan angin di luar negara mudah untuk dikesan. Bukan sahaja pegawai dan perisik SPRM, orang biasa termasuk jiran sebelah pun boleh mengagak.

Tetapi, memiliki perempuan simpanan sulit sedikit untuk dikesan kerana bab yang satu ini selalu disembunyikan, sama ada dari pandangan awam, lebih-lebih lagi daripada isteri sendiri.

*BAGI lelaki, main golf di luar negara, atau mempunyai perempuan simpanan mungkin boleh menyebabkan anda disyaki rasuah. Bagi wanita, beg tangan mewah pun mungkin rasuah.

Sebab menjadi kebiasaan apabila SPRM menahan seseorang atas tuduhan rasuah, beg tangan adalah antara barang yang biasa ditemui di kediaman suspek.

Dalam kes terbaru, pemeriksaan pegawai SPRM di sebuah kediaman di Subang Jaya mendapati 150 barangan terdiri daripada beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama.

Antara jenama beg tangan yang dirampas adalah Prada, Louis Vuitton dan Chanel. Beg-beg tangan mewah itu berharga setiap satu antara RM7,000 hingga RM100,000.

Ketika rakyat biasa merintih membeli ikan kembung untuk menampung seisi keluarga, ada orang membayar RM100,000 hanya untuk sebuah beg tangan. Hebat!

*ADA pun suspek terkini yang masuk dalam jaring SPRM dikategorikan sebagai ikan besar. Beliau bergelar Datuk – lagi-lagi Datuk! – dan berjawatan Ketua Setiausaha sebuah kementerian.

Ketika rencana ini ditulis, si Datuk, 59, dan dua anak lelakinya, berusia 29 dan 34, telah ditahan reman untuk membantu siasatan.

Seperti yang didedahkan SPRM selain beg tangan mewah, turut dirampas ialah sekian banyak jam tangan mewah, termasuk jenama Swarovski. Maaf, saya pun tidak tahu jenama ini.

Malah, pasukan penyiasat juga menemui jongkong emas – belum diketahui nilai sebenar – dan wang simpanan dalam beberapa bank bernilai lebih RM3 juta.

Bayangkan ada jongkong emas, ada simpanan berjuta-juta, ada beg tangan dan jam tangan mahal. Sedap betul dunia dia. Hidup atas duit, mati belum tahu...

*SEPERTI yang didedahkan SPRM, ikan besar bergelar Datuk itu dikatakan telah menunjukkan gaya hidup mewah dengan memperoleh suapan daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengannya.

Kemewahan itu turut dilimpahkan kepada keluarga antaranya dengan cara membawa mereka bercuti mewah ke luar negara sambil bermain golf dengan beberapa individu yang mempunyai kepentingan dan urusan rasmi dengan kementeriannya.

“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menerima sejumlah wang suapan daripada syarikat-syarikat yang berkepentingan sejak dilantik sebagai pegawai kerajaan negeri bermula tahun 2010,” kata SPRM.

Bayangkan sejak 2010 telah dengan mudah songlap dan balun duit rakyat. Macam negara ini opah dia punya!

*MASIH mengenai Prada, Louis Vuitton, Chanel, dan lain-lain jenama hebat dunia, janganlah pula wanita, khasnya para isteri, berasa takut untuk memakainya.

Sebenarnya semua wanita suka kepada beg tangan. Teruskan kesukaan itu. Tidak kira jenama dari Paris, London, New York hatta dari planet Marikh pun, semuanya boleh dipakai dan ditayangkan, sekiranya ia diperoleh secara halal.

Ada pun yang tidak boleh ialah sekiranya benda-benda itu diperoleh secara haram seperti rasuah, peras ugut, penipuan, putar belit. Beg tangan harga RM1 juta pun tidak salah dimiliki sekiranya secara halal.

Sebaliknya beg tangan biasa berharga RM10 pun tetap haram dimiliki sekiranya daripada duit rasuah.

*AKHIR kalam, guru-guru – tentulah wanita! – yang cantik, manis dan comel telah dikenal pasti sebagai antara faktor yang menjadikan murid-murid suka ke sekolah. Bersetuju betul saya, dan segera teringat Cikgu Murni.

Dengan menyebarkan wajah guru-guru manja dan manis senyuman itu menerusi media sosial, bukan sahaja murid malah bapa murid pun berebut-berebut hendak menghantar anak ke sekolah.

Maka, diucapkan selamat ke sekolah kepada murid-murid, dan bapa murid...